Kagum tengok keprihatinan yang ditunjukkan Ajak Shiro ketika negara dilanda musibah banjir baru-baru ini. Bagaikan sudah sebati berkhidmat untuk masyarakat, Ajak yang merupakan bekas Tentera Laut Diraja Malaysia tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir terjejas khususnya di sekitar Jelebu, Negeri Sembilan dan Bentong, Pahang.
Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak mula dikenali sejak menyertai program Raja Lawak musim keenam menerusi kumpulan Shiro bersama sepupunya, Shahrol. Dia yang baru sahaja selesai menyertai Maharaja Lawak Mega bersama kumpulan Tobat, memanfaatkan masa yang ada untuk berbakti kepada insan memerlukan.
Ajak memulakan misi bantuan pada 20 Disember lepas dan daripada perkongsian video yang dimuat naik di Instagram miliknya, rata-rata followers
penyampai radio berusia 35 tahun ini menzahirkan ucapan terima kasih dan bangga dengan keprihatinan yang ditunjukkan bapa tiga orang anak tersebut.Bahkan salah satu daripada video yang dikongsikan juga meraih hampir 200 ribu likes memaparkan Ajak yang memandu kenderaan pacuan empat roda tenang membantu seorang lelaki bersama anak kecil yang sedang meredah banjir dibawa ke kawasan selamat.
Malah, dia juga mengerah keringat membersihkan kawasan salah sebuah sekolah di Bentong, Pahang. Kongsi Ajak, “Alhamdulillah syukur dan bersih dah ruang kantin sekolah dekat Bentong ni. Boleh korang tidur sini malam ni. Bantal, tilam, selimut, botol susu, tuala, sabun, pampers, ubat gigi semua ada ditinggalkan. Moga korang selesa sikit nanti ya. InshaAllah kita tempuh ujian Allah ni pelahan-pelahan.”
Tidak cukup itu, Ajak juga terpanggil untuk berkongsi rezeki dan memberikan televisyen kepada keluarga mangsa banjir di Negeri Sembilan. Usaha murni Ajak ini memang patut dijadikan ikutan.
Menerusi perkongsian Ajak di media sosial juga jelas kelihatan raut wajahnya yang gembira dan sebak kerana berpeluang meringankan beban insan-insan yang ditimpa musibah.
Ajak bergelar suami kepada guru bernama Nur Afifah Amin pada 6 Jun 2009 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamad Jad Thaqif, Mohamad Had Thaqif dan Nada Soffea.
Semoga bantuan dan sikap prihatin Ajak ini mampu menjadi pencetus semangat agar lebih ramai masyarakat tampil menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan kelak.
Kredit: Instagram Ajak Shiro
This website uses cookies.