Langkah penjimatan perlu diambil sekiranya kita mahu menstabilkan ekonomi keluarga. Sebagai wanita dan ibu, banyak juga tips yang boleh digunakan.
Jangan bawa wang!
Apabila anda menerima pelawaan daripada rakan-rakan untuk keluar bersama, jangan bawa wang tunai yang banyak. Cukup sekadar untuk bayaran tempat meletak kenderaan serta makanan dan minuman anda sahaja. Sekiranya mereka ingin pergi membeli-belah, anda boleh mengikut mereka tetapi jangan sampai anda pula yang berbelanja!
Kurangkan penggunaan utiliti
Tarif elektrik semakin meningkat. Sebagai langkah penjimatan, pastikan penggunaan elektrik pada tahap rendah. Padamkan lampu atau penghawa dingin sekiranya tidak digunakan. Kumpulkan baju kotor pada kuantiti yang banyak sebelum mencuci agar penggunaan mesin basuh dapat dikurangkan.
Keperluan dapur
Setiap awal bulan, berbelanjalah lebih banyak untuk keperluan dapur. Beli barangan yang boleh tahan lama. Kemudian, setiap minggu anda hanya perlu membeli keperluan segar yang hanya boleh bertahan beberapa hari seperti susu, sayur-sayuran dan ikan.
Jualan murah
Sebagai ibu, anda perlu bijak mencari ruang untuk berbelanja murah. Perhatikan jualan gudang untuk keperluan anak-anak contohnya jualan penghabisan stok atau warehouse sale. Barangan berjenama yang dijual pada harga lebih rendah adalah pembelian yang sangat menjimatkan. Di samping ia tahan lama, ia juga datang daripada jenama yang diyakini.
Kad kredit
Hubungi talian kad kredit anda dan pohon untuk bayaran balik yang lebih rendah kadar faedah. Dengan bayaran balik yang rendah, sekurang-kurangnya anda boleh berjimat dari segi wang tunai.
Lampin kain
Sekiranya anak kecil anda yang masih memakai lampin hanya duduk di rumah, anda boleh memakai kain lampin. Namun, apabila berada di luar, gunakanlah lampin pakai buang. Anda cuma perlu rajin mencuci kain lampin untuk menikmati penjimatan yang lebih tinggi.
Makan di rumah
Jika anda takt ahu memasak, inilah masanya untuk belajar. Gunakan saja carian di internet atau rajin-rajinlah menuntut ilmu dengan ibu, ahli keluarga atau teman yang pandai memasak. Anda juga boleh minta jiran untuk mengajar anda memasak. Boleh eratkan silaturrahim.
Kumpul kupon
Terdapat banyak pasar raya yang menggunakan tawaran kupon dengan pembelian. Kenal pasti pasar raya yang mengumpul poin atau kupon dan berbelanjalah di sana. Bijak dan menjimatkan!
Barang mainan
Anak-anak kecil biasanya lebih tertarik untuk bermain dengan kotak, plastik atau botol. Sesekali mereka juga akan bermain permainan seperti anak patung mahupun kereta. Peringatan buat anda, jangan membeli terlalu banyak barang permainan kerana ia satu pembaziran.
Makanan dalam tin
Cuba buat carian Google untuk puri mudah dan berkhasiat. Apa salahnya luangkan masa untuk menyediakan sendiri puri untuk anak. Lebih jimat dan berkhasiat berbanding puri sejuk beku.
Recycle saja!
Gunakan semula barangan anak pertama untuk anak kedua dan seterusnya. Tak perlu beli baru kerana pasti masih ada yang elok. Lagipun, ia ada sentimental value!