Kalau tengok susuk tubuh ramping dan rupa parasnya pasti ada yang beranggapan umur penyampai radio ini berada dalam lingkungan lewat 20an. Hakikatnya, Aishah Jennifer Mohamed Sinclair bakal mencecah usia 40 tahun pada Oktober nanti. Memang awet muda dan cantik orangnya!
Bergelar ibu kepada dua orang anak, Aishah Sinclair merupakan anak kepada pasangan Mohamad Anthony John Sinclair dan Khadijah Abdul Rahman. Bapanya berketurunan Inggeris sementara ibu Aishah pula keturunan Melayu. Jadi, tidak hairanlah bintang Gol & Gincu ini kekal cantik. Mewarisi gen cantik kedua-dua ibu bapa rupa-rupanya. Malah adik-beradik lelaki Aishah juga iaitu allahyarham Ashraf Sinclair dan Adam Sinclair yang juga suami penyanyi Yuna juga memiliki rupa paras yang kacak.
Difahamkan Aishah juga gemar menjalani gaya hidup aktif dengan menyertai pelbagai program larian dan marathon. Hobi itu dikatakan mula terbit sejak dia menemani bapa tersayang suatu ketika dulu. Sehingga ke hari ini Aishah telah menyertai lima marathon di peringkat luar negara dan tiga daripadanya di Jepun. Tidak cukup dengan itu, dia juga pernah menyertai ekspedisi mendaki Everest Base Camp kira-kira tiga tahun lalu.
Mendirikan rumah tangga bersama Sheikh Abdul Shahnaz pada tahun 2006, perkahwinan Aishah dan suami lebih bermakna dengan kehadiran dua puteri comel mereka iaitu Soraya Ann dan Aina Elisabeth. Bahkan ketika sesi fotografi Nona 3 Dekad sekitar tujuh tahun lalu, Aishah banyak bercerita tentang anak tersayang. Selain terbuka berkongsi sisi peribadi, graduan Komunikasi dan Media dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini juga seorang yang bercita-cita tinggi dan mesra.
Berikut antara pendedahan Aishah kepada Nona sewaktu menjalani edisi eksklusif Nona 3 Dekad tahun 2013!
Petua kecantikan anda?
Saya menggunakan pencuci, pembersih dan pelembap wajah untuk menjaga kesihatan kulit muka. Selain itu, demi memastikan kesihatan yang baik saya akan minum air putih
secukupnya sekurang-kurangnya 2 hingga 3 liter sehari dan melakukan senaman. Memandangkan kulit saya sangat sensitif terhadap matahari, saya turut mengamalkan pemakaian bedak sejuk.
Inspirasi anda?
Dalam dunia fesyen, saya meminati Audrey Hepburn. Manakala bekas wartawan perang CNN, Christiane Amanpour pula adalah individu yang saya kagumi untuk dijadikan sebagai
contoh dalam kerjaya. Sikap berani dan komited beliau begitu menarik perhatian saya.
Kehidupan peribadi anda…
Saya berasa amat bersyukur dan bahagia kerana dikurniakan puteri sulung, Soraya Ann. Kehidupan saya lebih bermakna sejak kehadiran Soraya yang menyerikan lagi rumah tangga kami sekeluarga.
Fesyen pilihan?
Simple & Comfort! Saya gemar mengenakan jacket, jeans dan shirt untuk gaya harian dengan penggayaan warna seperti hitam, kelabu, putih atau coklat.
Menarik 8.8.2020 di sini.
This website uses cookies.