Dari arena sukan ke dunia nyanyian. Bekas atlet polo kebangsaan ini bukan sahaja menyerlahkan aksi terbaik di kolam renang, Izyan Syaza Abd Halim pernah mewakili negara dalam temasya Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.
Bekas alumni Diploma Muzik di ASWARA serta jurulatih renang separuh masa ini tidak berputus asa untuk menceburi serta mengorak langkah dalam bidang seni suara tanahair.
Berbekalkan keunikan tersendiri dari segi fesyen dan suara yang unik, pendatang baharu anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, Izyan Syaza atau lebih mesra disapa Pearl Abdul memulakan langkah perdananya sebagai pendatang baharu industri muzik tempatan dan berada di bawah naungan syarikat rakaman unggul, Armani Entertainment Group (AEG).
Pearl hadir dengan single pertamanya berjudul ‘
IGNORE’ hasil ciptaan komposer yang sedang meningkat naik, Iqie Hugh, Firdaus Rahmat & Jova Devito, manakala terbitan oleh AEG sepenuhnya.“Syukur Alhamdulillah kerana bermula dari angan-angan untuk menjadi seorang penyanyi, kini peluang untuk menghasilkan single ini adalah rezeki yang tidak disangka-sangka, sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan menyanyikan lagu ciptaan komposer hebat seperti Iqie Hugh, Firdaus Rahmat & Jova Devito.
“Terima kasih kepada pihak AEG kerana sudi melamar saya menjadi artis naungan mereka dan terutamanya kepada Dato’ KK Chua yang nampak dan juga percaya dengan bakat yang saya miliki,” kongsi Pearl Abdul yang kini merupakan seorang jurulatih renang separuh masa.
Pelantun suara untuk single IGNORE ini amat meminati program realiti Akademi Fantasia dan pernah menghadiri ujibakat namun tidak diterima masuk. Berazam untuk merealisasikan impian arwah mama dengan membuat persembahan di pentas besar serta terus berusaha mengorak langkah dengan mendalami ilmu muzik sepenuh masa di ASWARA. Untuk rekod, Pearl Abdul merupakan pemegang Diploma Seni Muzik, ASWARA.
“Bermula dari situ, saya tanamkan niat untuk serius dalam bidang muzik. Jadi saya tanamkan azam untuk mendalami ilmu dalam bidang muzik. Itu antara sebab mengapa ASWARA menjadi pilihan.
Di Aswara, saya dapat menceburi bidang nyanyian, tarian dan sedikit lakonan. Banyak perkara dari belakang tabir sehinggalah di hadapan panggung dapat dipelajari di ASWARA. Ketika masih menuntut di ASWARA, saya pernah memasuki program realiti “I Can See Your Voice” Musim ke-3 episod 3 bersama Ismail Izzani.Bermula dengan hanya menemani kawan ke uji bakat nyanyian, Pearl memberanikan diri mencuba nasib. Alhamdulillah ternyata rezeki ada disitu. Walaupun jalannya tak seindah yang dibayangkan, banyak usaha yang Pearl cuba lakukan untuk sampai ke tahap ini. Akhirnya rezeki itu tertulis dengan Armani Entertainment Group” jelas Pearl.
Ibarat bulan jatuh ke riba, pihak AEG merasakan sudah masanya bakat Pearl diperkenalkan kepada khalayak ramai kerana bakat yang dimilikinya tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja.
“Proses rakaman ini memakan masa selama 3 jam, tetapi panduan lagu sudah diberikan 2 minggu lebih awal oleh komposer kerana saya perlu mendalami rasa serta vokal yang dikehendaki agar meresap ke dalam jiwa apabila dinyanyikan.”
Lagu IGNORE merupakan sebuah karya elektronik moden dengan sedikit elemen pop yang menceritakan tentang nasihat dalam kehidupan, tidak mengendahkan nasihat yang baik-baik dari orang sekeliling.
Dalam perhubungan sepasang kekasih pula, lagu ini lebih mengetengahkan masalah pasangan kekasih yang “ignore” atau terus senyap dan terus menghilang. Mereka rasa hebat lepas berbuat demikian. Ada juga elemen jahat atau pembalasan dalam lagu jika diabaikan oleh pasangan kekasih.
“Pearl berharap peminat dan pendengar dapat menerima kelainan dan keunikan Pearl Abdul sebagai penyanyi baru dalam era ini. Semoga IGNORE juga dapat dijadikan mesej kepada semua untuk berfikir lebih luas dalam perhubungan ataupun perkara berkaitan yang tidak patut di IGNORE.,” tambah Pearl mengakhiri perbualan.
This website uses cookies.