Persepsi sebuah perjalanan juga berbeza mengikut keperluan individu. Bagi Noornabilla Azemi, 29 tahun, sebuah perjalanan adalah menikmati keindahan sesebuah kawasan baharu dan menyingkap rahsia sejarah yang tersimpan rapi di kalangan penduduk tempatan. Perjalanan yang dirancang rapi juga menyediakan peluang untuk mengetahui cara hidup, makanan, budaya, adat dan bahasa masyarakat setempat. Menjejak kaki sendiri ke daerah yang dikunjungi sangat berbeza dengan melihat melalui gambar atau membaca semata-mata.
Menurut gadis yang lebih mesra disapa Bella ini, “Impian saya untuk melengkapi pengembaraan menawan 195 buah negara sebelum berusia 30 tahun. Setakat ini saya baru menjelajah ke Singapura, Thailand, Vietnam, Jepun, Korea Selatan, China, Laos, Kemboja, Dubai, Australia, United Kingdom, Netherlands, Jerman, Switzerland, Austria, Republic Czech, Hungary, France, Belgium, Denmark, Itali dan Sepanyol. Masih jauh lagi perjalanan yang perlu diatur dan saya akan cuba sedaya-upaya untuk melengkapi kesemuanya. Saya masih mempunyai tiga tahun lagi untuk menyempurnakan impian tersebut.
Apabila mengembara secara solo kita tidak terikat dengan sebarang percaturan teman-teman dan boleh melakukan apa sahaja secara sendiri termasuk mahu menginap seberapa lama di sesebuah tempat. Saya tidak mempunyai ketentuan tertentu untuk tinggal berapa lama di sesebuah daerah. Kadang-kadang saya akan menetap di sana selama dua minggu dan ada juga sehingga tiga bulan lamanya. Semuanya bergantung kepada negara atau tempat yang dilawati,” ungkap pemegang Bachelor Engineering Technology Supply Chain Management, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ini.
Sebuah perjalanan tidak hanya mencatat peristiwa indah dan sempurna semata-mata. Dalam sebuah lipatan sejarah tetap terpalit peristiwa pahit yang sukar dilupakan dan mendebarkan perasaan. Bella juga terpaksa mengharung peristiwa yang sukar dilupakan dan pasti terpateri kukuh dalam travelog perjalanan hidupnya. “Pengalaman pahit yang selalu menjadi masalah kepada saya adalah masalah bahasa. Kebanyakan negara tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan masih mengagungkan bahasa ibunda mereka. Mereka begitu bangga dengan bahasa pertuturan dan seakan tidak mahu langsung mempelajari bahasa Inggeris. Apabila tidak ramai yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris agak susah untuk berkomunikasi terutama untuk bertanya arah atau tempat yang ingin dituju.
Antara pengalaman yang sukar untuk dilupakan adalah apabila terpaksa bermalam di kaki lima. Pengalaman terpaksa tidur di kaki lima ini terjadi disebabkan saya terlepas kereta api yang sepatutnya dinaiki. Tiada hotel atau motel berdekatan memaksa saya untuk melelapkan mata seorang diri di kaki lima stesen kereta api sehingga pagi untuk menunggu perlepasan kereta api yang seterusnya. Ditambah pula dengan musim sejuk ketika itu maka menggigil kesejukan menusuk tulang sehingga pagi.
Namun, dalam banyak-banyak pengalaman, peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah apabila bas yang saya naiki dari Amsterdam ke Milan telah ditahan oleh pihak polis. Pada ketika itu saya seorang sahaja pelancong wanita dari Asia manakala yang lain pula adalah pelancong dari serata Eropah. Pihak polis tempatan telah menahan bas yang saya naiki dan menggeledah seluruh sudut bas tersebut.
Pihak polis sebenarnya telah mendapat laporan terdapat seorang penumpang yang membawa dadah. Saya terpaksa menanggalkan jaket, kasut dan stoking untuk tujuan pemeriksaan. Beg yang saya bawa juga turut diperiksa oleh pihak berkuasa. Selepas melalui pemeriksaan yang mendebarkan pihak polis telah menjumpai dadah dan ganja dibawa oleh dua orang lelaki.
Jantung berdegup pantas dan rasa ngeri menerpa apabila kedua-dua orang lelaki tersebut duduk betul-betul di hadapan kerusi saya di dalam bas. Alhamdulillah mereka tidak meletakkan apa-apa di dalam beg atau di tempat duduk saya. Ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa cuaknya saya dan rasa hendak menangis mahu pulang ke Malaysia dengan segera,” ungkap Bella yang pernah melalui pengalaman ditahan oleh pihak imigresen ketika berada di Australia.
Menurut Bella sepanjang beberapa tahun berada di negara orang dia sangat beruntung kerana tidak pernah ditipu orang. Kerap juga dia mendengar keluhan rakan-rakan apabila ditipu oleh rakyat tempatan ketika melancong tetapi tidak bagi dirinya. Jika ada sekalipun hanya ketika sesi jual beli barangan.