Dugaan Allah meletakkan Reza Huzairi Zainudin sebagai pesakit Covid-19 sungguh menakutkan. Takut yang terpaksa ditanggung bukan kerana dirinya berhadapan wabak pandemik ini tetapi memikirkan isteri serta anak-anak dan kakitangannya turut sama dijangkiti. Itulah keresahan utamanya.
Sebaik melihat posting Reza di laman Facebook, Nona menghubungi isterinya Zuraita untuk mengetahui lebih lanjut mengenai berita yang baharu dikongsikan di media sosial. Menurut Zuraita, hanya keluarga yang mengetahui suami dan anaknya disahkan positif Covid-19. Malah, sewaktu kereta ambulans datang menjemput, Reza meminta agar siren tidak dibunyikan, bimbang akan menakutkan jiran tetangga.
Hati isteri mana yang tidak keruan apabila suami dan anak tersayang berada jauh dari pandangan mata. Ditempatkan di wad isolasi Hospital Sungai Buloh, anak-beranak ini tidak boleh dilawati. Selama 11 hari mereka hanya berhubungan melalui telefon. Mujur teknologi kini begitu canggih. Kekuatan itu menjadi pembakar semangat buat Zuraita untuk terus kuat meskipun hatinya hanya Allah yang tahu.
“Hanya Allah yang tahu betapa bersyukur dan leganya hati kami. 11 hari terpisah, tak boleh lawat, tak boleh jumpa, bukan sesuatu yang mudah. Tambahan pula, kita tak tahu bagaimana virus itu bertindak pada pesakit. Jadi selepas dua kali result swab test negatif dan dibenarkan keluar, saya sujud syukur dan tak putus-putus mengucapkan syukur padaNya.
Suami dapat panggilan dari rakan sekerja memberitahu ada staf yang positif Covid-19 dan telah dimasukkan ke wad. Semua yang ada meeting dengan pekerja itu perlu kuarantin di rumah bersama-sama famili. Itu permulaannya.”katanya
Menceritakan perjalanan kisah yang terjadi pada dirinya, Zuraita nyata melihat kejadian ini dari sudut positif. Sikap positif itulah yang terus membimbing suaminya untuk terus kuat melawan virus ini.
“Suami mendapat panggilan dari doktor memberitahu dia positif Covid-19 pada 2 Mac 2020 jam 6.40 petang. Doktor minta dia bawa barang penting sahaja. Suami diberitahu ada staf yang positif dua hari sebelum dan suami sudahpun kuarantin diri sendiri di dalam bilik. Jadi kami memang dah practice social distancing lebih awal.
Suami packing baju sendiri. Doktor beritahu, ambulans akan datang ke rumah sekitar jam 12.30 malam. Waktu tu kes Covid-19 masih baru. Tak ramai lagi yang infected. Suami minta ambulans tak bunyikan siren untuk mengelakkan panik di kawasan kejiranan kami. Lebih kurang jam 1 pagi, ambulans sampai dan membawanya ke Hospital Sungai Buloh.
Simptom suami cuma dia kerap rasa macam nak kebah demam. Lepas tu deria bau tiba-tiba sensitif. Itu sahaja. Simptom lain tiada. Saya redha walaupun dalam hati takut yang amat sangat. Virus ini baru dan kita tak tahu. Tapi memang saya kuatkan hati kerana dengan menjadi kuat, saya tahu yang dia juga akan kuat. Kesembuhan suami adalah perkara pertama yang saya fikirkan waktu tu. I will do anything asalkan dia kekal kuat dan tabah walaupun dalam hati saya tahu dia tak kuat.
Dia nampak takut, bukan takut tentang keadaannya. Tapi takut dan bimbang jika kami atau kakitangannya turut dijangkiti. Dia tak kuat nak hadapi yang itu. Dia tak kisah kalau cuma dia, dia bimbangkan contact rapatnya. Saya meminta suami jangan berfikir terlalu banyak, hanya tumpukan pada kesembuhannya,”katanya.
Sebagai isteri, Zuraita umpama motivator kepada suami dan mereka sering berkongsi banyak perkata. Dalam kebanyakkan hal, Zuraitalah yang sentiasa mempositifkan suami. Untuk menjadi tenang, dia sendiri perlu bertenang dahulu walaupun hanya Allah yang tahu bagaimana keresahan di dalam hati.
“Semasa dia di wad pun, kami tak putus-putus berbalas whatsapp dan saya sentiasa beritahu dia yang kami okay di rumah, kami kuat dan minta dia kuat juga. Setiap malam sejak malam pertama suami di masukkan ke wad, saya solat hajat. Mohon sungguh-sungguh kekuatanNya. Saya tak mampu sekuat itu tanpa izin dan pertolonganNya.”
Dua hari selepas suami di wad, Zuraita dan tiga orang anak diminta membuat swab test segera di hospital kerana mereka adalah close contact suami. Salah seorang anak mereka pula disahkan positif Covid-19.
This website uses cookies.