Bercinta Sampai Syurga, Amalkan 8 CARA Ini Tanpa Rasa Bosan

Ikatan perkahwinan haruslah sentiasa dibaja tidak kiralah berapa pun usia sesebuah perkahwinan itu. Praktikkan 8 amalan ini, nescaya hubungan anda berdua akan sentiasa harmoni. Amalkan setiap hari tanpa jemu.

SOLAT BERJEMAAH

Bagi pasangan Muslim amalkan solat berjemaah bersama pasangan setiap hari di rumah.  Berdoa bersama-sama serta bersalaman selepas selesai solat. Mohon kemaafan jika anda ada membuat kesilapan. Selitkan juga tazkirah tentang agama dan membaca Al-Quran bersama.

CIUM TANGAN SUAMI

Sebelum ke tempat kerja, cium tangan suami dengan penuh kasih sayang. Tidak kiralah sama ada bekerja dalam satu pejabat atau satu bangunan praktikkan cara ini untuk menunjukkan kasih sayang seterusnya mendapat keberkatan.

PELUKAN ERAT

Jika berpisah kerana tuntutan kerja seperti bekerja di luar daerah atau ke luar negara, tambah rutin itu dengan pelukan dan ciuman. Peluk dengan erat seolah-olah anda tidak mahu melepaskannya.  Katakan yang anda sayang padanya dan minta dia menjaga diri dengan baik.

SALING TANYA KHABAR

Walau sesibuk mana tugas seharian anda, luangkan masa untuk menelefon pasangan  sekurang-kurangnya sekali hanya untuk bertanya khabar. Sentiasa hantarkan pesanan ringkas seperti waktu bercinta dulu. Cukup dengan perkataan “I love you”

dapat membuatkan pasangan tersenyum.

UCAPAN ROMANTIK

Sebelum ke mana-mana, atau untuk menamatkan perbualan telefon dan yang paling penting sebelum tidur ucapkan kata-kata sayang seperti “sayang awak” atau “Abang nampak tampan hari ini” akan membuatkan si suami semakin sayangkan anda.

AJAK MAKAN BERSAMA

Sesekali ajaklah pasangan untuk makan tengahari bersama. Sentiasa buat kejutan untuk menyatakan yang anda sentiasa ingat dan menghargainya seperti membelikan hadiah atau menghantar bunga ke pejabatnya. Sekadar sekeping kad kadangkala sudah cukup untuk membuatkan si dia tersenyum sepanjang hari.

AMBIL BERAT

Selepas pulang kerja amalkan bertanya tentang apa yang berlaku sepanjang hari sebagai tanda anda mengambil berat. Jika pasangan mempunyai masalah mungkin anda boleh memberikan idea atau nasihat, bukan hanya menjadi pendengar. Jangan berat sebelah dan memihak kepada sesiapa.

SENDA GURAU

Mengeratkan lagi hubungan anda berdua. Ajak pasangan untuk sama-sama menonton rancangan TV kegemaran atau luangkan masa untuk menonton wayang jika ada kesempatan agar rasa cinta tidak akan luput selamanya.

 

Share
Published by
Amy Mohd