Siapa sangka, kehadirannya ke Kuala Lumpur baru-baru ini menemani suami tersayang, Marcell Siahaan ke sidang media sempena konsert Marcell Dua Dekade membuka ruang untuk dirinya bersama-sama sekumpulan penggemar senaman Pound Fit di Malaysia!
Menjengah laman Instagram miliknya, model dan aktress berusia 42 tahun itu sering berkongsi foto dan video tatkala melakukan aktiviti senaman fizikal. Salah satu senaman yang sering dilakukan adalah Pound fit, latihan kardio yang meniru gerakan mengetuk dram menggunakan dua stik.
Rima atau nama sebenarnya Rima Melati Sheila Adams merupakan seorang instruktur Yoga bertauliah dan juga instruktur senaman Poundfit dari Amerika Syarikat dan turut memainkan peranan sebagai Poundfit Tour Crew dari Indonesia.
Baru-baru ini, peminat senaman Pound Fit Malaysia berkongsi sesi senaman bersama Rima Melati di Cyberjaya diketuai oleh Pengasasnya, Nurul Hanisah Norizan atau Hanis dari Pound with Hanis. Rima Melati diundang untuk memeriahkan sesi senaman tersebut.
Turut menemani Rima ke acara berkenaan ialah penyanyi Marcell yang memberi sokongan padu terhadap acara kegemaran isteri tersayang.
Isteri penyanyi Marcell Siahaan itu bukan hanya penggemar senaman tersebut, tetapi turut mempunyai sijil sebagai jurulatih senaman Pound fit profesional. Rima pernah berkongsi perkara tersebut di laman Instagram miliknya di mana dia mengikuti latihan Pound Pro pada 2017 di bawah seliaan Kirsten Potenza, di Amerika Syarikat.
Rima mula melibatkan diri secara aktif dalam senaman Pound sekitar tahun 2019 yang lalu. Bagi finalis Miss Universe Singapura 2001 itu, Pound fit bukan hanya membuat tubuhnya lebih sihat, tapi juga membuat dia berjaya menurunkan berat badannya.
“Selepas tiga tahun melibatkan diri dengan Pound, saya rasa lebih sihat dan berjaya mengurangkan 12 kg berat badan. Ini adalah satu perkara yang sudah menjadi sebahagian rutin harian saya dan saya gembira dapat berkongsi senaman ini dengan orang lain,” katanya.
Untuk info, Pound merupakan gabungan senaman kardio, yoga dan pergerakan diilhamkan dari pilates. Ia mampu membakar kalori dengan banyak dengan hanya menggunakan kayu drum berwarna hijau neon. Gaya senaman ini amat popular dan bergiat aktif di Indonesia.
Senaman Pound ini dikatakan dapat membakar hingga 900 kalori sekiranya dilakukan selama satu jam.
Wanita kelahiran Singapura ini sememangnya amat menggemari aktiviti olahraga, dan telah membuka studio senamannya sendiri di Jakarta yang dikenali sebagai Satu Tempat Studio yang dibuka secara rasminya pada Jun 2020 yang lalu.
Tidak hairanlah mengapa model dan pengacara ini mempunyai tubuh badan yang langsing serta menjadi idaman wanita. Pada usia 42 tahun, wanita yang dikurniakan dua orang cahaya mata ini amat mementingkan penjagaan kesihatan dan mengamalkan diet pemakanan yang seimbang. Rima terkenal sebagai seorang yang pandai memasak, namun dia tidak pernah suka dipanggil dengan gelar ‘chef’.
Bertindak sebagai penyokong utama karier suami tersayang, Marcell bakal kembali ke Kuala Lumpur untuk mengadakan konsert Marcell Dua Dekade buat semua peminat setianya pada 9 Disember 2022, bertempat di Zepp KL.
Justeru untuk melihat sendiri persembahan Marcell Dua Dekade, jangan lupa untuk menjadi salah seorang pemilik tiket konsert ini. Orang ramai boleh dapatkan tiket konsert tersebut dengan harga RM288 hingga RM7,888.
This website uses cookies.