Nama Ashanty mungkin tidak begitu popular dalam kalangan peminat di Malaysia. Namun di negaranya, Ashanty mempunyai pengaruh tersendiri dan dikagumi peminat Indonesia. Ini terbukti apabila dia memiliki hampir 30 juta followers di Instagram.
Ads
Minat mendalam terhadap dunia seni dan nyanyian telah membawa Ashanty ke industri muzik Indonesia. Ashanty atau nama penuhnya Ashanty Siddik Hasnoputro dilahirkan di Jakarta pada 4 November 1984. Meniti usia 38 tahun, Ashanty bukan saja berstatus ibu malah sudah bergelar nenek sejak anak tirinya, Aurel Hermansyah melahirkan anak pada 22 Februari lepas.
Kelibat Ashanty mula menjadi perhatian sejak berkahwin dengan Anang Hermansyah yang merupakan bekas suami kepada penyanyi terkemuka Indonesia, Krisdayanti. Walau ibu tiri kepada Aurel tapi hubungan kedua-duanya sangat akrab.
Memetik laporan Palembang Tribunews, Ashanty bukan calang-calang wanita. Dia berasal dari keluarga bangsawan dan anak bongsu daripada lima beradik kepada pasangan Soejahjo Hasnoputro dan Farida Siddik.
Ibu Ashanty keturunan Arab-Perancis. Sementara ayahnya, Prof Soejahjo Hasnoputro pula berketurunan Jawa. Ini bermakna Ashanty mempunyai darah kacukan Jawa, Arab dan Perancis.
Penglibatan Ashanty dalam arena hiburan tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa. Ini kerana keluarganya sangat mengutamakan pendidikan. Apatah lagi, datuk Ashanty ialah bekas diplomat.
Manakala bapanya pula seorang profesor dan staf di Lembaga UNICEF Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Datuk Ashanty bernama Prof Dr. KH Abdullah Siddik dan neneknya pula H Sutimah Siddik. Khabarnya moyang figura ini iatu Edward Coles berkahwin dengan puteri bekas penguasa Pangeran Ing Alaga di kerajaan Silebar yang terletak di wilayah Bengkulu, Sumatra Selatan.
Ads
Dikatakan juga moyang Ashanty menjadi gabenor terakhir Benteng Bengkulu pada 14 Oktober 1781 hingga 28 Februari 1785.
Akur dengan didikan ibu bapa yang mementingkan pendidikan terhadap anak-anak, Ashanty berjaya melanjutkan pelajaran dalam jurusan Hubungan Antarabangsa di Universitas Paramadina.
Ads
Pada tahun 2009, isteri Anang ini mewarnai dunia seni dan melancarkan album sendiri bertajuk Ashanty. Popularitinya kian melonjak ketika dia berduet dengan Anang Hermansyah sehinggalah kedua-duanya menghasilkan lagu berjudul Jodohku pada tahun 2011.
Keserasian mereka berpadu suara akhirnya bercambah menjadi pasangan kekasih dan mereka selamat bernikah pada 12 Mei 2012 di Jakarta.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak iaitu Arsy Addara Musicia Nurhermansyah dan Arsya Akbar Pemuda Hermansyah. Selepas berkahwin, Ashanty lebih menumpukan perhatian terhadap keluarga dan anak-anak.
Selain masih aktif dengan kerjaya nyanyian, Ashanty turut memanfaatkan masanya dengan urusan perniagaan. Dia berjaya membina empayar niaga bersama-sama suami tercinta dan antara bisnes yang diusahakan Ashanty termasuklah dalam bidang kecantikan, kosmetik, Dapur Asix, Ayam Asix dan Ash Juice.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menjelang ketibaan Aidilfitri, Swarovski meraikan musim lebaran ini dengan penuh kesyukuran serta semangat perpaduan menerusi pelancaran koleksi barangan kemas baharu. Turut diperkenalkan barisan selebriti kempen Raya Swarovski iaitu Scha Alyahya, Sharifah Rose, Qasrina Karim, Hun Haqeem, Nadhir Nasar dan bintang Indonesia, Raline Shah menyerikan vibe Aidilfitri.
Meriah! Sempurnanya raya pabila ahli keluarga berkumpul dan sanak-saudara bertandang ke rumah. Tangan dihulur, salam bersambut, mengharap kemaafan dan menjalin silaturahim.
Selain aneka juadah lazat yang terhidang, Hari Raya juga merupakan masa untuk bersiap sakan. Masing-masing berbaju baru, kenakan juga barangan kemas Swarovski penyeri diri.
Nona teruja melihat barisan selebriti terkenal yang menghiasi kempen Raya Swarovski 2024. Setiap satunya ikon fesyen dan wajah inspirasi ramai, merata pelosok disanjung peminat.
Makin bererti bila Scha Alyahya, Sharifah Rose, Qasrina Karim, Hun Haqeem, Nadhir Nasar dan Raline Shah memperagakan barangan kemas serta jam Swarovski, cukup menyerlah!
Tampil dengan rekaan lebih mempesona, koleksi kali ini mengetengahkan keindahan kristal dan batu-batu Swarovski dalam keluarga Constella, Luna, Una, Matrix, Millenia dan Imber.
Semak himpunan terbaharu ini yang didatangkan dalam pelbagai rupa dan potongan, tiap satunya diukir teliti bagi menyerlahkan seri lebaran.
CONSTELLA
Ilham dari jalur langit malam, Swarovski memadukan pasangan logam tona emas dan kristal hijau dari keluarga Constella yang melambangkan sisi elegan tersendiri sambil mencerminkan keajaiban alam. Rona hijau yang memancar menyerikan sambutan raya penuh tradisi sambil membias ketenangan dan kemakmuran.
LUNA
Koleksi yang bertenaga, misteri, menawan dan berani. Luna menyerlahkan keindahan bulan, mengubah bentuk bulan sabitnya menjadi rangkaian barangan kemas yang provokatif. Rekaan dengan bucu punk yang berkilau, bertatahkan bebatu pave dan sfera yang berkemilauan.
UNA
Sederhana namun tetap memukau, koleksi ini menjentik semangat dari inspirasi kosmik. Ia menampilkan tatahan batu hijau yang menakjubkan di bahagian tengah, diapit dengan teknik pave signature Swarovski dan kemasan rantai bersadur emas. Elegan, moden dan semestinya mengundang pujian ketika berhari raya.
MATRIX
Reka bentuk Matrix sentiasa mengalir. Jalurnya telus cahaya dengan kristal berwarna, menjadi tumpuan. Setiap barangan kemas dicipta dengan indah untuk membawa ledakan kegembiraan, menyerlahkan ciri sofistikated dan kemewahan yang diidamkan sempena musim Raya ini.
MILLENIA
Merupakan salah satu rekaan ikonik Swarovski, koleksi ini mempamerkan sentuhan yang berani dan klasik pada setiap item barangan kemas. Mengetengahkan gaya yang dramatik, kalung dan rantai tangan direka seperti jaluran kristal oktagon hijau dengan kemasan bersadur emas.
IMBER
Tunjang pembuatan Swarovski terungkai dalam keluarga Imber, di mana bermulanya inspirasi hardware logam dengan tatahan kristal tebal. Kali ini, suntikan nuansa pink dilancarkan bagi musim perayaan sekaligus mencetus elemen organik, elegan, moden dan menebar vibe yang bermakna.
JAM TANGAN
Masih mengekalkan rekaan oktagon ikonik Swarovski, gelang jam tangan Dextera menyerlahkan aura glamor. Logo angsa pada angka 12 dengan tiga indeks penanda kristal terletak sempurna, bersatu dengan sebutir kristal berkilau di bahagian mahkota dan bertatahkan set kristal 194 butir.
Sementara itu koleksi jam tangan Certa direka kreatif agar menonjol dalam apa jua busana. Di bawah kaca mineral, dial guilloché yang mempesonakan terungkap, dengan logo angsa Swarovski pada jam 12 bersama-sama indeks yang dicipta daripada kristal bulat dan kristal baguette. Setiap koleksi jam tangan buatan Swiss ini kalis air dan direka dengan ketukangan paling halus dan menawan untuk dipakai setiap hari.
Semua rekaan Swarovski cukup menakjubkan dengan kemahiran pertukangan paling teliti dan luar biasa. Semuanya menepati gaya Raya anda sekaligus mencipta nostalgia tersendiri. Dapatkan koleksi Raya secara eksklusif di semua butik Swarovski Malaysia atau secara dalam talian di Swarovski.com.
PROMOSI HADIAH DENGAN PEMBELIAN
Dapatkan satu set sampul raya eksklusif dengan pembelian bernilai MYR525 ke atas.
Dapatkan lilin beraroma eksklusif Swarovski dengan pembelian bernilai MYR995 ke atas.
*Promosi sah dari 28 Mac hingga 14 April 2024. Lilin Beraroma Swarovski adalah eksklusif untuk Ahli Kelab Swarovski dan Ahli SCS sahaja. Pembelian mesti dibuat dalam satu transaksi tunggal. Sah selagi stok masih ada. Tertakluk terma dan syarat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Meskipun rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji tidak dapat dilaksanakan seperti biasa, namun masih ada beberapa amalan bulan Zulhijah lain yang boleh dilakukan sewaktu pandemik COVID-19 ini.
Bulan terakhir dalam kalendar Islam ini adalah empat bulan haram, yang di dalamnya terkandung bonus pahala yang besar. Ada sebuah hadis yang sering kali dikaitkan dengan keistimewaan 10 hari terawal bulan Zulhijah. Cuma hadis berkenaan dikhabarkan mempunyai sanad yang lemah.
Tapi terdapat beberapa amalan utama yang boleh dilakukan pada bulan Zulhijah. Kita digalakkan untuk melakukannya sepanjang 10 hari terawal Zulhijah. Ini seperti yang dikongsikan Presiden Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman yang dipetik menerusi hantaran di Facebook miliknya.
(1) Berzikir
Basahkan lidah dengan memperbanyakkan zikir sebagaimana yang dianjurkan dalam hadis diriwayatkan oleh al-Tabarani.
Subhanallah
Alhamdulillah
La ilaha Illallah
Allahu Akbar
Firman ALLAH SWT: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama ALLAH, pada hari-hari yang tertentu..” (Surah al-Hajj, ayat 28)
Ketika menafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’, Ibn Abbas RA berkata, ia adalah 10 hari Zulhijah dan inilah juga pendapat majoriti ulama.
(2) Berpuasa
Umat Islam amat digalakkan berpuasa pada 1 hingga 9 Zulhijah bagi orang yang tidak menunaikan haji.
Ketahuilah, Hari Arafah iaitu 9 Zulhijah merupakan hari yang terbaik untuk kita berpuasa.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiada hari yang lebih banyak ALLAH membebaskan hambanya lebih daripada hari Arafah.” (Riwayat Muslim)
Apabila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah itu, baginda SAW menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.
(3) Melakukan amalan-amalan lain
Umpamanya bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Semua amalan berkenaan termasuk dalam hadis umum yang menunjukkan perbuatan melazimkannya amat disukai oleh ALLAH SWT.
(4) Jauhi maksiat
Andai kita pernah berbuat salah dan dosa, inilah masa terbaik untuk memulakan taubat, terutama bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhkan perbuatan mulia itu.
Amat biadab jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram pada hari yang amat agung di sisi ALLAH SWT ini.
Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat. Sedarilah bahawa hidup di dunia ini hanya sementara. Segala keseronokan yang ada di muka bumi hanyalah tipu daya semata-mata.
(5) Bertakbir
Ibn Abi Shaibah menyebut, ‘Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tashriq.
(6) Berkorban
Ia merupakan amalan yang dituntut bagi umat Islam yang berkemampuan. Hukumnya adalah sunat muakkad.
Firman ALLAH SWT: “Sesiapa yang membesarkan syiar ALLAH (berkorban), maka ia adalah dari tanda ketakwaan hati.” (Surah al-Hajj, ayat 32)
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh ALLAH SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)” ( Riwayat al-Tirmidzi, Abu Daud; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan)
Justeru, kita digalakkan untuk memperbanyakkan dan meningkatkan amal soleh serta ketaatan kepada ALLAH SWT pada 10 hari yang pertama ini.
Semoga ALLAH SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-NYA yang mendapat rahmat, keampunan dan pelepasan daripada api neraka.
Sumber: Sinar Plus, Bayan Li Al-Haj Siri ke-32: Keistimewaan dan Fadhilat 10 Awal Zulhijjah: Marilah Kita Beramal, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Facebook Dr Zaharuddin Abd Rahman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mengenali Faizul Rohban, seperti mengimbau kembali kenangan penulis saat bertemu kakaknya, Allahyarhamah Faziani Rohban. Kemesraan dan semangat pengasas kosmetik Dnars itu seakan mengalir semula, dari DNA yang sama, cuma melalui orang yang berbeza.
Tenang menyapa penulis, Faizul atau nama penuhnya Mohd Faizul Rohban Ahmad tidak kekok bercerita pengalaman hidup beliau sebelum bergelar ahli perniagaan Beauty Kaseh.
Sejak dilancarkan sekitar 2013, nama produk minuman kesihatan, Manja Kaseh dan Arjuna Kaseh mula hebat diperkatakan. Di sebalik kejayaan itu, inilah orangnya yang bertungkus-lumus memajukan bisnes yang diilhamkan oleh kakak sendiri, Hajah Faziani Rohban.
Lelaki segak asal Kelantan dan berusia 38 tahun itu kini merupakan Pengarah Urusan FR Qaseh Marketing Sdn Bhd.
“Betul, bisnes Beauty Kaseh ditubuhkan hasil ilham dan kerja keras kakak saya yang pada waktu itu memerlukan seorang jurucakap untuk produk yang dilancarkan.
Arwah meminta isteri saya, Norbaizura Ibrahim untuk membantunya sebagai jurucakap kemudian mempelawa saya sekali untuk menjadi jurucakap bersama. Saya ingat lagi kata-katanya masa tu…
‘Joe, aku nak mu dengan Zura jadi jurucakap bersama. Aku yakin mu ada kelebihan untuk bercakap.’
Bermula dari situlah penglibatan saya dan isteri menjadi jurucakap sepenuh masa. Namun pada tahun 2017, kira-kira dua tahun sebelum kematian arwah, dia membuat keputusan untuk melepaskan perniagaan Beauty Kaseh dan menyerahkan syarikat ini sepenuhnya kepada saya tanpa perlu membayar apa-apa.
Hanya ambil dan uruskan saja.” Faizul Rohban
Sebagai seorang adik, pemergian kakak tersayang pastinya meninggalkan banyak kenangan. Faizul tidak terkecuali.
“Saya tak pernah rasa ralat bila orang kaitkan saya dengan perniagaan arwah. Memang betul asalnya bisnes ini adalah hak arwah, dan setiap kali orang bertanya, saya juga akan mengaitkan arwah kerana mana mungkin saya mahu melupakan orang yang membawa saya ke tahap ini.
Arwah banyak berkorban tenaga, idea, wang ringgit dan doa untuk membawa kejayaan kepada saya. Setiap kali orang tengok saya dan tanya, ‘Adakah awak adik pengasas Dnars?’ maka jawapan saya adalah ‘Ya!’
Darah dan semangat arwah sentiasa mengalir dalam badan saya.” Faizul Rohban
Pencapaian Beauty Kaseh yang membanggakan turut mengangkat nama Faizul Rohban sebagai penerima Best Men’s Halal Beauty Award di acara Nona Superhero Award 2021.
Meskipun maju dan menerima pengiktirafan yang tinggi, namun tak sedikit pun wujud rasa riak, sebaliknya Faizul semakin berazam mahu membawa nama Beauty Kaseh ke peringkat global.
“Sebenarnya saya mula berbisnes selepas tamat SPM 2002. Masa tu saya ambil alih bisnes kedai makan arwah abah iaitu sebuah kedai menjual roti tempayan (roti nan) yang tak dikenali. Dengan jualan kedai yang bagaikan hidup segan mati tak mahu, saya ubah landskap bisnes itu ke arah yang lebih baik.
Percaya tak, saya pernah promosikan kedai saya tu dengan menyelit flyers di dalam akhbar-akhbar? Saya masih ingat saat tu, hanya ada sebuah motosikal saja. Itulah kenderaan saya untuk membawa segala bahan mentah.
Pernah saya bawa seguni gandum di atas motosikal dan tiba-tiba talinya putus lalu berteraburlah gandum di atas jalan. Tanpa rasa malu saya turun dan ambil balik gandum-gandum tu. Pernah juga guni bawang bocor, pun saya turun dan kutip bawang-bawang di atas jalan raya.
Dulu saya hanyalah seorang budak penebar roti canai. Arwah abah buat roti dan saya buat roti canai. Selepas abah meninggal dunia pada tahun 2010, tinggallah saya seorang menguruskan kedai sambil dibantu oleh adik perempuan dan adik lelaki saya yang masih bersekolah waktu tu.
Pada masa tersebut, saya tiada impian nak usahakan bisnes produk lagi, sekadar fokus mempertahankan bisnes arwah abah saja.
Sehinggalah pada tahun 2013, arwah kakak telah membawa saya ke pentas perniagaan Beauty Kaseh ini.” Faizul Rohban
ARWAH KAKAK
Tekad mahu berjaya dan mengubah nasib dirinya, Faizul kini sedang melanjutkan pengajian Ijazah Pengajian Perniagaan di sebuah IPT. Impiannya besar, mahu membawa jenama Beauty Kaseh ke tahap global!
“Segalanya memerlukan perancangan rapi termasuk dokumen yang lengkap. Kerana itu kami telah mula bergerak ke arah ini sejak dari tahun 2019 lagi. Selain itu, kami juga memiliki sebuah kilang kosmetik yang akan beroperasi tak lama lagi.”
Menyedari betapa kuatnya persaingan dan cabaran pandemik yang melanda dunia, Faizul bingkas memperkasakan dirinya agar lebih dinamik dan berdaya saing.
“Hari ini media sosial bergerak pantas dan wujud ramai founder yang mencari ejen untuk produk mereka. Bersandarkan kekayaan yang dimiliki, segalanya ditayang dengan alasan supaya ejen lebih terangsang.
Tapi saya yakin untuk merangsang minda manusia agar berjaya, cara sebenar ialah dengan memberi ilmu perniagaan yang betul. Bukan beri khayalan.
Di Beauty Kaseh, saya lebih suka menghasilkan produk yang berkualiti serta menjalani R&D yang mantap berbanding menghasilkan contents yang tidak bermanfaat.
Prinsip saya mudah. Biar lambat tetapi berkualiti. Sebagai ahli perniagaan, kita mesti bergerak seiring dengan realiti yang sebenar serta pengalaman yang mematangkan kita.” Faizul Rohban
Menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai idola, Faizul juga tidak menafikan bahawa banyak sifat-sifat arwah kakaknya yang dicontohi untuk berjaya.
“Arwah adalah seorang yang tidak sekali-kali akan kalah pada keadaan. Apabila dia kata ya, maka tidak ada apa yang boleh mengatakan tidak. Dia akan berusaha sungguh-sungguh untuk mencapainya.
Satu hari kami berjumpa di airport, saya bagi kad bisnes saya yang baru kepada arwah. Dengan spontan arwah jawab, ‘Satu masa nanti mu akan berjaya sebab mu kreatif. Tapi dengan syarat jangan putus asa.’
Memang arwah kakak selalu berfikir untuk memajukan bisnes saya. Dua minggu sebelum nahas yang menimpa arwah, dia telefon isteri saya untuk berpesan, jagakan kelapan-lapan anaknya dengan sebaik mungkin.
Arwah mahu saya uruskan kilang dia kerana dah penat. Jarang dalam hidup dia yang dia katakan dia penat. Waktu tu kami tak perasan ini pesanan terakhirnya…” Faizul Rohban
Kenangan paling manis buat Majalah Nona, ketika bertamu ke mahligai indah Allahyarhamah Faziani Rohban di Tumpat, Kelantan. Mesra dan amat menyenangkan, sebak pula tonton video ni…
IMPIAN
Tidak mahu terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kisah peribadi Faizul pula menjadi topik sembang kami. Agaknya bagaimanalah cara membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga di rumah?
“Sebenarnya dua perkara ini penting dalam hidup saya. Isteri dan anak-anak kerana itu saya akan pastikan setiap Jumaat kami berada di rumah bersama-sama. Kalau tidak outstation, saya sentiasa berada di rumah untuk makan, solat berjemaah dan beriadah sekeluarga.
Selain itu, ada beberapa hari yang saya akan pastikan hadir ke majlis pengajian kitab dan tafsir Al-Quran di masjid. Itulah cara saya melepaskan stres dalam hidup saya.
Biasanya bila saya lemah dan down, saya akan pujuk diri saya bahawa ini semua adalah ujian dan cabaran yang Allah berikan agar kita lebih kuat. Tanpa ujian, manusia sering akan merasa selesa tetapi dengan ujian, kita akan rasa lebih diperhatikan.” Faizul Rohban
Sama seperti tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar yang menjadi idolanya, lelaki berkulit cerah ini berkongsi hasrat yang sama iaitu mahu membangunkan ekonomi ummah tanpa menonjolkan kekayaan.
“Satu lagi impian yang belum tercapai ialah ingin melihat produk-produk Beauty Kaseh berada di dalam rumah setiap Keluarga Malaysia seperti minuman, bedak, kosmetik dan lain-lain. Saya yakin semua ini pasti akan berhasil suatu hari nanti, insya-Allah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Fasha Sandha dedah rahsia kekal relevan. Disiplin merupakan rahsia Nur Fasha Sandha Hassan atau nama glamornya Fasha Sandha kekal relevan dan masih diberi kepercayaan...