Kemelut rumah tangga Bella Astillah kian hangat, biarpun tuan badan sudah ‘penat’, teka-teki sama ada wujud lagikah peluang ke-12 selepas Aliff Aziz curang 11 kali terus diperkatakan.
Kamar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan sekali lagi menjadi tumpuan apabila Aliff Aziz mengambil pendirian untuk tidak menceraikan isterinya di atas alasan masih sayangkan keluarga.
Menurut Bella, 30, selepas kemelut yang berpanjangan, dia menjangkakan prosiding perceraian mereka akan dapat diselesaikan hari ini.
Tetapi tidak menyangka Aliff memilih untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina pada 9 September 2016 itu.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tiba ke mahkamah ditemani adik dan ibu tersayang, Bella tenang menjalani ujian berat yang menimpanya pada 10 malam terakhir Ramadan itu.
“Saya dah penat dan memang tak sangka dengan keputusan dibuat. Saya sangkakan hari ini akan selesai semuanya,” katanya kepada media.
Tambah Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah lagi, “Siapa yang tak sayangkan rumah tangga, saya percaya siapa yang berkahwin nakkan perceraian?
Ingat saya suka turun naik mahkamah? Sebab itu selama ini saya cuba pertahankan rumah tangga ini selama bertahun-tahun,” ujar ibu kepada Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna tersebut.
Ditanya kenapa dia begitu tegar mempertahankan rumah tangga biarpun setelah dicurangi sebanyak 11 kali termasuk dengan adik sendiri, Eriqa Astillah, Bella berkata setiap individu mempunyai limitasi dalam hidup.
Mahkamah menetapkan sebutan untuk keputusan laporan proses Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) pada 4 Jun.
Begitulah hati seorang isteri. Dipaksa bertahan dan terus bertahan hingga akhirnya, mati rasa itu. Jika tawar hati Bella masih dapat diubati, mungkinkah masih ada peluang ke-12 untuk ruang perdamaian?
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/semoga-kuat-ramai-titip-semangat-bella-astillah-nekad-berpisah-dengan-aliff-aziz/
This website uses cookies.