Bebas Masalah Gigi & Bau Mulut, DR EZANI MasterChef Kongsi 8 Rutin Penjagaan Yang Betul

Juara MasterChef Malaysia pertama iaitu Dr. Ezani Farhana Monoto atau lebih dikenali dengan panggilan Dr Ezani memiliki daya tarikan yang tersendiri terutama pada senyumannya.

Selain memiliki senyuman yang menawan, Dr. Ezani juga bertuah kerana dikurniakan dengan seraut wajah yang semula jadi cantik.

Kecantikannya seiring dengan kebijaksanaan yang sewajarnya dijadikan inspirasi buat seluruh wanita. Selain bergelar Cef Selebriti tersohor, Dr. Ezani kini bertugas sebagai Pegawai Pergigian di Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.

Sebagai doktor gigi juga, Dr. Ezani sentiasa bersikap jujur dengan pesakit tentang kepentingan penjagaan kesihatan gigi dan mulut. Graduan jurusan pergigian dari Universiti Adelaide, Australia ini punya senyuman yang sempurna.

Ingin memiliki senyuman seindahnya? Dr. Ezani berkongsi 8 cara penjagaan gigi yang betul agar kekal sihat dan cantik.

Utamakan kesihatan gigi dan mulut terlebih dahulu agar bebas masalah kaviti serta penyakit gusi sebelum anda memikirkan untuk melakukan rawatan estetik contohnya memutihkan gigi, veneer, braces dan sebagainya.

Jangan sesekali terpengaruh dengan rawatan-rawatan palsu yang murah seperti dilihat di laman sosial masa kini.

Gunakan ubat gigi yang berflorida sebagai pelindung.

Berikan perhatian semasa memberus gigi. Sebaik-baiknya lihatlah cermin ketika menggosok gigi. Pastikan setiap permukaan gigi kena pada berus gigi iaitu tepi pipi, sebelah lidah, sebelah lelangit hingga ke belakang.

Pastikan anda memberus gigi hingga ke gusi kerana di situ terdapatnya bakteria dan plak.

Gunakan flos di bahagian celahan-celahan gigi kerana jika terdapat baki makanan pada celahan tersebut serta dibiarkan gigi akan mudah berlubang.

Elakkan memberus gigi menggunakan berus yang keras. Gunakan berus yang lembut mengikut cara yang betul iaitu mengurut lembut pergerakan bulat-bulat rata ke seluruh permukaan gigi. Jika anda menggunakan berus yang keras boleh mencederakan gusi seterusnya akar gigi akan terdedah lalu terhakis.

Selalunya ramai yang risau jika gusi berdarah semasa menggosok gigi atau flos lantas takut hendak memberus gigi bersih-bersih. Rajin-rajinlah bertemu dengan doktor gigi dalam enam bulan sekali bagi melakukan rawatan scaling untuk membersihkan gigi atau gusi.

Dr. Ezani berpesan supaya setiap orang perlu memberikan perhatian ekstra terhadap kebersihan mulut kerana ia diibaratkan sebagai pintu masuk makanan dan pelbagai penyakit.

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad