Tahniah Che Puan Juliana Evans yang tersenarai sebagai ‘Successful People in Malaysia 2021’! Satu pengiktirafan yang cukup membanggakan. Apatah lagi Che Puan Juliana bukan hanya bergelar isteri dan ibu, malah usahawan barangan kemas.
Isteri kepada kerabat diraja Selangor, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Alhaj ini sememangnya memiliki pesona tersendiri. Walau sudah berkahwin dan ada seorang anak, kecantikan bekas pengacara program popular Remaja ini tidak pudar dimamah usia.
Terbaharu, Che Puan Juliana ada berkongsi berita gembira kepada peminat setia. Jelas terpancar wajah terujanya ketika mendedahkan pencapaian terkini bersempena kedatangan tahun baharu 2022.
“This is definitely one of the highlights of 2021 for me. Being validated by an Encyclopaedia as one of ‘Successful People in Malaysia 2021’. Thank you so much to Britishpedia. Perks of the pandemic for the past 2 years I get to give full attention on running my business Jevans Jewelry which I now enjoy working from home so much!
I just wanna say that in this society people can be very judgemental towards you. My advice is stay silent, tutup sebelah mata and just focus on yourself till you make it! Only you know how hard you’ve worked and how much effort it takes to get there. Don’t let anyone say otherwise.
Now excuse me while I stare at this book. Sitting nicely on my shelf, in which I’d have to dust off time to time.”
Penghujung tahun 2020, Che Puan Juliana melakar sejarah tersendiri apabila dilantik sebagai Duta Kempen Promosi Pelancongan ‘Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu’ selama dua tahun!
Selain itu, graduan Komunikasi Massa ini juga mencuba potensi diri dengan mengusahakan bisnes barangan kemas miliknya di bawah jenama Jevans Jewelry dan semakin mendapat tempat di pasaran.
Che Puan Juliana atau nama penuhnya Juliana Sophie Johari Evans sah bergelar isteri Tengku Shariffuddin Shah pada tanggal 30 April 2017 dalam sebuah majlis tertutup. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan pada 13 Julai 2019 yang diberi nama Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah.
Kredit foto: Instagram Juliana Evans
Bahaya OBESITI Terhadap Wanita Berkahwin, Usah Gadai Kebahagiaan & Segera Jaga PEMAKANAN!
Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mendamba kehadiran cahaya mata. Sama ada cepat atau menangguhkan dahulu peluang untuk melahirkan anak, terpulang kepada pasangan masing-masing. Namun, tahun berganti tahun hasrat menimang cahaya mata masih tidak kunjung tiba. Usai rawatan di klinik Obstetrik dan Ginekologi doktor menyarankan agar menurunkan berat badan. Apakah kaitan berat badan dengan kehamilan?
Tahukah anda?
Penambahan bilangan individu dengan masalah obesiti sejak akhir-akhir ini sememangnya membimbangkan. Mengikut bancian NHANES (National Health and Nutrition Survey) pada tahun 2009 – 2010, 31.9 peratus wanita di dalam lingkungan umur reproduktif (20 ke 39 tahun) di dapati obes (Body Mass Index, BMI >30). Ini melebihi 4 kali ganda berbanding 7 peratus pada tahun 1980. Obesiti telah dilihat sebagai perkara biasa di dalam masyarakat.
Masalah obesiti ini bukan sekadar memberi kesan kepada rupa paras fizikal dan emosi semata-mata, bahkan turut menyebabkan banyak masalah kesihatan termasuk masalah kesuburan wanita. Di kalangan yang mampu hamil, komplikasi lain sepanjang kehamilan boleh timbul disebabkan atau dikaitkan dengan obesiti.
Mengapakah obesiti boleh menyebabkan kesukaran untuk hamil ?
Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pakar SALAM Senawang, Negeri Sembilan, Dr Alinawati Mohd Ali, tisu adipos (tisu lemak) merupakan salah satu organ endokrin (penghasilan hormon) yang aktif. Ketidakseimbangan fungsi organ endokrin di kalangan wanita obes ini akan menyebabkan rintangan kepada hormon insulin (insulin resistance) dan penambahan hormon androgen (hormon seksual lelaki). Perubahan ini akan merencatkan proses ovulasi (perlepasan telur dari ovari) yang akhirnya membuatkan wanita tidak subur.
Info
Anovulasi (ovulasi terencat) adalah merupakan salah satu kriteria bagi Sindrom Polisista Ovari (PCOS – Polycystic Ovarian Syndrome). 5 hingga 10 peratus wanita menghidapi masalah ini dan kerap dikaitkan dengan obesiti.
Tambahnya, kebanyakan wanita ini turut mengalami masalah haid yang tidak teratur, tidak datang haid dalam tempoh masa yang panjang (amenorrhea) atau haid yang terlalu sedikit (oligomenorrhea). Ada kalanya haid terlalu kerap atau berpanjangan hingga menyebabkan anaemia (kurang darah). Selain menyebabkan perencatan proses perkembangan, kematangan dan perlepasan telur (ovulasi), obesiti juga dipercayai memberi kesan negatif kepada kualiti telur (oosit) dan penerimaan dinding rahim.
Adakah terdapat perbezaan respons terhadap rawatan kesuburan di kalangan wanita obes?
Sebahagian kajian perubatan menunjukkan respons negatif di kalangan wanita obes. Perkembangan folikel telur didapati tidak mencukupi dan bilangan folikel juga berkurangan berbanding wanita yang mempunyai BMI normal. Terdapat juga kajian lain yang menunjukkan keperluan dos ubatan yang lebih tinggi bagi merangsang ovulasi semasa rawatan kesuburan. Risiko kegagalan rawatan IVF juga bertambah dengan penambahan BMI. Data menunjukkan penurunan kadar kehamilan, kadar kelahiran hidup dan pertambahan kadar keguguran selepas rawatan IVF berbanding wanita dengan BMI yang normal (<25).
Obesiti dan Kehamilan
Kehamilan bagi wanita obes biasanya dikaitkan dengan risiko yang lebih daripada biasa. Di peringkat awal kehamilan risiko keguguran dianggarkan sekitar 16 peratus di kalangan wanita obes berbanding 10 peratus bagi wanita dengan BMI normal.
- GDM (Gestational Diabetis Mellitus) atau Diabetes Mellitus (pregestational) adalah merupakan masalah perubatan yang kerap dialami oleh wanita hamil yang obes. Keadaan ke rintangan terhadap insulin seperti yang telah disebutkan sebelum ini merupakan punca utama yang dikaitkan. Prevalen bagi penyakit GDM bertambah sebanyak 0.92 peratus bagi setiap pertambahan 1 kg/m2 BMI.
Oleh itu semua wanita hamil sama ada dalam kategori berat berlebihan (BMI antara 25-30) mahupun obesiti (BMI 30 ke atas) perlu untuk menjalani ujian gula dalam darah (MGTT) untuk memastikan status masing-masing. Biasanya ujian ini dijalankan sekali atau dua kali sepanjang tempoh kehamilan. Wanita yang menghidapi GDM atau pregestational diabetes memerlukan pemeriksaan gula darah dan pemeriksaan kehamilan yang lebih kerap bagi memastikan bacaan gula darah terkawal.
Pengawalan gula yang bagus boleh mengurangkan kemungkinan;
- Mendapat saiz bayi yang lebih besar,
- Air ketuban yang berlebihan,
- Jangkitan faraj mahupun saluran kencing,
- Kelahiran pramatang dan kesukaran bersalin.
- Penyakit darah tinggi (Hipertensi) kehamilan dan Pre-Eclampsia adalah masalah kesihatan kedua yang dibimbangkan. Risiko ini dilihat berganda bagi setiap pertambahan 5 kg/m2 BMI sebelum kehamilan. Penyakit ini mampu untuk menyebabkan gangguan multi organ selain meragut nyawa ibu dan bayi sekiranya ia berterusan ke tahap yang serius.
Tempoh peringkat awal kelahiran (first stage of labour) bagi ibu hamil yang obes dianggarkan lebih panjang. Prosedur induksi kelahiran juga dilihat lebih kerap dijalankan untuk ibu hamil yang obes. Ini mungkin berkaitan dengan masalah-masalah perubatan seperti yang telah disebutkan. Obesiti turut dikaitkan dengan pertambahan risiko kelahiran secara pembedahan yang mencecah 7 peratus berlebihan berbanding ibu dengan berat badan yang normal.HAMIZATUL MAIZAN MOHAMED
Kelengkapan Tidur Ini Sangat Membantu Mengatasi Masalah INSOMNIA! Malah, Sudah Terbukti Di Negara Jepun
Pakar kesihatan tidur, Am Life International Sdn Bhd (Malaysia) baru-baru ini menerima Anugerah Kehormat Hari Tidur Sedunia 2017 di Prague, Republik Czech menjadikan Malaysia satu-satunya negara Asia yang menerima anugerah berprestij ini.
Anugerah yang menjadi rebutan ini hanya disampaikan kepada 5 negara – Brazil, Itali, Mexico, Portugal dan Malaysia (Am Life) oleh kongres bersama Persatuan Perubatan Tidur Sedunia (WASM) dan Persekutuan Tidur Sedunia di upacara yang dianjurkan oleh Persatuan Penyelidikan Tidur & Perubatan Tidur Republik Czech. Ia mendapat pengiktirafan kerana usaha berterusannya untuk memberi pendidikan dan kesedaran tentang kesihatan tidur. Pengasasnya Encik Lew Mun Yee sentiasa memberi ceramah di seluruh rantau ini tentang insomnia dan masalah tidur yang semakin meningkat di Asia Pasifik dan seluruh dunia.
Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa kita menghabiskan 1/3 daripada hayat kita dengan tidur. Tidur merupakan keperluan asas manusia dan penting kepada kesihatan dan kesejahteraan kita. Menurut satu kaji selidik serantau, secara purata rakyat Malaysia hanya tidur selamat 6.4 jam, kurang 1.6 jam daripada 8 jam tidur yang disyorkan.
Insomnia sudah menjadi satu gangguan tidur yang biasa dalam masyarakat moden, dicetuskan oleh kesibukan dan tekanan gaya hidup dan penggunaan produk elektronik, yang menyebabkan kekurangan tidur. Tidur yang kurang berkualiti atau kekurangan tidur boleh menyebabkan banyak masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes, kelemahan sistem imun dan menimbulkan masalah psikologi seperti kemurungan, keresahan dan psikosis.
Terdapat hampir 100 gangguan tidur, tetapi kebanyakannya boleh ditangani dan diuruskan dengan bantuan pakar tidur. Memandangkan hanya 1/3 daripada penghidap meminta bantuan profesional, ia berhasrat untuk memberikan lebih banyak pendidikan tentang kesihatan dan penyelesaian tidur dengan menggunakan terapi keupayaan elektrik, yang telah diselidiki dan dibuktikan secara saintifik di Jepun berpuluh-puluh tahun dahulu.
Apabila permintaan global meningkat bagi penjagaan kesihatan berkaitan insomnia dan masalah kesihatan suboptimum pada 2012, ‘sistem tempat tidur penjagaan kesihatan’ yang boleh memberikan penjagaan kesihatan secara sewajarnya dan terapi pemulihan kepada pelanggan apabila mereka tidur atau berehat. Kelengkapan tempat tidur ini pada asasnya ialah tilam termoterapi serat karbon yang disokong oleh ‘bantal kesihatan prestasi tinggi’ dan ‘selimut tenaga titanium’.
Kelengkapan tempat tidur penjagaan kesihatan ini bersifat semula jadi dengan matlamat untuk ‘mencipta kesihatan daripada tidur’ menerusi terapi tanpa ubat-ubatan, suntikan, dan tidak invasif. Ia merangsangkan proses penyembuhan semula jadi badan, memberikan terapi paling asas untuk orang zaman moden menerusi pendekatan ‘penjagaan kesihatan tidur’ dengan menangani akar umbi tabiat hidup kita sehari-hari.
Kini, tilam termoterapi keupayaan elektrik diiktiraf oleh badan-badan pensijilan perubatan Jepun (juga Kementerian Kesihatannya). Pada 2017, tilam rawatan ini diiktiraf oleh kerajaan Malaysia dan Taiwan sebagai peralatan perubatan. Ia merupakan pusat elektroterapi terbesar di Malaysia oleh Buku Rekod Malaysia. Produknya juga telah lulus beberapa saringan ketat termasuk pensijilan ISO 9001:2008 Pengurusan Kualiti Antarabangsa.
Kementerian Kesihatan Jepun mengiktiraf tilam termoterapi keupayaan elektrik sebagai alat perubatan yang boleh menangani 8 gejala berikut: Sakit Kepala, Insomnia Teruk, Sakit Bahu/Tengkuk, Sembelit, Tidak Hadam, Tangan & Kaki Sejuk, Sakit Saraf/Otot, Kelesuan Kronik.
Fungsinya berteraskan tenaga keupayaan elektrik & serat karbon termoterapi. Alat terapi keupayaan elektrik meningkatkan ketertelapan membran dan memulihkan pertumbuhan, serta meneutralkan darah berasid kepada beralkali ringan.
Di pasaran, terdapat banyak produk untuk ‘menambah baik tidur’; termasuk tilam, bantal, gebar, ubat, urutan dan sebagainya. Malah, hasil perolehan industri teknologi tidur yang mencecah 11.3 bilion dolar AS pada 2013 telah meningkat kepada 35.2 bilion dolar AS pada 2015, dan diramalkan mencapai 76.7 bilion dolar AS pada 2019.
Orang ramai kini mula memberi perhatian kepada kualiti tidur. Hubung kait kesihatan seseorang dengan tidur yang lena telah sekian lama tersemat dalam fikiran. Pasaran akan terus berkembang dengan momentum yang menggalakkan dan industri ‘pasaran tidur berkualiti’ akan menjadi trend utama pada masa hadapan. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Julung Kali Istiadat Pengurniaan Pingat Di Luar Negara, HALIZA HASHIM Antara Penerima Bintang Ahli Mangku Negara
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Bintang Ahli Mangku Negara (A.M.N) kepada koresponden sebuah stesyen televisyen swasta yang berpangkalan di London, Haliza Hashim. Lebih istimewa, buat julung kalinya istiadat pengurniaan pingat diadakan di luar negara.
Istiadat pengurniaan bintang persekutuan dan darjah kebesaran negeri Pahang tersebut telah berlangsung di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London pada Khamis 10 Ogos, bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan hari keputeraan peribadi Sultan Pahang.
Ianya merupakan satu pengiktirafan atas jasa dan khidmat bakti cemerlang Haliza selama lebih 30 tahun berada di luar negara sebagai pengamal media.
Turut berangkat di majlis pengurniaan bintang tersebut ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut dikurniakan bintang kebesaran A.M.N. adalah Zaharah Othman, 69 tahun, wartawan akhbar The New Straits Times dan pengamal media bebas yang juga berpengkalan di London selama lebih 40 tahun.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (D.S.A.P) yang membawa gelaran Dato’ kepada ahli perniagaan Britain, Ajay Soni.
KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berkenan berangkat ke istiadat berkenaan.
Untuk rekod Haliza, 58 tahun menyertai stesen TV3 sebagai wartawan penyiaran pada 1991, sebelum berpindah ke London pada tahun 1993 dan menjadi koresponden berita dan hal ehwal semasa untuk TV3 sehingga hari ini.
Haliza juga aktif dalam kerja-kerja amal di UK dan telah menerajui badan kebajikan MERCY Humanitarian UK sebagai Pengerusi sejak 2015. Ketika ditanya mengenai perasaannya dikurniakan Bintang Ahli Mangku Negara, Haliza Hashim melahirkan rasa terharu dan gembira di atas pengiktirafan tersebut.
“Saya sangat terharu dan gembira dengan pengiktirafan ini. Bagi saya tugasan sebagai koresponden di UK dan Eropah ibarat sebagai satu tanggungjawab untuk negara juga. Perlu buat laporan untuk berita yang relevan dan membangun untuk penonton di tanahair.
Penghargaan ini saya kongsi kan dengan keluarga di United Kingdom dan Malaysia yang banyak memberi sokongan,” ujar Haliza Hashim yang hadir ke majlis istimewa tersebut ditemani suami, Jonathan Paul Doyle serta dua orang anaknya, Edward Iskandar Doyle dan Emma Suraya Doyle.
“Jutaan terima kasih kepada TV3 dan Media Prima kerana terus memberi saya kepercayaan dan tanggungjawab , menyediakan ruang and sentiasa beri sokongan dan tunjuk ajar untuk saya berkongsi laporan berita dan hal ehwal semasa,” ujarnya mengakhiri perbualan.