Berita tentang kehamilan Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Dynas sudah ketahui umum. Kini usia kandungan Dynas mencecah ke tujuh bulan hasil perkahwinannya dengan Mohamad Shazrik Che Mohd. Din. Dynas dijangkakan bersalin pada awal bulan Mei depan.
Jarak hampir tujuh tahun tidak mengandung sedikit sebanyak membuat Dynas berdebar melalui tempoh kehamilan. “Memang dah lama saya tak mengandung dan mengandung pada usia sebegini memang terasa sekali. Orang kata kalau mengandung umur 30an mungkin lebih mencabar dan badan lebih penat. Itu yang saya rasakan kini,” ujar Dynas yang kini berusia 35 tahun.
Seperti kebanyakan ibu hamil lain merasai momen morning sickness. Dynas juga tak terkecuali. “Hamil kali ketiga ini saya kena morning sickness juga. Tapi kali ini saya rasa tak sihat sampai tak boleh bangun. Syukur ia hanya berlaku pada trimester pertama sahaja.
Ads
Sekarang saya enjoy my pregnancy. Saya seronok sebab dah tak ada banyak masalah. Sekarang saya dah tak rasa penat lagi berbanding sebalum ini. Saya dah boleh bergaya balik, sebelum ni langsung tak boleh bergaya. Begitu juga sekarang dah boleh mekap sebab sebelum ni saya malas,” tutur Dynas.
Menurut Dynas kedua-dua anaknya Khayra Khalyssa Mohd Hafizi dan Mohamed Haqaish Mohd Hafizi teruja nak dapat adik baru. “Memang mereka seronok dan hari-hari cium perut. Comel tengok mereka.
Ads
Suami saya sudah semestinya excited sebab ini merupakan anak pertamanya. Kedua-dua mentua juga turut teruja menimang cucu pertama mereka.
Perasaan berdebar hanya Tuhan saja tahu. Bila dah lama tak ada baby, dengan keluarga mentua excited saya rasa berdebar. Banyak baca balik, banyak tanya kawan-kawan balik, ibarat mengandung anak sulung pula.
Ads
Alhamdulillah saya tak ada mengidam apa-apa tapi, kesian kat suami sebab selalu kena marah masa trimester pertama tu,” ujar Dynas yang akan berpantang di kediaman ibunya.
Bercerita tentang amalan berpantang yang akan ditempuhnya nanti, “Saya memang kuat berpantang. Saya akan ikut pantang yang betul-betul. Saya kena ikut berpantang cara tradisional sebab saya nak jaga badan. Walaupun saya nampak moden tapi sangat menitikberatkan kecantikan luaran dan dalaman. Kecantikan dalaman itu lagi penting sebab saya mahukan anak yang ramai, insyaallah,” jelas Dynas mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa yang tidak kenal dengan ikon hebat negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, wanita Asia pertama yang berjaya menakluk Antartika secara solo menggunakan kaedah meluncur ski pada tahun 2004.
Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, wanita Asia pertama berjaya menakluk Antartika pada tahun 2004.
Ekspeditor negara yang juga penceramah dan motivator ini mencipta sejarah tersendiri yang sangat menakjubkan sekaligus mengharumkan nama negara di mata dunia.
Kenangan misi SOUTH POLE. Team AWETA berjaya menjejakkan kaki di kutub Selatan sambil mengibarkan jalur gemilang.
Hampir 20 tahun berlalu, kini ia menjadi sejarah terunggul buat wirawati negara ini. Baginya bukan mudah memegang gelaran ikon kerana ia merupakan satu tanggungjawab besar.
Kejayaan juga tidak datang bergolek tanpa adanya pendorong yang menjadi pembakar semangat.
ARWAH IBU JADI PENDORONG
Menurut Dr Sharifah Mazlina, arwah ibu adalah satu-satunya pencetus semangat buat dirinya. Paling menyentuh hati, arwah ibunya itu merupakan penghidap kanser payudara tahap 4. Walaupun diuji, arwah seorang yang sangat kuat dan pandai ‘menyimpan’ deritanya depan anak-anak.
“Arwah ibu banyak memberi suntikan dalaman kepada saya. Walaupun menghidap kanser payudara tahap 4 namun arwah seorang yang terlalu kuat dan tak pernah cerita kepada anak-anak yang arwah sebenarnya sedang sakit.
“Saya masih ingat, selepas pembedahan arwah meletakkan bahagian payudara yang telah ‘dipotong’ ke dalam botol kemudian diletakkan di atas katil. Arwah memanggil semua anak-anak untuk melihatnya.
“Arwah kata, ini satu pengajaran dan berpesan jangan sampai jadi seperti itu. Kami lihat pun tak sampai hati.
“Tiga bulan sebelum meninggal arwah meminta jaket yang paling saya suka pakai. Sepanjang tiga bulan itu, arwah sering memakai jaket tersebut.
“Katanya, Ummi bersama saya. Buatlah yang terbaik sampai berjaya. Arwah banyak memberi semangat dan kekuatan kepada saya.
“Sejujurnya, saya tak pernah melihat arwah ibu menangis dek kerana sikapnya yang sangat positif, saya kagum! Arwah melihat kanser sebagai satu rezeki dan menganggap dirinya sangat beruntung kerana diuji.
“Sekurang-kurangnya arwah tahu bila dia akan ‘pergi’ dan boleh membuat persiapan awal. Bukan saja untuk dirinya malah arwah juga membuat persiapan untuk anak-anak,” ujar Dr Sharifah Mazlina.
Kongsi Dr Sharifah Mazlina lagi, arwah ibunya turut menyiapkan kain kapan sendiri termasuk 36 helai kain batik yang dimasukkan ke dalam tiga beg. Dua minggu sebelum meninggal barulah arwah memaklumkan kepadanya tentang beg tersebut.
“Katanya, kapankan Ummi dengan kain itu. Beg yang berisi 36 helai kain batik itu pula khas untuk orang yang menolong mengendalikan jenazahnya.
“Cukup sempurna persiapannya itu. Semua wang yang ditinggalkan pula, arwah minta digunakan untuk membina masjid,” kongsi Dr SHARIFAH Mazlina.
GELARAN IKON NEGARA
Bagi Dr Mazlina, gelaran ikon negara adalah satu rezeki dan penghargaan besar.
“Saya tak kejar gelaran kerana saya percaya jika kita buat sesuatu dengan ikhlas, gelaran itu menjadi satu bonus.
“Tahun 2004 saya menjejaki Antartika hanya untuk tujuan akademik dan membuat kajian PhD. Misi negara itu sebenarnya tak wujud pun pada asalnya.
“Saya sendiri tak jangka akan diiktiraf sebagai ikon serta menerima anugerah-anugerah dari dalam dan luar negara,” jelas Dr Mazlina.
Menurutnya, beliau bersyukur kerana masih mampu melaksanakan tugas-tugas seorang ikon dengan baik. Selain ditaja badan-badan korporat beliau juga banyak melakukan tugas atas inisiatif sendiri.
“Saya wujudkan NGO sendiri iaiu Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA). Saya turut bergabung dengan beberapa NGO lain bagi membantu wanita-wanita sukses yang dapat memberi inspirasi kepada wanita-wanita lain,” ungkapnya.
Kini, tiba masanya untuk beliau mencari pelapis yang bermula dari zero to a hero.
“Saya mungkin boleh terus memberikan inspirasi dan pada masa sama mahu melahirkan lebih ramai ikon muda yang boleh membantu dan menyambung legasi ini. Saya mahu berkongsi pengalaman ke Antartika. Bagi saya ini adalah modal insan negara.”
Kredit Foto: Instagram Dr Sharifah Mazlina
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehidupan rumah tangga itu seharusnya menguatkan. Isteri menampung kekurangan suami dan suami menampung segala keperluan isteri. Termasuklah ketika ujian menyapa, salah seorangnya rebah dibadai penyakit barah. Waktu inilah kejujuran sebenar terserlah.
Perbualan Nona dengan Perunding Hartanah, Muhammad Azizirrahim Mohd Yusoff, petang tadi ibarat mendengar sebuah kisah cinta abadi pada zaman moden ini. Bukan senang berjumpa seorang figura lelaki sehebatnya, seorang suami dan bapa yang tulus berkorban demi kebahagiaan keluarga tersayang.
Isteri Azizi, seorang pegawai diplomatik di Putrajaya bernama Farah Fazarina Mohamad tiba-tiba disahkan menghidap masalah kesihatan serius sekitar tiga tahun lepas. Tahun itu mereka sebenarnya merancang untuk menambah cahaya mata ketiga, namun rancangan Allah mendahului segala-galanya.
“Kami berkahwin pada tahun 2010. Hasil perkahwinan ini kami dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Amani Sofea (9 tahun) dan Amir Syahmi (6 tahun). Kalau ikutkan rancangan, tahun 2017 kami mahu tambah lagi anak. Isteri dah mengandung pun masa tu, tapi tiba-tiba berlaku jangkitan kuman ‘superbug’ dan dia terpaksa duduk tiga bulan di hospital.
Farah Fazarina merupakan seorang Pegawai Diplomatik di Kementerian Luar Negeri
Ternyata takdir tak menyebelahi kami. Sewaktu usia kandungan mencecah 28 minggu, doktor terpaksa ambil keputusan untuk selamatkan nyawa isteri kerana bimbang jangkitan kuman di tulang belakang. Dan berdekatan pula dengan bayi dalam kandungan. Maka dengan hati yang berat, kami berdua akur atas faktor kesihatan dan keselamatan si ibu.
Doktor kata, insyaAllah ada rezeki lain nanti. Tapi isteri kena tunggu sebab takut risiko terkena jangkitan kuman dan ia mungkin boleh membahayakan kandungan sekali lagi.
Memandangkan doktor anggarkan tiga tahun untuk sembuh, jadi isteri tak boleh mengandung disebabkan dia melalui major operation sebanyak empat kali. Pembedahan tu untuk membuang jangkitan dan pakar gunakan dos antibiotik paling kuat dalam rawatan.
Alhamdullilah selepas 4 bulan berikhtiar, isteri kembali sihat. Sepanjang tempoh pemulihan, saya berkali-kali bagi semangat padanya, sabarlah dengan ujian ini. Dan kami pun sama-sama rancang nak cuba dapatkan anak lagi pada tahun 2020.
Perasaan saya sebagai suami dan bapa tentulah sedih. Tak tergambar hati ini bila melawat kubur anak ketiga kami yang terpaksa ‘berkorban’ demi menyelamatkan ibunya.
Kubur arwah Ainul Mardhiah, 14.02.2017
Bermula saat itu, isteri saya mula memberi perhatian terhadap pemakanan dan gaya hidup kami sekeluarga. Atas nasihat pakar diet agar kurangkan berat badan, dia sendiri berusaha kurangkan karbo, makanan berminyak dan minuman manis, selain ambil madu asli sebagai suplemen. Kami juga makan banyak sayuran organik dan guna kaedah air frying untuk menggoreng.
Sempat juga kami bercuti bersama anak-anak selepas dia kembali sihat,” cerita Azizi sambil berkongsi foto-foto bahagia mereka.
Niat kami berdua tertunai nak buat umrah tahun 2018 selepas isteri sembuh jangkitan kuman ‘superbug’Sempat ambil peluang melancong dengan keluargaGambar kami sekeluarga di KazakhstanBercuti di Bangkok hujung tahun 2019
HIDAP KANSER OVARI
Betapa tanggung jawab seorang suami itu tidak terhenti setakat menjaga keperluan zahir dan batin isteri sahaja. Seorang suami sepatutnya selalu memuji isteri, menghargai pengorbanan isteri dan sering mendoakan isterinya.
“Selepas tiga tahun episod jangkitan tersebut, kami pun mula merancang nak dapat baby baru. Pada Februari lepas, rezeki saya dapat bawa mak ayah tunaikan umrah mereka buat kali pertama. Berkali-kali isteri pesan, doalah kami dapat zuriat lagi tahun ni.
Selepas sehari sampai di Mekah, dia telefon untuk beritahu ada cyst. Tujuan dia buat check-up ketika tu sebab tiba-tiba sakit di bahagian rahim. Suspek juga mengandung, siap beli pregnancy test lagi.
Tapi bila check di hospital, doktor suspek kanser ovari dan sekiranya betul rahim perlu dibuang. Allahu, luruh jantung saya masa tu. Saya terlalu sedih dan menangis semahu-mahunya di depan Kaabah. Hati saya tak keruan memandangkan hanya isteri dan anak-anak saja di Malaysia.
Saya tadah tangan dan rayu bantuan Allah SWT. Minta doa supaya diselamatkan ovarinya. Dengan sekhusyuk-khusyuknya saya minta depan Kaabah, ‘Tuhanku, sihatkanlah isteriku.’
Saya doa bersungguh-sungguh. Walaupun terlalu sedih, tapi saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku terhadap kami. Paling saya kagum, isteri saya nampak lebih kuat daripada dulu. Dia menerima takdir ini dengan positif dan berusaha lawan penyakit dengan tenang.
Kadang-kadang menitik air mata tengok isteri bermunajat seorang diri. Saya nampak dia langsung tak pernah tinggal solat tahajud, solat dhuha dan khatam Al-Quran. Dia bina kekuatan dalaman dan tanam sifat syukur kerana diberi ujian ini. Jalan untuk ikhlaskan hati hanya dengan mendekati Allah SWT.
Ketika saya balik umrah, sempat bawa isteri jalan-jalan di Putrajaya sebelum menjalankan rawatan
Gambar selepas pembedahan 2020
Memandangkan berita tentang kanser ovari ini berlaku dalam tempoh PKP, nak taknak isteri terpaksa tangguhkan rawatannya. Seperti lumrah pesakit kanser lain yang sensitif dan sukar menerima kenyataan, isteri saya juga pernah menyuarakan ‘kerisauan’, dia takut kanser dah merebak ke tempat lain.
Tapi alhamdulilah, kini selepas treatment kemoterapi keempat, nampak semakin positif keadaannya. Inilah gambar raya kami sekeluarga baru-baru ini, isteri nampak ceria dan tenang.
Saya tahu perasaan isteri saya. Jauh di lubuk hatinya dulu, dia berada dalam keadaan paling lemah. Apa yang diharapkan tak dapat. Malah lain pula jadinya.
Walaupun mula-mula sedih disebabkan takdir ovari isteri terpaksa dibuang, tapi saya reda. Saya yakin isteri pun reda. Nak bina kekuatan tu yang paling susah kami rasa.
Apapun saya harap dia dikurniakan kesihatan sepenuhnya. Dan berharap rakan-rakan lain juga mendoakan kesihatan isteri saya pulih seperti sediakala,” akhiri Azizi dengan ikhlas.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Untuk mengurangkan rantai wabak Covid-19, kerajaan memberi saranan hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan. Kebanyakkan ketua keluarga tentulah suami. Apa salahnya jika sebagai isteri kita berikan sedikit penghargaan buat mereka.
Rata-rata di media sosial, asyik isteri saja yang mengadu suami tak pandai menghargailah, tak romantiklah, tak pandai jaga hatilah. Tapi sebagai isteri, sempurnakah kita?
Pernah tak kita semak diri sendiri, sejauh mana suami kita bahagia dengan apa yang kita berikan? Ya, sebagai wanita, kita melahirkan zuriat, menjaga anak-anak, mendidik dan melakukan 1001 kerja di rumah. Tapi, ada juga suami yang turut menyumbangkan tenaga dan membantu isteri di rumah.
Sesekali, hadiahkanlah kebahagiaan istimewa buat cik abang. Tak semestinya wang ringgit.
Hormat
Dalam Islam pun di tegaskan wanita untuk menghormati suami kerana syurga seorang isteri di bawah tapak kaki suami. Janganlah asyik meninggi suara jika suami tak tolong di dapur.
Menghormati suami bukan hanya ungkapan di bibir tetapi dengan memberi kepercayaan, galakkan dan membina keyakinan suami.
Jadilah seorang pendengar, bukan pengkritik!
Apabila suami meluahkan perasaan, mungkin hal berkaitan pejabat, cubalah jadi pendengar yang baik. Sesekali suarakan juga pendapat anda tapi janganlah berlebih. Takut hilang mood suami nak bercerita panjang.
Tunjukkan kuasa di bilik tidur
Biasanya suami akan mengusai hal di bilik tidur. Sesekali, apa kata anda tunjukkan pula ‘kuasa’ anda untuk menunjukkan anda mahukannya.
Ciuman
Berikan kejutan ciuman buat suami ketika sedang menonton televisyen atau ketika dia sedang membaca surat khabar. Bila sudah beranak-pinak, biasanya kemesraan begini jarang diberikan kepada suami.
Sokongan
Lagi banyak anda membebel, semakin rimas suami duduk di rumah. Jadilah isteri yang memahami. Berikan sokongan kepada suami dalam apa juga yang mereka lakukan agar mereka rasa dihargai. Bayangkan sepanjang tempoh PKP anda berleter setiap hati. Mau suami pun melarikan diri!
Selit nota
Bila kali terakhir anda memberikan kata-kata manis buat suami? Kalau tak pernah, inilah masanya. Selitkan nota kecil dengan kata-kata penghargaan dan selitkan di dalam dompet suami.
Berikan ‘me time’ kepada suami
Suami juga perlukan ‘me time’. Jika dia suka memancing, berikan masa untuknya bersama teman-teman. Pastikan mereka memancing ikan dan bukan benda lain ya! Mungkin selepas tamat tempoh PKP, bolehlah mereka mulakan hobi ini semula.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.