Bekas Anak Kapal Gigih Cari Rezeki, Kini Nazirah Miliki Pusat Kecantikan Kereta, Hotel & Grooming Kucing!

Nazirah Azenan, 34 tahun merupakan bekas pramugari dan kini menjadi seorang usahawan sukses. Mempunyai kelulusan Diploma Hotel Management UITM, dia kini rancak menguruskan perniagaan pusat kecantikan kenderaan yang bertempat di Taman Dutamas Balakong, Cheras.

“Saya dan suami bertugas sebagai pramugari dan pramugara di syarikat penerbangan tempatan selama 4 tahun. Namun kami ditamatkan kontrak semasa pandemik 2020. Bagi meneruskan kehidupan mencari rezeki, kami memulakan perniagaan makanan pada bulan Ramadan.

Sambil itu suami melatih saya tentang kecantikan kenderaan dan kami mulakan servis polish kereta dari rumah ke rumah selama lebih kurang dua bulan.
Ada juga yang pandang serong apabila kami datang membuat servis ke rumah. Sesetengahnya tinjau kami dari tingkap takut kami mencuri.
Kami pernah travel ke beberapa buah negeri seperti Perak, Melaka dan Pulau Pinang untuk buat servis ni.

Saya belajar semua dari suami saya dan kami menghabiskan masa menonton YouTube untuk mendapat lebih ilmu tentang servis yang kami tawarkan.
Setelah kewangan mengizinkan, kami membuka sebuah kedai yang menawarkan servis menyeluruh kecantikan dan perincian kenderaan.

Alhamdulillah, dengan izin Allah juga, kami telah membuka pusat untuk hotel dan grooming kucing bertempat di kawasan yang sama. Saya amat bersyukur dengan perjalanan hidup yang kami lalui, ada rahmat di sebaliknya selagi kita sentiasa ingin berusaha dan melakukan sesuatu kerja itu dengan ikhlas kerana Allah SWT,” jelas Nazirah memulakan cerita perkembangan empayar perniagaannya.

Sekarang Nazirah menumpukan sepenuh perhatiannya kepada membina strategi pemasaran dan mencari pelanggan untuk perniagaannya. “Saya masih hands-on dengan skill polish disebabkan saya tak mahu kehilangan skil yang dipelajari. Untuk perniagaan hotel dan kecantikan kucing, saya hands-on untuk kecantikan kucing disebabkan minat yang mendalam dan seorang pencinta kucing. Saya menghadiri kelas bagi mendapatkan sijil lengkap grooming kucing dan sangat aktif dalam rescuing cats.”

Antara peristiwa yang menyentuh hati dalam perniagaan? “Paling menyentuh hati saya dan suami, apabila bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin menyebut nama kami dalam perutusan MCO dan menjadikan kami contoh buat golongan yang terkesan sewaktu pandemik.

Ini membuatkan saya lebih semangat untuk mendalami bidang yang kebiasaannya diterajui lelaki. Kerja ini memerlukan tenaga yang banyak tapi alhamdulillah pada masa yang sama saya mengambil pekerjaan berat yang saya buat untuk membantu suami dan juga untuk berjaya bersama-sama,” jelas Nazirah sambil melemparkan senyuman kesyukuran.
Sebagai seorang usahawan, pastinya banyak cabaran yang terpaksa dilalui terutama dengan keadaan wabak sekarang.

“Ya! Ekonomi masih ups and downs, bisnes juga ada turun naik disebabkan kecantikan kereta bukanlah satu keperluan utama. Ada sesetangah musim seperti musim hujan, pelanggan akan berkurang kerana mereka berpendapat, tak perlu mencantikkan kereta pada musim hujan. Kebanyakan pelanggan masih lagi dalam zon untuk berjimat disebabkan ekonomi yang semakin pulih. InsyaAllah saya percaya, semua sektor akan terus rancak mewarnai ekonomi negara.”

Bagi Nazirah tiada istilah berputus asa dalam hidupnya. “Harus kita beringat juga, bila bisnes naik memuncak, pilih peluang itu untuk kaut dan simpan keuntungan untuk masa hadapan. Kita perlu sentiasa konsisten dan kreatif dalam apa sahaja perniagaan yang kita laksanakan.

Mulakan sesuatu dengan matlamat, cari matlamat. Apabila memulakan perniagaan, apa yang kita nak? Apa yang kita target? Kejar sampai dapat. InsyaAllah.”
Kata akhir Nazirah, “Harapan saya untuk melihat lebih ramai wanita berani mencuba dalam apa jua bidang dan jangan cepat mengalah walaupun kena mula dari bawah.”

Share
Published by
KR