Gaya Hidup

Begini Caranya Menghias MEJA Agar Tampil Menawan Di Bulan Puasa!

Walaupun bulan puasa tak semestinya meja makan tak berhias. Lebih-lebih lagi kalau anda menjemput tetamu untuk berbuka di rumah. Di sinilah tumpuan utamanya. Juadah dah tersedia lazat, ditambah pula dengan hiasan dekorasi meja yang cantik. Agar meja makan terlihat kemas dan menarik, hiasan ringkas sudah memadai. Asalkan nampak berseri. Berikut Nona kongsikan 4 cara mudah untuk mendekorasi meja makan agar kelihatan menawan di bulan Ramadan.

TENTUKAN TEMA

Untuk mendapatkan dekorasi meja makan yang menarik memerlukan sedikit usaha. Caranya ialah dengan menentukan tema atau konsep di samping warna apa yang akan digunakan untuk mencantikan penampilan meja makan. Contohnya ialah bermain dengan nuansa moden dengan sentuhan marmar mewah. Penggunaan warna pink dan hijau zaitun (olive) yang segar sekaligus mencetuskan kesan santai pada ruang.

SENTUHAN ELEMEN ‘MANIS’ DENGAN AKSESORI

Berikan elemen manis seperti meletakkan hiasan lilin, bunga atau tisu di meja makan. Ingat, fungsi utama meja makan ialah untuk menjadi ruang yang tenang untuk makan. Elakkan memberi dekorasi yang terlalu berlebihan. Terlalu banyak hiasan di meja makan boleh menjadikan suasana terlalu padat dan menghalang pandangan.

ALAS MEJA SEBAGAI AKSEN

Jika anda memilih untuk menghias meja makan secara berulang, biasanya elemen ini ‘wajib’ dilakukan. Semestinya alas meja adalah elemen dekorasi yang mesti ada untuk menghias meja makan. Selalunya ia tampil dengan tema tertentu. Tujuannya ialah memberikan batas yang jelas antara peralatan makan bagi setiap ahli keluarga dengan deretan juadah yang akan dinikmati.

HIASAN BUNGA SEGAR

Nuansa Ramadan akan lebih mendamaikan sekiranya anda menambah elemen bunga-bungaan segar yang diletakkan ke dalam pasu kecil sebagai penyeri di meja makan.

 

Share
Published by
Amy Mohd