Beli Rumah Pertama Umur 20 Tahun, TAYLOR SWIFT Ada 7 Aset Rumah Bernilai RM346 Juta!

Bukan hanya satu atau dua tapi sudah tujuh aset mewah dimiliki penyanyi pop antarabangsa, Taylor Swift! Sepertimana dia meluaskan karya muziknya ke serata pelusuk Amerika, seperti itu jugalah Taylor mengembangkan portfolio asetnya ke segenap bandar di sana. Tujuh hartanah milik selebriti cantik ini terletak di Beverly Hills, tiga buah di New York, sebuah di Watch Hill dan dua di Nashville. Pandai Taylor kumpul harta, walau masih muda namun dia bijak mengurus kemewahan yang diraih dengan baik.

Memetik laporan media antarabangsa, daripada seorang gadis desa… kompas hidup Taylor Swift berubah sepenuhnya selepas dia bergelar penyanyi pop bertaraf dunia. Bersandarkan kerjaya muzik yang kian meningkat naik hingga ke hari ini dengan nilai kekayaan mencecah USD360 juta, tidak hairanlah dia mampu memiliki sejumlah besar hartanah di beberapa bandar besar yang dianggarkan bernilai sekitar USD 81 juta atau lebih RM346 juta sepanjang bergelar penyanyi.

Taylor menjalani zaman kanak-kanak di Wyomissing, Pennsylvania sebelum keluarganya berpindah ke pekan Reading. Minat Taylor dalam bidang muzik mula disedari sejak berusia 9 tahun dan ketika menginjak 12 tahun, Taylor sudah mahir bermain gitar dan aktif membuat persembahan di majlis dan pesta hiburan. Pada usia 14 tahun, keluarga Taylor sekali lagi berpindah dan menetap di Hendersonville, Tennessee iaitu kira-kira sejam perjalanan dari Nashville bagi memudahkan gadis ini mendalami minatnya dalam seni muzik.

Yang pasti, usaha dan sokongan keluarganya tidak sia-sia kerana bakat Taylor mula bersinar di sana selepas kejayaan album pertamanya pada tahun 2006. Tiga tahun kemudian, album keduanya iaitu Fearless turut mendapat sambutan dan menduduki carta hiburan. Taylor dilaporkan membeli rumah pertamanya di Nashville pada tahun 2009 ketika baru berusia 20 tahun. Kondominium mewah berkeluasan 3,240 kaki persegi yang terletak di Nashville’s Music Row dibeli dengan nilai sekitar USD2 juta yang dilengkapi tiga bilik tidur dan empat bilik air.

Kondominium di Nashville
Kediaman keluarga di Nashville

Pada tahun 2010, kerjaya muzik Taylor terus memuncak selepas dia melancarkan album Speak Now. Enam kali berturut-turut menerima pengiktirafan album platinum sudah membuktikan dia berada di landasan yang tepat untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik di sana. Ia sekaligus membolehkan Taylor memiliki kediaman menarik di kawasan popular dalam kalangan selebriti terkenal Hollywood, Beverly Hills. Rumah yang mempunyai keluasan 2,800 kaki persegi ini dibeli pada tahun 2011 dengan harga USD3.6 juta. Tujuh tahun kemudian, Taylor menjual rumah ini dengan nilai USD4 juta untuk membeli kediaman yang lebih besar dan mewah.

Tahun 2011 menjadi detik paling sibuk bagi Taylor yang rancak mengintai peluang hartanah. Dia dilaporkan turut membeli rumah di kawasan persendirian Nashville yang dianggarkan seluas 5,000 kaki persegi untuk kedua-dua ibu bapanya, Andrea dan Scott. Dibina seluas 6 ekar tanah, kediaman agam ini menawarkan pemandangan semula jadi yang indah dikenali sebagai Northumberland Estate. Berjiran dengan selebriti glamor seperti Nicole Kidman dan Keith Urban, ia dianggarkan bernilai USD2.5 juta yang dilengkapi empat bilik tidur dan empat bilik air. Rumah ini juga mempunyai kamar tetamu yang luas sehingga 2,000 kaki persegi dan kolam renang.

Pada tahun 2012, apabila Taylor melancarkan album keempatnya iaitu Red dengan mencatatkan 1.2 juta kutipan pada minggu pertama ia dilancarkan, dia telah membeli sebuah rumah lama di Los Angeles dengan harga USD1.8 juta. Daripada rumah berkonsepkan retro, ia diubah menjadi kediaman lebih menarik bercirikan moden dan kontemporari. Menurut LA Times, kediaman ini dijadikan tempat untuk Taylor melayan tetamu sementara dia menetap di kediaman Beverly Hills yang lain. Bagaimana pun, selebriti ini menjual rumah tersebut pada tahun 2018 dengan harga USD2.7 juta.

Pada 2013, Taylor mencipta kejayaan luar biasa apabila memenangi pelbagai anugerah seperti Grammys, People’s Choice, Billboard and Entertainer of the Year Awards. Sepanjang tempoh itu, pembelian aset hartanah Taylor terus berkembang termasuk pembelian rumah tepi pantai di Rhode Island. Taylor membeli mahligai indah tersebut yang berkeluasan 11,000 kaki persegi di Rhode Island’s Watch Hill dengan nilai mencecah USD17.8 juta dilengkapi dengan tujuh bilik tidur dan sembilan bilik mandi. Paling mengejutkan, ia dibeli secara tunai!

Rumah agam di Rhode Island (credit Google Images – Elle Decor)
Kediaman di Rhode Island (credit Google Images – Business Insider)

Pada Februari 2014 pula Taylor meninjau kejiranan menarik Tribeca di Manhattan, New York. Dia kemudian memutuskan bukan hanya membeli satu unit penthouse di sana bahkan menjadi pemilik kepada dua unit penthouse tersebut dengan kos belian mencecah USD 20 juta! Difahamkan rumah ini dibeli dari pengarah Lord of the Rings, Peter Jackson yang berkeluasan 8,300 kaki persegi dengan sembilan kamar tidur dan sembilan bilik mandi.

Bakal berusia 30 tahun pada Disember ini, Taylor membeli satu lagi rumah berinspirasikan Cape Cod pada tahun 2015 di Los Angeles yang sebelum ini dimiliki penerbit terkemuka Hollywood, Samuel Goldwyn dengan harga USD 25 juta. Kediaman yang berkeluasan 10, 982 kaki persegi ini memiliki tujuh bilik tidur. Terpikat dengan suasana di sini, pada tahun 2018 permohonan Taylor untuk menjadikan ia kawasan historic landmark

diluluskan. Dengan kelulusan tersebut, sebarang pengubahsuaian atau pemansuhan estet ini adalah dilarang.

Kediaman ini dilengkapi dengan fasiliti mewah seperti bilik pawagam, perpustakaan, gimnasium, kolam renang, gelanggang tenis dan apartment privasi yang disediakan khas untuk penginapan tetamu.

Salah satu rumah di Beverly Hills
Kediaman di Beverly Hills yang dijadikan historic landmark (Credit – Business Insider)

Sebelum melancarkan album Reputation, Taylor menambah aset hartanah ketiganya di New York pada tahun 2017 dengan membeli townhouse. Ia dibeli dengan harga USD18 juta dan berada berdekatan dengan penthouse yang telah dibeli. Pada Februari 2018, Taylor membeli satu lagi kondominum di bangunan sama penthouse miliknya dengan harga USD9.8 juta. Ia mencatatkan jumlah pembelian aset hartanah Taylor di New York sahaja bernilai USD48 juta!

10 tahun rancak mengumpul aset, ia sedikit pun tidak memperlihatkan Taylor akan berhenti daripada mencari aset baru. Dengan khabar angin tentang percintaannya bersama aktor Joe Alwyn, ramai mejangkakan Taylor bakal mengintai hartanah di London dengan bajet sekitar USD30 juta kelak.

Sesuatu yang menarik di sini.

Share
Published by
Suzi