Wajah penuh keibuan! Begitulah yang boleh digambarkan apabila melihat hantaran Instagram Yang Teramat Mulia (YTM) Che Puan Mahkota Kelantan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra dan suami, Tengku Mahkota Kelantan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra saat mengendong anak patung untuk sesi latihan Resusitasi kardiopulmonari atau Cardiopulmonary resuscitation yang diadakan secara khusus untuk pasangan diraja ini sebagai persiapan awal sebelum bergelar ayahanda dan bonda tidak lama lagi.
Baginda berdua mengambil kesempatan untuk menghadiri kursus CPR dan Nursing di Istana Kota Lama, Kota Bharu, Kelantan yang diselia oleh kakitangan dari Universiti Sains Malaysia.
Resusitasi kardiopulmonari (Cardiopulmonary resuscitation CPR) merupakan prosedur kecemasan yang dilakukan dalam usaha bagi mengekalkan secara manual fungsi otak sehingga langkah selanjutnya dapat dilakukan bagi mengembalikan aliran darah dan pernafasan secara spontan pada seseorang yang jantung berhenti berdengup.
Ini ditunjukkan pada seseorang yang tidak bertindak balas dengan berhenti bernafas atau pernafasan tidak normal, sebagai contoh pernafasan sengsara. Ia boleh dilakukan di dalam atau di luar hospital. Pasangan diraja ini mengambil langkah terbaik mempelajari teknik prosedur kecemasan sebagai persediaan sebelum bergelar ayahanda dan bonda tidak lama lagi. Ramai memuji pasangan diraja ini yang mempelajari teknik rawatan kecemasan yang sememangnya penting untuk diketahui oleh setiap individu.
18 Mac lalu, Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan Che Puan Sofie Louise Johansson Petra mengumumkan berita kehamilan anak sulung dan dijangka bersalin Julai ini. Baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke 37 pada tanggal 6 Jun lalu, wajah bakal ibu ini kelihatan berseri-seri meskipun sedang sarat hamil.
Sudah semestinya pasangan diraja sedang menghitung hari detik kelahiran anakanda tersayang yang bakal menyerikan rumahtangga yang dibina sejak 2019 ini.