‘Bertemu dengan orang yang tepat pada waktu yang tepat’. Ringkas tulisan Goh Liu Ying dalam hantaran Instagram sekaligus mengesahkan khabar pernikahan dan kehamilannya dengan jejaka pilihan.
Berusia 34 tahun dan berketinggian 166cm, bekas atlet kelahiran Melaka itu membuat pengumuman melalui beberapa keping foto cincin dan tangan berbentuk hati di bahagian perut.
“1+1=3” tulisnya yang memberi gambaran sedang hamil tanpa menjelaskan dengan terperinci.
Menurut portal olahraga berbahasa Mandarin, wellsport.asia, khabar tersebut telah disahkan sendiri oleh Liu Ying.
Beliau menyatakan jarang bercerita tentang kehidupan cinta kerana mahu masyarakat fokus pada perjalanan kerjayanya.
Liu Ying memberi gambaran bahawa pasangannya adalah seorang usahawan biasa yang mula ditemuinya sejak masih aktif dalam arena sukan badminton.
“Saya sangat gembira berkongsi khabar ini dan tulus berterima kasih atas semua harapan yang dikirimkan. Saya berharap masyarakat juga dapat memberi privasi kepada kehidupan baru kami.” Goh Liu Ying
Goh Liu Ying merupakan bekas atlet beregu campuran badminton negara dan pernah tersenarai dalam ranking ketujuh dunia.
Antara pencapaian tertinggi beliau merangkul pingat perak di temasya Olimpik Rio 2016.
Sebelum ini, anak sulung daripada tiga beradik milik pasangan Goh Chak Wee dan Yong Oi Lin tersebut sering menyertai pelbagai kejohanan badminton di peringkat antarabangsa.
Goh Liu Ying akhirnya mengumumkan persaraan daripada sukan badminton pada tahun 2020. Apa pun tahniah atas segalanya dan selamat pengantin baru Liu Ying!
This website uses cookies.