Bekas Pramugari & ‘Ratu Cantik’ Manila, Jadi Inspirasi Wanita! Terima Islam Sebagai Pegangan Hidup

Namanya pernah menjadi sorotan ketika masih aktif dalam dunia ratu cantik, hingga tersenarai sebagai peserta top 16 Miss Universe Phillipines pada tahun 2021. Bagaimanapun, nama Jasmine Umali kembali meledak pada pertengahan tahun lalu, apabila dia mengumumkan penghijrahannya memeluk agama Islam.

Sebelum ini, bekas ratu cantik popular asal Manila ini memuat naik dalam satu hantaran instagram potongan ayat Al-Quran siap dengan kapsyen tertulis perkataan tawakul yang mana dalam bahasa melayu bermaksud tawakal.

Pasti anda tertanya-tanya, bagaimanakah permulaan bekas ratu cantik ini mula menerima hidayah sehingga terbuka hati untuk menjadikan agama Islam sebagai satu pegangan dalam hidupnya. Ini penjelasan Jasmine Umali tentang bagaimana dia menemui cahaya Islam.

Kerap Terbang Ke ‘Timur Tengah’ Buka Mata Jasmine Tentang Islam

“Mengimbau kembali ke 2017. Momen ini mungkin merupakan panggilan pertama saya kepada Islam. Ia adalah penerbangan pertama saya dan 6 hari persinggahan sebagai pramugari antarabangsa.

“Ini kali pertama saya mencuba abaya dan tudung juga. Walaupun saya tidak belajar banyak tentang Islam pada masa itu, ia pastinya membuka mata.

“Selepas beberapa hari, syarikat penerbangan tempatan kami menutup penerbangan ke Abu Dhabi dan saya adalah salah seorang pramugari bertuah yang dapat menikmatinya.

Sejak itu, saya sering terbang ke destinasi timur tengah yang lain dan saya menyukainya. Alhamdulillah kini saya faham bahawa Allah swt membimbing saya ke jalan ini,” ujarnya penuh makna.

Menyifatkan penghijrahannya sebagai satu proses pembelajaran, Jasmine yang tampil sopan berhijab turut menyatakan yang dia mengagumi kemesaran yang maha Esa.

Kongsinya lagi, “Semoga Allah SWT memudahkan kita, membersihkan fikiran kita, meletakkan kegembiraan dalam hati kita, meningkatkan iman kita, mengangkat darjat kita di luar jangkaan dan membimbing kita ke mana pun kita pergi.”

Semoga kisah penghijrahan Jasmine ini menjadi inspirasi kepada Nonarians untuk sentiasa memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Share
Published by
Haifa Nasir