Bermula tengah malam 14 hingga 27 Oktober ini, berkuatkuasalah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya angkara peningkatan kes COVID-19 yang di luar jangkaan.
Keputusan drastik yang diumumkan semalam oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri itu dibuat selepas mendengar nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) ekoran pertambahan jangkitan di pelbagai daerah.
Nona berkongsi kupasan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Safiya Amaran tentang kronologi peningkatan kes ini yang mengejutkan.
Masih terngiang kata kata dalam press conference masa wabak Kluster Benteng LD diumumkan, “Jangan risau wabak ini berlaku dalam kawasan yang terkawal, tiada ancaman pada komuniti luar.”
Masa tu rakyat Malaysia terkejut tengok angka kes naik tinggi sebab sebelum tu angka kes biasanya rendah je, termasuklah di Sabah.
Malah 0 kes tu adalah perkara yang biasa di Sabah untuk hari hari sebelum kluster tu diumumkan.
Seminggu lepas Kluster Benteng LD ni muncul, kita dapat tengok bilangan kes semakin menaik. Purata kes dalam 2 digit sehari malah kes tertinggi cecah 167 kes betul-betul masa hari penamaan calon.
Hari-hari seterusnya adalah sangat mendebarkan kerana kita sedia maklum ada 2 perkara berisiko yang buat Covid-19 jadi merebak dengan sangat laju.
Dan kedua-dua ini berlaku tanpa had dan berterusan semasa tempoh kempen PRN.
Masa tu pergerakan sangat banyak bukan sahaja melibatkan orang di negeri Sabah tetapi ramai orang dari seluruh semenanjung Malaysia turun untuk sama-sama berkempen.
Semua bebas keluar dan masuk tanpa perlu buat saringan Covid-19 atau kuarantin walaupun nyata zon merah telah bermula:
07 September : Lahad Datu
09 September : Tawau
22 September : Semporna
23 September : Kunak
Walaupun sudah ada 4 zon merah dan 9 zon kuning pada 23 September namun orang yang balik dari Sabah tidak diwajibkan kuarantin atau membuat saringan sehinggalah 27 September iaitu selepas usai PRN Sabah.
Pada masa itu boleh kata semua yang datang untuk berkempen telah selamat pulang ke kampung masing-masing tanpa perlu dibuat saringan atau kuarantin mandatori walaupun telah zahir bilangan kes di Sabah sangat tinggi malah jangkitan tempatan yang pada 23 September sudah cecah 757 kes!
Satu angka yang sangat tinggi
Jadi yang berlaku seterusnya di Sabah?
Kira-kira 10 hari selepas PRN Sabah kita mula nampak perkara yang kita amat risaukan.
Penularan kes yang pada awalnya lebih kepada close contact dalam kluster telah jadi rawak.
Ia kini merebak tanpa henti.
Bilangan kes yang tinggi bukan lagi melalui kluster tetapi dari saringan bergejala dan saringan dalam komuniti.
Apa maknanya?
Ini bermakna, orang yang bergejala ni tidak ada close contact dengan kes dalam kluster dan ia bukan dikesan melalui contact tracing. Ia boleh dikatakan sebagai sporadik dan kes sporadik ni mula naik dengan banyak sekali!
Mula 6 Oktober kes saringan bergejala, atau kes sporadik adalah lebih 50% dari kes harian.
Malah ada hari-hari yang saringan bergejala lebih 90% dari kes harian yang dilaporkan di Sabah.
Ini peratusan yang tersangat tinggi
Apa yang buat kita susah hati dengan saringan bergejala ni?
Kalau kes diketahui melalui saringan bergejala maknanya kes dikesan lambat. Kajian menunjukkan orang akan sebarkan virus 2-3 hari sebelum mula ada gejala.
Jadi bagi setiap kes bergejala, kita sudah terlambat. Kebarangkalian mereka dah sempat sebarkan virus kepada ramai orang adalah tinggi. Apabila nak buat kawalan, kita akan sentiasa tercungap cungap mengejar sesuatu dan kemudian hampa kerana apabila tiba di destinasi ia telah berlalu pergi.
Kita hanya boleh kesan awal jika kes dikesan melalui contact tracing atau saringan tersusun.
Jadi inilah yang berlaku pada bulan Oktober
Satu demi satu daerah menjadi zon merah yang semakin parah. Hingga semalam dah ada 11 zon merah di Sabah.
02 Oktober : Kota Kinabalu
06 Oktober : Sandakan
06 Oktober : Papar
07 Oktober : Tuaran
10 Oktober : Putatan
10 Oktober : Penampang
11 Oktober : Kota Belud
Walaupun kini border Sabah telah ditutup tetapi jangkitan dalam komuniti telah tersebar luas.
Mereka semua terpaksa berhadapan dengan wabak yang marak menyala ini.
Apabila wabak telah ada cukup kekuatan, ia memerlukan usaha yang jauh lebih banyak dan masa yang lebih lama untuk terkawal.
Dalam proses ini banyak nyawa terkorban. Ini adalah satu tragedi yang amat menyedihkan.
Kita mesti ambil iktibar dari apa yang berlaku di Sabah.
Kita tak mahu ada lagi negeri yang jadi begini.
Besar harapan kita pada semua pihak yang berkuasa untuk membuat kawalan yang lebih tersusun, pantas dan menyeluruh.
Allahu musta’an.
Doa buat semua rakyat Malaysia di Sabah.
Sumber: Facebook Dr Safiya Amaran
This website uses cookies.