Ramuan utama yang menjadikan sesuatu masakan itu enak dan menyelerakan bergantung kepada bahan yang baik dan berkualiti. Sayur terung misalnya menjadi pilihan utama untuk penyediaan masakan tradisi seperti kari dan sambal. Malah, ia juga lazat dinikmati hanya dengan menggoreng.
PILIH YANG TERBAIK!
Terung atau nama saintifiknya solanum melongena bersifat mudah busuk dan rosak kerana tempoh paling lama terung boleh digunakan adalah selama tiga hari. Apabila melebihi jangka masa itu ia akan menjadi layu selain menghasilkan rasa pahit. Untuk mengelak rasa masakan berasaskan terung terjejas, amat penting untuk memilih terung yang berkualiti dan baik di samping cara penyimpanan yang betul agar nutrisi yang terkandung di dalamnya kekal terjaga.
- Terung yang berkeadaan baik dan segar lazimnya memiliki permukaan kulit berkilat, halus dan tidak lembik. Kulit terung yang telah berkedut menandakan ia sudah tua dan isi lebih pahit.
- Selain mengenalpasti bentuk fizikal terung, anda juga harus ketahui ‘usia’ terung tersebut. Misalnya, terung yang muda mempunyai warna kulit lebih gelap adalah terbaik digunakan untuk masakan. Jika terung berwarna pudar, ia bermakna biji terung juga sudah keras dan tidak elok.
- Elakkan memilih terung dengan kulit yang berbintik coklat kerana ia dikhuatiri sudah dijangkiti bakteria.
- Terung bersaiz sederhana biasanya memiliki biji lebih sedikit tetapi isi yang lebih lembut dan tidak pahit.
- Kenalpasti keadaan terung dengan menekan permukaan menggunakan jari atau mengetuk perlahan terung dengan kuku jari untuk memastikan bijinya tidak mengeras dan kering. Jika mengeluarkan bunyi kosong saat diketuk bermakna biji terung sudah kering.
- Seelok-eloknya guna terung yang telah dibeli tidak lebih daripada dua hari.
- Sebelum menggunakan terung, pastikan ia dibasuh terlebih dahulu kerana mengandungi racun solamine yang boleh menyebabkan alahan.
- Cara penyimpanan terbaik bagi terung adalah dengan tidak meletakkannya di dalam peti sejuk. Sebaliknya hanya simpan terung dalam suhu bilik kerana ia mampu bertahan selama dua ke tiga hari.
BENTUK FIZIKAL TERUNG
- Batang : bercabang dan warna yang pelbagai mengikut jenis terung tersebut. Juga terdapat bulu-bulu halus pada batangnya.
- Daun : Seperti pada batang terung, di bahagian daunnya juga memiliki bulu halus dan perbezaan warna daun mengikut jenis.
- Buah : Ada yang berbentuk panjang, pendek dan bulat. Begitu juga warnanya yang terdiri daripada ungu, hijau atau putih.
JENIS-JENIS TERUNG
Kebanyakan terung berasal dari negara Asia dan digunakan secara meluas dalam masakan di negara seperti India dan China.
- TERUNG UNGU
Paling terkenal di antara jenis terung yang lain yang memiliki warna ungu tetapi berlainan bentuk. Ia dikatakan mampu mencegah kanser, kaya dengan antioksidan, menurunkan kolestrol, menangani anemia dan sesuai dinikmati penghidap diabetes dan jantung.
- TERUNG TELUNJUK
Berbentuk panjang, kurus dan berwarna hijau. Ia membekalkan serat yang mampu mencegah sembelit, menguatkan gigi dan tulang serta kaya dengan vitamin C. Ia juga dipercayai dapat meredakan batuk dengan meminum air rebusannya.
- TERUNG BELANDA
Pilihan terung yang paling digemari untuk membuat jus. Ia memiliki bentuk bulat, berwarna merah, isi dan biji yang banyak. Terung belanda baik untuk penglihatan, stamina, melancarkan aliran darah dan bersifat anti kanser.
- TERUNG PUTIH
Ia memiliki bentuk yang pelbagai seperti bulat telur tetapi lazimnya berbentuk lonjong memanjang berwarna putih. Selain mempunyai isi yang banyak dan berlendir sedikit. Salah satu manfaat terung putih adalah untuk mencegah kekejangan saraf dan serangan epilepsi.
- TERUNG PIPIT
Juga dikenali terung mini ini memiliki bersaiz kecil berbanding terung lain. Bentuknya bulat kecil dan berwarna hijau. Meskipun kecil, terung pipit mengandungi zat besi, protein dan karbohidrat yang membantu meredakan sakit perut dan melancarkan aliran darah.