Kadang kala menjadi satu kerungsingan buat wanita di luar sana untuk memadankan beg tangan dengan pakaian yang dipakai agar tampak sesuai dan sempurna. Harus diingatkan, padanan beg yang salah dengan cara berpakaian mampu membuatkan penampilan anda kelihatan janggal dan pelik. Ikuti tip yang Nona kongsikan ini agar kelihatan sempurna saat menggayakan beg dan pakaian anda.
BEG MEMPUNYAI CORAK DAN MOTIF
Pilih beg yang mempunyai corak atau motif sekiranya pakaian anda hanya satu rona. Anda juga boleh memadankan motif di baju untuk kelihatan sedondon dengan beg. Sekiranya ingin berbuat demikian, pastikan warna motif dan corak adalah sesuai.
PEMILIHAN RONA
Seharusnya anda memilih rona terlebih dahulu. Jika pakaian anda berona pastel atau neutral, beg tangan berwarna terang mampu menambahkan lagi keserian fesyen anda. Namun, jika pilihan pakaian anda berwarna terang, beg berona kedam seperti coklat dan hitam boleh menyeimbangkan keseluruhan gaya. Tidak perlu memadankan warna beg dan warna pakaian. Hanya pastikan kedua-duanya tampak sesuai di antara satu sama lain.
KESESUAIAN
Fikirkan mengenai pakaian anda sebelum membuat pemilihan beg sama ada fesyen moden, klasik atau pun glamor. Pertimbangkan juga rona dan motif pada pakaian. Perkara yang paling penting ialah kesesuaian untuk digayakan, bila dan di mana anda mahu menggayakan pakaian tersebut.
SAIZ BEG
Pilih beg yang saiznya sesuai dengan pemakaian anda. Beg tangan yang besar walaupun bergaya, tidak sesuai dengan gaya baju longgar yang sering dipakai ketika musim panas. Begitu juga dengan beg tangan kecil yang ada kalanya tidak sesuai dengan pemakaian. Pastikan anda menggayakan ia terlebih dahulu di hadapan cermin sebelum membuat keputusan.
TIP MENJAGA BEG TANGAN
Sering kali wanita membeli beg tangan tapi tidak tahu cara terbaik menjaganya agar kelihatan seperti baharu. Seperti barangan lain, beg tangan juga memerlukan penjagaan yang khusus supaya tahan lebih lama.
This website uses cookies.