Dia ialah wanita dan isteri paling berbeza dalam arena bola sepak antarabangsa ketika ini. Tidak menjinjit beg tangan mewah jauh sekali berpakaian persis supermodel seperti kebanyakan ratu hati jaguh bola sepak, Magi Salah mencuri tumpuan peminat bola sepak dunia baru-baru ini ekoran penampilannya selaku isteri Mohamed Salah atau lebih dikenali dengan gelaran Mo Salah… pemenang Premier League Golden Boot untuk tahun 2017-2018 yang berjaya mencatat prestasi cemerlang meraih 32 gol daripada 36 penampilannya di atas padang.
Merupakan ibu kepada seorang cahaya mata, Magi Salah dilihat selesa dengan penampilan serba sederhana meskipun suaminya terkenal dan kaya-raya. Kalau dihitung nilai kekayaan suami tercinta, dia mampu membeli apa jua yang dimiliki isteri pemain bola sepak lain. Namun Magi tetap setia dengan gaya sederhana, berpakaian longgar dan paling menarik, dia mengenakan hijab.
Yang pasti, inilah dia wanita yang menjadi sumber kekuatan dan tulang belakang kepada kejayaan Mo Salah hari ini. Tanpa dirinya, pemain dari Mesir tersebut tidak akan pernah menjadi sehebat seperti sekarang. Magi atau nama sebenarnya Maji Mohammed Sadiq dilahirkan di Mesir sama seperti suaminya dan mula mengenali ketika zaman remaja. Kedua-duanya mendapat pendidikan di sekolah yang sama di sebuah perkampungan di Basion, Gharbia.
Mo Salah yang memulakan kerjaya profesional sebagai pemain bola sepak pada tahun 2010 kemudian memutuskan untuk berkahwin dengan wanita idaman, Magi pada tanggal 17 Disember 2013 di Ngrid, Mesir. Pada tahun berikutnya, Magi selamat melahirkan bayi perempuan di Westminster Hospital, London dan menamakan anak mereka Makka… simbolik kepada nama kota suci umat Islam iaitu Mekah.
Selain wajah cantik dan penampilan yang disifatkan ‘berbeza’ daripada situasi biasa bagimisteri pemain bola sepak, Magi juga seorang wanita yang malu berada di depan khalayak. Bayangkan, hampir sedekad Mo Salah berkecimpung dalam pentas bola sepak… hanya empat kali sahaja kelibat Magi muncul di sisi suami tercinta.
Dua kali ketika penutupan musim Liga Inggeris, sekali ketika Mo Salah dianugerahkan Golden Boot dan satu lagi ketika dia hadir di bangku penyokong semasa perlawanan Liverpool menentang Barcelona di Anfield.
Magi Salah juga ‘lari’ daripada tipikal isteri atlet sukan bola sepak. Tidak sekadar memiliki keperibadian yang unik, misteri dan merendah diri… Magi juga sebenarnya seorang yang berpendidikan dan mempunyai kerjaya sebagai ahli bioteknologi. Pendapatan yang diterimanya juga bukan calang-calang. Pun begitu, dia tetap mahu kekal low profile.
Walaupun populariti Mo Salah kian memuncak dan terkenal… namun cinta lelaki Mesir yang berpegang kuat kepada agama Islam ini tetap mencintai cinta hatinya. Bahkan kedua-duanya dikenali penduduk di kampung mereka sebagai individu yang baik, beriman, suka bersedekah dan membantu mereka yang kurang bernasib baik.
Sumber: Soccer Stories