Bekas Jururawat Kini Jutawan, CTYMARY Bangga FAITH FLEUR Jenama Tempatan Ke Pasaran Antarabangsa!

Kejayaan yang ditempa usahawan muda ini bukan calang-calang. Belum pun mencecah usia 30 tahun tapi semangat Siti Mariam Abdul Samad untuk berjaya dalam perniagaan benar-benar cetus inspirasi. Mana tidaknya, daripada seorang jururawat yang tiada pengalaman dan latar belakang dalam dunia keusahawanan kini merupakan pemilik empayar niaga bernilai jutaan ringgit!

Tatkala ditanya faktor utama yang membuatkan Siti Mariam nekad mahu bergelar usahawan produk rambut berjaya, ini jawapan jujur beliau selaku pengasas Faith Fleur. “Semuanya bermula selepas saya mengalami masalah rambut yang sangat teruk kira-kira lima tahun lepas. Rambut saya gugur dengan banyak dan saya rasa malu berdepan dengan orang ramai selain hilang keyakinan diri.

Saya juga jadi buntu apabila kebanyakan produk yang sudah saya cuba dan guna pun tidak memberi kesan memuaskan. Jadi, saya ambil keputusan untuk mengeluarkan produk penjagaan rambut sendiri,” ujarnya yang tertarik dengan dunia kecantikan rambut sejak zaman remaja lagi.

Yang pasti, jenama produk penjagaan dan kecantikan rambut Faith Fleur yang diusahakan kira-kira tiga tahun lalu merupakan pencapaian paling bermakna bagi isteri Muhamad Abdul Halim Bahadorisam ini. Apatah lagi, dia pernah mengalami kejatuhan dalam bisnes selain menanggung beban hutang yang besar.

“Bayangkan, umur baru 24 tahun tetapi saya terpaksa tanggung hutang keliling pinggang berjumlah lebih daripada RM110 ribu! Selepas berkahwin, saya berdepan masalah kewangan yang serius. Saban hari saya ‘dikejar’ pemungut hutang Ah Long.”

Sebelum bergelar usahawan, Siti Mariam pernah berkhidmat sebagai jururawat di sebuah hospital swasta. Bagaimana pun, beliau memilih untuk meninggalkan kerjaya tersebut kerana mahu memberi tumpuan dalam bidang perniagaan.

Sepanjang tiga tahun mengemudi legasi Faith Fleur di samping suami tercinta, kini Siti Mariam boleh tersenyum bangga apabila hasrat untuk memiliki wisma sendiri akhirnya berjaya direalisasikan. Wisma Ctymary yang terletak di Bandar Saujana Putra, Selangor dijadikan sebagai ibu pejabat Faith Fleur dan sehingga kini Siti Mariam mempunyai seramai 3,000 agen di seluruh Malaysia termasuk Singapura serta Brunei.

Lebih mengujakan, papan iklan berkaitan produknya terpampang luas di segenap lebuh raya utama di seluruh negara. “Alhamdulillah, tahun ini Faith Fleur di bawah Ctymary Resources bakal membuka tiga warehouse di headquarters kami di Bandar Saujana Putra, Bintulu dan Sabah. Selain itu, kami juga baru sahaja menerima empat anugerah daripada mentor Dr Azizan Osman dari Richworks.”

Ujar graduan Diploma Kejururawatan dari Segi College University ini lagi, dia amat bertuah kerana jenama Faith Fleur melonjak naik dan dikenali ramai ketika negara berdepan Covid-19 sejak pertengahan Mac lepas. Malah pasaran Faith Fleur mendapat permintaan luar biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu disebabkan strategi pemasaran yang tepat dan betul.

“Kebanyakan pengguna tertarik dengan Faith Fleur kerana ia bebas kimia berbahaya seperti paraben, sles dan paling utama kerana kami adalah produk keluaran Bumiputra. Sebelum sesuatu produk itu dikeluarkan, saya sendiri dengan rela menjadi ‘tikus makmal’ untuk uji keberkesanan setiap produk Faith Fleur. Daripada feedback

yang diterima daripada pengguna, rata-rata mereka menggemari hair serum kerana baunya yang wangi dan tidak melekit. Sebab itu jugalah ia menjadi bestseller Faith Fleur.”

Siti Mariam tanpa berselindung mengakui menjadikan usahawan dan selebriti terkemuka tanah air seperti Noor Neelofa Mohd Noor sebagai pendorong untuk berjaya. Katanya, kesungguhan Neelofa mengurus perniagaan dan kerjaya seni benar-benar mencuri perhatian. Selain Neelofa dia turut menjadikan Dr Azizan Osman sebagai sumber inspirasi.

Kesungguhan pakar motivasi tersebut membimbing dan memberi kata-kata semangat kepadanya sejak awal berniaga dahulu amat bermakna buat Siti Mariam kerana berjaya membentuk dirinya menjadi individu matang, berani dan berpandangan jauh.

 

 

Share
Published by
Suzi