Begini Cara Kemas Peti Sejuk Ikut Suhunya, Makanan Bermasak Di Atas & Bahan Mentah Di Bawah

Peti sejuk yang kemas bukan sekadar susunan bekas-bekas teratur di setiap para. Tapi juga pemahaman kita tentang suhu dan jenis makanan yang betul demi menjamin kesegaran makanan yang disimpan.

Ibu ibu di rumah tu kenalah bijak organize peti sejuk dengan sedikit ilmu sains makanan. Barulah kita faham logik kenapa yang siap dimakan mesti di atas dan bahan mentah mesti di bawah.

Hari ni Nona berkongsi tip susun atur peti sejuk yang dipraktikkan oleh Pegawai Teknologi Makanan di Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Tuan Sazly Azizuddin Bin Sahaimi (FB Page Sazly Tulih

). Lepas ni mungkin ibu ibu pun boleh praktik cara susunan ni di rumah sendiri.

Kongsi beliau, mula-mula sekali kena faham suhu peti ais.

Suhu Chiller : 0°C hingga 10°C
(untuk sayur, buah, susu, telur, jem)

Suhu Freezer : – 18°C ke bawah
(untuk daging, ayam, ikan, lala, aiskrim, kuih sejuk beku)

Bila dah tahu perbezaan suhu ni, barulah kita sediakan bekas-bekas penyimpanan yang sesuai mengikut kategorinya.

CARA SUSUN ATUR

Pertama sekali, pastikan tiada kotoran dibawa masuk dalam peti sejuk. Contohnya, sayur perlu dibersihkan akarnya yang masih mempunyai tanah.

Simpan bahan mentah dalam bekas yang sesuai dan bersih.
Pilih bekas bertapak empat segi transparent untuk jimatkan ruang dan lebih kekemasan (dari segi visual)
  • Bahan mentah contohnya ikan dan daging disiang dan dibersihkan dahulu serta dipotong pada saiz yang lebih kecil supaya tidak dinyahbeku berkali-kali.
  • Labelkan bahan mentah. Jika perlu, letakkan tarikh bila kita beli. Amalkan first in, first out.
  • Daging, ayam, ikan dan hasilannya perlu disusun di ruangan sejuk beku dengan baik. Jangan terlalu padat supaya semua bahan mentah ini akan sejuk sekata.

  • Asingkan para untuk bekas makanan siap dimakan dan bekas bahan mentah.
  • Letakkan makanan bermasak ini di para bahagian atas dan bahan mentah yang belum dimasak di para bawah untuk elakkan pencemaran silang berlaku.

  • Tin susu sejat yang telah dibuka, jangan disimpan terus ke dalam peti sejuk. Tukar ke bekas lain yang bertutup. Kita tahu peti sejuk keadaannya lembap dengan oksigen boleh menggalakkan pengaratan pada tin.
  • Begitu juga pada ruangan dingin. Jangan terlalu banyak barang disimpan. Rancanglah pembelian barangan anda.
  • Selalulah keluarkan makanan siap dimakan yang disimpan seeloknya kena makan segera dan jangan melebihi 2 hari.
  • Pastikan suhu di ruang sejuk beku dan dingin pada suhu yang betul.

Pastikan anda tidak selalu buka dan tutup peti sejuk pada bulan Ramadan ini dikhuatiri suhu akan bertambah (naik). Dan ada kemungkinan juga makanan siap dimakan tu tiba-tiba berkurang pada waktu siang!

Share
Published by
Norzalina