
Chempaka Emalin Pahamin seorang wanita yang ringkas namun memiliki karisma tersendiri. Meskipun bergelar isteri selebriti popular dan lahir dalam kalangan keluarga ternama, Chempaka cukup low profile. Jarang kisah mengenai dirinya dikongsikan kepada umum.
Pun begitu, apabila sebut sahaja nama Chempaka pasti ramai yang terkenang wajah kacak suaminya iaitu Azhar Sulaiman. Pelakon era 90an ini pernah membintangi beberapa filem popular antaranya Abang 92.
Berbakat sebagai pelakon, aktor ini juga mempunyai kelulusan akademik dalam bidang seni bina dan bergelar arkitek.



Di sebalik kejayaan Azhar, ada seorang wanita bergelar isteri yang sentiasa menyokong minat dan kerjaya suami. Difahamkan usia perkahwinan Azhar dan Chempaka mencecah 28 tahun.
Mesra menyapa isteri dengan gelaran Maling, Azhar bertuah dikurniakan isteri yang bukan hanya ‘humble’ dan bijak tetapi juga cukup menjaga nama baik suami.
Mengenali Chempaka, ibu hebat yang meniti usia 52 tahun ini ialah anak sulung kepada Allahyarham Datuk Pahamin A Rajab dan Datin Zainab Mohamad.




Bapanya merupakan pengasas bersama AirAsia Berhad dan pernah berkhidmat dalam kementerian serta agensi kerajaan lebih 30 tahun.
Sebelum ini bapa Chempaka menggalas tugas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan.
Meskipun berasal dari keluarga ternama, Chempaka seorang wanita ringkas dan selesa tidak dibayangi hidup glamor memandangkan suaminya berstatus selebriti. Aktif menyertai Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Chempaka dilantik sebagai Chair of Asia Pacific Regional Committee.
Bukan itu saja, Azhar sebelum ini turut pernah mendedahkan isterinya ialah seorang peguam.





Malah keluarga Chempaka Emalin Pahamin juga memiliki fima guaman berdaftar dengan Majlis Peguam Malaysia dikenali sebagai Pahamin & Pahamin.
Wanita bijak ini juga ibu kepada tiga anak iaitu Kasih Leia Ixora, Kasih Iris Leona dan Andika Rees Pahamin. Mewarisi gen bijak Azhar dan Chempaka, ketiga-tiga cahaya mata pasangan ini menjadi tumpuan masyarakat kerana meraih keputusan akademik cemerlang.
Anak sulung mereka, Kasih Leia Ixora ialah graduan dari University of Notthingham. Sementara anak kembar, Kasih Iris Leona dan Andika Rees pula sambung pengajian di luar negara. Julai lepas, Rees selesai menamatkan pengajian di Solent University di England.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/sambung-master-waktu-anak-baru-4-bulan-dhaniyah-guna-pengaruh-anak-selebriti-cetus-inspirasi/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lepas Umrah, Mizz Nina Sambut Birthday Pertama Musa Di London, Murah Rezekinya Dapat Ibu Angkat Penyayang!

Masa pantas berlalu. Seperti baru semalam mendengar berita gembira tentang kehadiran Musa dalam hidup Hajah Shazrina Azman atau Mizz Nina, kini sudah setahun usianya. Meskipun memilih untuk merahsiakan wajah si kecil itu, beliau tetap berkongsi perkembangan terbaru anak angkat kesayangannya.
Genap berusia setahun, Mizz Nina yang merupakan penerima anugerah Ikon Aktivis Kemanusiaan di Majlis Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2022 berkongsi tentang ulang tahun kelahiran Musa pada 2 Disember.
Bayi lelaki ini merupakan anak angkat beliau dan bekas suami, Noh Salleh, selepas usaha mereka bertahun-tahun menjalani prosedur IVF menemui jalan buntu. Pasangan itu sah bercerai Ogos lepas selepas 11 tahun berumah tangga.
Dalam kemas kini itu, Mizz Nina yang kini berusia 42 tahun memuat naik fotonya bersama Musa dengan wajah yang dilindungi stiker emoji. Pasangan ibu dan anak itu kini dikhabarkan sedang berada di London.




Meskipun dilihat sibuk memenuhi undangan temu bual dengan pihak media di sana, Mizz Nina tetap meraikan hari istimewa Musa bersama-sama.
“To my sayang Musa, hari ini genaplah usiamu mencecah setahun. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana membawa dirimu ke dalam hidupku.” Mizz Nina
Tulis wanita tabah itu lagi, Musa adalah seorang bayi yang istimewa, comel, suka tertawa dan mesra dengan sesiapa saja. Kehadiran bayi ini sangat menggembirakan hatinya, ibarat hadiah bernilai dan amanah terbesar untuk dipelihara dengan sebaik mungkin.
Meskipun hanya menjadi ibu angkat, sifat keibuan Mizz Nina jelas tergambar daripada titipan doa dan ucapan ikhlas ini buat buah hatinya.
“Ya Tuhanku, pilihlah dia agar sentiasa di bawah naungan, perlindungan, petunjuk, rahmat dan keampunan-Mu. Berkatilah dia dengan ilmu dan hikmah, jadikan Musa seorang yang merendah diri, berbudi pekerti, dikurniakan kesihatan terbaik, sahabat dan guru yang soleh.
Bantulah dia membesar, pantas belajar dari kesilapan dan kegagalannya serta pandulah dia di atas landasan Al-Quran dan Sunnah.
Allah loves you sayang Musa, I love u, your bapak and all your mummies love you too…” Mizz Nina
Tidak ketinggalan, vokalis Hujan iaitu Noh Salleh yang merupakan bapa angkat Musa turut berkongsi momen manis menarik anaknya di dalam wagon dalam hantaran terbaru.
“Happy Birthday Musa. Bapak sayang kitak.” Noh Salleh

******************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (klik)
******************
TUNAI UMRAH
Kasih sayang seorang ibu tidak bertepi. Selagi berdaya, semuanya mahu diberi untuk kebaikan cahaya mata yang disayangi. Tidak terkecuali, Mizz Nina juga turut membawa Musa menunaikan umrah pertamanya bersama-sama pada bulan lepas.
Doanya sentiasa melangit untuk melihat si kecil ini membesar sebagai manusia yang beriman dan beramal soleh. Bertuah sungguh Musa dibesarkan dalam pangkuan Mizz Nina.


Semoga anak comel ini terus dilimpahi keberkatan dan dipeluk kasih sayang oleh kedua ibu bapa angkatnya meskipun sesudah perceraian. Jalan hidup dan perjuangan manusia itu berbeza, namun doakanlah yang terbaik buat sesiapa pun yang singgah dalam hidup ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Himpunan Produk Penjagaan Kulit & Kosmetik BESTSELLING Bulan September 2017 Pilihan Nona. Ini Yang Mesti Anda Beli SEKARANG

Wanita moden kini lebih bijak memilih produk yang terbaik demi meningkatkan keserian dan kecantikan wajah luar dan dalam. Nona membariskan pilihan produk yang menjadi Best Seller untuk bulan ini.
CLE DE PEAU BEAUTE, LUMINIZING FACE ENHANCER

Rangkaian jenama kosmetik mewah Cle De Peau Beaute hadir mewarnakan seleksi solekan yang memenuhi dambaan wanita yang mahu kelihatan cantik sempurna.
Kuasa tercipta dengan menyempurnakan solekan melalui sentuhan terakhir oleh Cle De Peau Luminizing Face Enhancer lantas menyerlah sebuah solekan yang dilakar indah.
Mengekalkan kemewahan reka bentuk bekas yang sempurna lantas dicipta solekan bertekstur penuh kemewahan yang meluncur lembut di atas kulit. Berus yang direka istimewa ini untuk menyerlahkan keserian wajah.
GIVENCHY MATISSIME VELVET

Menyuntik inspirasi keindahan helaian baldu sebagai perumpamaan dalam solekan telah melahirkan Matissime Velvet daripada Givenchy. Seleksi bahan yang terpilih telah digabungkan demi menampilkan keupayaan istimewa dalam solekan iaitu matte yang menampilkan refleksi pencahayaan sempurna dalam setiap langkah.
Dicipta sempurna untuk memberi keselesaan berpanjangan dan solekan tahan lama sambil mempertahankan keserian semula jadi wajah. Matissime Velvet Compact hadir dengan enam tona warna iaitu Mat Porcelain, Mat Shell, Mat Sand, Mat Beige, Mat Honey dan Mat Gold.
YSL ALL HOURS

Mencipta kesempurnaan wajah menerusi bedak asas yang digarap indah untuk kegunaan siang dan malam. Sapuan yang menyeluruh dengan impak matte tidak perlu ditekap semula kerana telah diformulasi untuk kegunaan 24 jam.
YSL telah memperkenalkan All Hours rangkaian kosmetik yang tahan lama tanpa kompromi kesan bercapuk. Istimewa dicipta dengan bahan daripada batu volkanik yang mampu menyerap air tiga kali lebih berkuasa. Menjadikan bedak asas ini tahan lama berjam-jam lamanya. Juga diperkaya dengan antioksidan untuk memperbaharui tekstur kulit sambil melindungi daripada pancaran UV yang berbahaya.
MARC JACOBS ENAMORED HI-SHINE GLOSS LIPS LACQUER LIPGLOSS

Keserian sebuah solekan berakhir dengan olesan lembut pada bibir yang merekah. Tidak lengkap sebuah solekan andai bibir dibiarkan pucat tanpa palitan lipstik yang menggoda.
Marc Jacobs sebuah rangkaian jenama terkenal telah melahirkan Enamored Hi-Shine Gloss Lip Lacquer Lipgloss bagi melengkapi solekan bibir. Hadir untuk kuasa maksimum dan menyerlahkan warna melalui formulasi uniknya Triple Shine Complex.
Bahan yang memiliki berkuasa tinggi ini digarap sempurna untuk kesan yang berpanjangan dan berkilau umpama 30 coats of lacquer. Lebih istimewa kerana bebas parabens dan bahan-bahan berbahaya lain.
MATA CANTIK DENGAN KESYA

Kehidupan wanita urban yang sarat dengan kesibukan namun tetap mahu memelihara kecantikan terhalang dek masa yang terhad. Gaya hidup yang serba maju membuat wanita kini lebih terdedah kepada masalah kulit akibat perubahan hormon mahupun perubahan cuaca melampau.
Oleh itu, mereka lebih selesa memilih penggunaan produk yang ringkas tetapi memberikan kesan yang berkesan dan pantas. Rangkaian produk penjagaan kulit, Kesya, tercipta melalui kemewahan di samping mengekalkan kualiti dalam kesederhanaan.
Rangkaian produk ini dapat memenuhi impian wanita yang mahu kulit wajah sihat dan berseri. Penghasilan produk telah melalui proses yang teliti dan menyediakan potensi topikal seperti antioksidan, asid lemak, vitamin dan mineral.
Bliss Bright Lifting Eye Serum berkuasa menganjalkan kulit di daerah sekitar mata. Berfungsi sebagai anti-kedut, mengurangkan kehitaman kulit di sekitar mata dengan serta-merta.
PELIHARA MISS V DENGAN LISTRA

Miss V adalah daerah sensitif dan perlu dipelihara dengan sebaik mungkin. Jenama yang banyak menghasilkan produk khusus untuk penjagaan dalaman telah memulakan langkah menggabungkan khasiat emas, habatussauda dan daun sirih sebagai bahan utama pencuci bahagian intim.
Selain itu, Miss Habba Gold Listra ini turut menggarapkan khasiat daun pudina, manjakani dan lidah buaya agar membantu memberi kesegaran dan merawat masalah kesuburan.
Habatussauda telah digunakan sejak dari zaman dahulu lagi bagi merawat masalah kesihatan, kecantikan dan kesuburan. Habatussauda mengandungi sejenis unsur kimia semula jadi yang dapat membunuh bakteria dan berkesan membasmi masalah kesihatan dalaman dan luaran tubuh badan.
Manakala sirih mengandungi antiseptik dan sudah teruji berkesan secara klinikal merawat masalah kesihatan seperti keputihan, jerawat, kegatalan, bau badan, batuk dan lain-lain lagi.
RANGKAIAN PENJAGAAN KULIT AVENYS

Kulit wajah yang sihat dan cantik, bebas cela serta jerawat menjadi idaman setiap wanita. Rangkaian penjagaan kulit berpaksikan kejelitaan teknologi Korea, Avenys, telah mengeluarkan set penjagaan kulit wajah yang dicari-cari oleh wanita moden yang mahu kesan segera. Luxurious Organic Cream, Rapid Lift Face Essence dan Ultra Rich Refining Cleanser adalah solusi penjagaan kulit bebas jerawat.
Selain merawat dan membersihkan kulit produk ini berupaya memberi sumber nutrisi mutlivitamin jauh ke dasar kulit. Malah pelembapnya pula kaya dengan sumber vitamin E untuk memperbaiki struktur kulit dengan cepat. Formulasi uniknya pula berupaya mengangkat sel kulit mati dan antibakteria. Sesuai digunakan oleh semua jenis kulit.
CINDEREVFA BLUE MAGIC LIPSTICK

Bertugas di luar kawasan atau bercuti sering menjadi masalah kepada wanita untuk membawa semua item solek bersama. Jika boleh hanya mahu menggunakan satu item untuk semua kegunaan.
Produk kecantikan Merve Cosmetics telah memperkenalkan Cinderevfa Blue Magic Lipstick. Lipstik dua dalam satu ini bukan sahaja boleh memberi efek bibir yang penuh malah boleh diaplikasi sebagai pemerah pipi.
Mempunyai tekstur yang lembut dengan hasil yang sempurna, senang diadun dan solekan tahan berjam-jam lamanya. Mengadunkan bahan-bahan terpilih daripada blueberry, minyak macadamia, tocopheryl acetate dan shea butter serta grape seed membuat anda kelihatan menawan dalam masa yang sama kelembapan kulit terpelihara. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Editor Nona Berkongsi Rahsia CANTIK & SIHAT Mama Kesayangannya, Petua Bawang Putih Tu Paling Mustajab!

Alhamdulillah, mama masih sihat dan cergas di usia 69 tahun. Doa saya semoga Allah terus memberi rahmat dan kesejahteraan buat Ta’adah Bt Mohd Said, dunia serta akhirat… Amin.
Saya percaya semua anak inginkan yang terbaik buat ibu mereka, dipanjangkan usianya untuk terus menikmati detik bahagia di kehidupan dunia sementara ini. Terpanggil saya untuk berbicara bersama mama dan berkongsi kisah rutin harian sihat dan cantik yang diamalkannya. Mungkin amalan ini dapat memberi inspirasi kepada semua wanita lain, walaupun ramai lagi ibu-ibu di luar sana punya 1001 cerita dan petua serta nasihat terbaik yang boleh dikongsi bersama pembaca majalah Nona.
Kini telah 6 tahun mama melewati hari-hari bebas daripada penyakit yang paling digeruni oleh wanita. KANSER. Syukur alhamdulillah. Masih ingat waktu itu, kala mama membuat pemeriksaan dan di sahkan KANSER OVARI tahap 2 (aktif), mama sangat kuat semangat dirinya.
Tanpa berfikir panjang mama terus bersetuju untuk menjalani proses kemoterapi seperti yang telah disarankan oleh doktor. Tidak sekali saya melihat kesedihan atau air matanya mengalir. Sangat kuat beliau melalui proses itu, walaupun kesakitannya hanya dia dan Allah sahaja yang tahu. Walaupun dalam hati saya sendiri yang menangis, bila saat melihat raut wajahnya yang dimamah usia ketika terlantar baring seperti melayan mimpi panjang yang memenatkan.


Tambah pilu hati ini kala melihat rambutnya gugur akibat kesan kemo, tapi mama masih mampu tersenyum… Saya percaya inilah senario yang dihadapi oleh ramai di antara mereka apabila melihat orang tersayang melalui proses rawatan kemo. Berat mata memandang, pastinya berat lagi bahu yang di pikul.
“Mama maafkan saya kerana tidak menemanimu setiap hari dan setiap masa di saat itu…” Mama layari hidupnya sendiri dengan cukup tabah. Pasti adanya penyesalan dalam diri saya ini, sebagai seorang anak sebab selalu tinggalkan mama sendiri menjalani rawatannya. Setiap kali pulang ke Kedah dan kembali ke Kuala Lumpur pasti saya yang menangis tapi bukanlah di hadapannya kerana saya tidak mahu menunjukkan kesedihan itu, saya juga perlu kuat seperti mama.
Setiap kali itulah, saya berdoa “Ya Allah, jaganya untukku. Lindungilah mama dan kembalikanlah kesihatannya dengan baik. Kurangkanlah beban kesakitannya kerana aku amat menyayanginya.” Amin… Allah telah pemudahkan perjalanan itu.


Hari ini alhamdulillah, mama berdiri tersenyum. Sibuk dengan aktiviti warga emas dan mengaji Al-Quran. Saya mengutip beberapa petua yang telah diamalkannya, mungkin ada yang sesuai dan boleh juga dipraktikkan oleh orang lain. Dulu sekali pandang, mama seperti pelakon Uji Rashid dan sekarang kalau pakai sunglasses, macam Noorkumalasari pula.
Sejujurnya saya mengagumi kecantikan mama sejak di usia mudanya. Sangat cantik dan mama aktif dengan pelbagai aktiviti, popular juga mama di Alor Setar dulu. Ingat lagi, saya pernah melihat mama belajar catwalk di rumah sambil meletakkan buku di atas kepala dengan langkah bersama sepatu tinggi 4 inci.

Petang-petang joging dan ‘wardrobe’ sangat meriah dengan himpunan pelbagai koleksi baju yang dibeli dan ditempah, sehingga tidak muat ruang almari. Itulah mama… Personalitinya sangat tegas tetapi punya hati yang baik.
Mama daripada dahulu tidak minum air ais dan jarang sekali mengambil kopi. Tapi kalau makan nasi wajibnya ada pelbagai ulam-ulaman antara menjadi kegemaran mama, ulam raja, daun dan buah mengkudu sangat baik untuk kuatkan badan dan awek muda. Tapi memang benar, mama ratu ulam. Semua jenis daun hijau dimakannya. Petua makan nasi, sama juga seperti orang lain, makan nasi tidak bersilang seli dengan air. Minum air panas sebelum mula makan nasi untuk basahkan kerongkong serta melancarkan penghadaman.
Sesekali dahulu terlihat mama akan kepal-kepal nasi panas tanpa lauk dan kemudian terus makan. Biasanya dalam 2 atau biji kepalan sambil membaca doa makan, kata mama ini petua yang diamalkan oleh atuk nenek kita supaya badan sihat dan dijauhi daripada penyakit. Ini sekadar petua, bukanlah amalan khurafat. Siapa nak buat, boleh buat. Tidak mahu tak mengapa!


Mama tidak mengambil sebarang suplemen, hanya mengambil ubat yang diberikan oleh doktor atau hanya dari bahan semula jadi. Biasanya mama akan ambil bawang putih rendam bersama madu asli, biar selama tiga hari kemudian makan satu pagi, satu malam setiap hari. Ataupun bawang putih kupas dan masukkan ke dalam nasi ketika gembur, setelah hampir masak lalu makan seperti ulam.
Banyak khasiat bawang putih untuk kesihatan antaranya dapat mengurangkan risiko kanser, menurunkan kolesterol, baik untuk darah tinggi, mencegah penyakit jantung dan sebagainya. Selain itu, mama juga mengamalkan minum air jus timun atau carrot untuk sejukkan badan serta baik untuk kesihatan. Makan pisang jika stres dan untuk memudahkan proses penghadaman.
Sewaktu mama dalam proses rawatan kanser, setiap kali selepas melakukan kanser mama amalkan minum air kelapa muda. Selesai menjalani semua proses kemoterapi, mama amalkan minum air daun belalai gajah dan makan buah durian belanda. Bila sihat sikit, mama rebus air daun durian belanda untuk diminum.
Alhamdulillah kaedah dan amalan ini sesuai dengan tubuh mama. Mama juga sesekali mengamalkan minum air rebusan daun rama-rama yang mempunyai banyak khasiat dan menjaga kesihatan badan. Mama tidak lagi makan daging, belacan, ikan kering atau ikan darat. Jika termakan, mama segera minum air rebusan daun rama-rama atau daun durian belanda yang dibuat sendiri (Perkongsian ini melalui pengalaman yang diamalkan, boleh dicuba atau dapatkan khidmat nasihat doktor anda juga).

Paling penting pesan mama, buat mereka yang mengidap kanser jangan susah hati, menyendiri, muram dan terlalu banyak berfikir tentang perkara negatif. Perlu sentiasa gembira dan ceria, lemparkan senyuman setiap masa.
Selain menjaga pemakanan dan mengamalkan petua semula jadi, perkara yang utama perlu dititik beratkan ialah amal ibadat dan kerohanian. Di setiap kelapangan, mama mengamalkan bacaan surah Al-Ikhlas yang terlalu besar ganjaran pahalanya jika selalu diamalkan. Ia dapat membantu memberi ketenangan, membuatkan kita lebih ceria dan gembira, dipelihara keselamatan, selamat di alam barzakh dan insyaAllah, orang akan lihat wajah kita sentiasa tenang.

Mama juga sentiasa ingatkan saya untuk ringankan mulut membaca DOA NABI YUNUS a.s
“Laailahailaanta subhanainni kuntum minazzalimin”
(Tidak ada tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk orang-orang yang zalim.)
Doa ini adalah penawar segala musibah, dielakkan daripada perkara-perkara yang memudaratkan dan sangat besar maknanya. Amalkan setiap hari tidak kira dalam kesenangan atau kesusahan. Jangan lupa untuk mengucap syukur dengan rezeki Allah SWT berikan, walaupun sedikit dan bukannya merungut.
Bangun pagi amalkan membaca surah Al-Fatihah untuk sedekahkan kepada Nabi Muhammad SAW, buat arwah ibu bapa, diri sendiri, anak-anak dan juga adik-beradik sekalian. InsyaAllah…
Akhir kata, saya doakan buat mama dan seluruh ibu semua agar sentiasa dirahmati, berada di bawah lindungan Allah SWT, di panjangkan usia, di murahkan rezeki, sihat sejahtera hendaknya. “Ya Allah, Seandainya aku tidak memiliki cukup waktu, untuk membahagiakan ibu ku satu pintaku bahagiakan ibu ku dengan kasih sayang-Mu. Ya Allahampunilah segala dosa ibu ku kasihanilah ibu ku karena ibu yang telah melahirkanku, memelihara dan membesarkan diriku. Haramkanlah wajah ibuku dari disambar oleh api neraka. Kurniakanlah buatnya syurga tanpa hisap… Amin.
Tanyalah amalan atau petua ibu kita sementara mereka masih ada, sekurang-kurangnya dapat juga dikongsi dan mungkin berguna untuk kehidupan seharian kita. Mereka sudah makan garam terlebih dahulu daripada kita dan pengalaman serta nasihat mereka boleh dijadikan inpirasi untuk kita lebih matang dalam menjalani pelbagai liku kehidupan di masa sekarang. Terima kasih buat semua Ibu atas kasih sayang yang telah engkau berikan kepada diri kita dengan tulus kasih mu yang tak akan mampu kita bayar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


