Dalam membuat pilihan, biarlah menggunakan akal dan fikiran. Jangan buat sesuatu yang nampak ‘hodoh’ dan tidak cantik dipandang mata. Akhlak Nabi Muhammad begitu indah, apa salahnya jika kita jadikan panduan hidup seharian.
Islam itu sangat indah. Sudah dinyatakan dengan terang di dalam al-Quran apa yang boleh dilakukan untuk berbuka puasa malah Nabi Muhamad S.A.W sendiri dah ajar kita cara Baginda berbuka puasa. Ada juga yang masih buat benda-benda pelik kononnya untuk memudahkan cara.
Dalam perkongsian yang divideokan Ustaz Muhamad bin Abdullah Al Amin atau lebih dikenali dengan nama Ustaz Amin, beliau menjelaskan bagaimana Rasulullah S.A.W berbuka puasa:
“Cara Nabi S.A.W berbuka adalah dengan meminum air sejuk, bukan bermakna air di dalam peti sejuk kerana pada zaman dahulu tidak ada peti sejuk. Bermaksud ia bukan air panas beserta buah tamar. Bilangan tamar pula sunnahnya adalah yang ganjil”
Biasanya, apabila berbuka puasa, apa yang kita akan cari dulu? Tentu air dan nasi kan? Tetapi dalam post lain di Instagram Ustaz Amin menjelaskan mengapa kita perlu memilih juadah ringan untuk berbuka puasa?
“Kerana jika kita kenyang lepas solat maghrib, kenyang adalah makhruh. Tapi tak cacatkan pahala puasa. Tetapi apabila kita terlalu kenyang sangat ketika berbuka puasa, makhruh itu mencacatkan pahala puasa kerana urusan berbuka sebahagian daripada puasa.”
Oleh itu, pilihlah juadah ringan dan ringkas ketika berbuka dan sambung kembali selepas mengerjakan solat Maghrib.
Lain pula halnya dengan orang yang memilih untuk berbuka puasa dengan mengorek hidung. Kedengaran jelik dan geli tetapi masih ramai yang menggunakan kaedah ini kononnya untuk berbuka puasa tetapi tidak ada makanan dan minuman untuk di ambil ketika itu.
Kata Ustaz Amin, jika boleh sediakan di dalam kereta air kosong dan buah tamar sekurang-kurangnya dua tiga biji. Memandangkan ketika bulan puasa kesesakan lalu lintas lain macam keadaannya jadi sekurang-kurangnya apabila terkandas, boleh juga berbuka dengan air kosong dan buah tamar.
Namun, mengorek hidung bukanlah pilihan yang terbaik. Kata Ustaz Amin:
“Mengorek hidung bukan berbuka puasa. Ia hanya membatalkan puasa.”
Cukup jelas dan ringkas penjelasannya. Untuk anda yang sering berhadapan dengan kesesakan jalanraya sehingga terpaksa berbuka di dalam kereta, sediakanlah apa yang patut. Amalan sunnah banyak ganjarannya terutama di bulan Ramadan.
Kredit: Instagram Ustaz Amin Official