Gaya Hidup

Berdepan Maut & Organ Dalaman Rosak Akibat Pil Kurus Tidak Berdaftar, Wanita Mesti Hati-Hati!

Kebanyakan wanita mahu menguruskan badan tanpa melakukan senaman dan mengawal pemakanan. Lantas mereka mengambil jalan mudah dengan mengambil pil pelangsingan tanpa mengambil kira faktor kesihatan.

Namun, tanpa rundingan daripada doktor yang bertauliah, berbagai-bagai masalah pasti akan timbul. Terdapat dua kes yang popular melibatkan pil pelangsingan ini iaitu:

2002

Seorang pelakon warga Singapura, Andrea De Cruz, nyaris maut gara-gara mengambil pil pelangsing keluaran syarikat dari China. Penggunaan pil pelangsing menyebabkan hatinya rosak dan gagal berfungsi secara tiba-tiba.

Andrea terpaksa menjalani pemindahan hati untuk menyelamatkan nyawanya. Andrea memenangi kes saman terhadap pengedar pil itu dan diberi ganti rugi berjumlah hampir S$900,000 (RM1.9 juta) oleh Mahkamah Tinggi Singapura.

2007

Seorang suri rumah berusia 33 tahun meninggal dunia di Hospital Alor Setar (HAS), dipercayai akibat mengambil ubat pelangsing dan teh herba buatan China. Mangsa dilaporkan tidak berpuas hati dengan berat badannya yang naik mendadak selepas melahirkan anak ketiga.

Dia membeli sekotak ubat pelangsing mengandungi 60 kapsul dan teh herba mengandungi 30 sachet yang berharga RM350. Selepas hampir tiga bulan, berat badannya menurun namun dia mula mengadu sakit pinggang dan menjalani rawatan di HAS sebelum doktor mengesahkan buah pinggangnya rosak. Mangsa meninggal dunia tidak lama kemudian.

Pada tahun 2010, Institut Diabetes, Pencernaan dan Masalah Ginjal Kebangsaan, Amerika Syarikat telah menggariskan beberapa bahan kandungan yang terdapat di dalam kebanyakan pil pelangsing atau pil kurus boleh memberikan kesan negatif kepada tubuh badan manusia.

Di antara bahan-bahan tersebut adalah seperti berikut:

(a) Phentermine

Phentermine adalah ubat perangsang yang sama dengan amphetamine. Ubat ini adalah ubat penahan selera makan yang mempengaruhi sistem saraf pusat. Phentermine diambil bersama diet dan senaman untuk mengubati obesiti untuk orang yang mempunyai faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi atau kencing manis.

Mengambil phentermine bersama-sama ubat diet lain seperti fenfluramine atau dexfenfluramine boleh menyebabkan penyakit maut paru-paru. Jangan ambil ubat phentermine dengan apa-apa ubat diet lain tanpa nasihat doktor anda.

Phentermine boleh menjejaskan pemikiran atau tindakan anda. Berhati-hati jika anda memandu atau melakukan kerja yang memerlukan perhatian tinggi. Pengguna phentermine tidak digalakkan untuk mengambil minuman alkohol kerana ia boleh meningkatkan kesan sampingan ubat ini.

Phentermine juga boleh disalahgunakan kerana ubat ini hampir sama dengan pil ekstasi dan pil-pil perangsang lain. Jangan kongsi ubat ini terutamanya kepada orang yang mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah.

(b) Sibuteramine

Sibutramine digunakan dalam kombinasi dengan penurunan kalori diet dan latihan khusus membantu orang-orang yang mempunyai berat badan berlebihan dalam menurunkan berat badan dan untuk mengekalkan penurunan berat badan.

Ia berada dalam kelas ubat yang disebut sebagai perencat nafsu makan dan bertindak di otak dengan merencatkan pusat yang mengendalikan nafsu makan. Sibutramine dikawal di bawah Akta Racun 1952, dan termasuk dalam ‘Group B Poison List’

Pening kepala, perubahan selera makan, sembelit, pedih ulu hati, mulut menjadi kering, sakit di bahagian belakang, badan menjadi lemah, gemuruh, kesusahan untuk tidur, selesema, simptom mirip selesema (flu-like symptoms), kepanasan, dan kesakitan semasa haid.

Selain itu, sibutramine juga boleh menyebabkan denyutan jantung menjadi laju, sakit dada, sesak nafas, mual, sakit perut, muntah, keseronokan melampau (extreme excitement), resah, gelisah, murung, pening, kepala menjadi ringan, pitam, keliru, pergerakan luar kawalan, kekejangan otot, tangan menggeletar, sawan, menggigil,  peluh berlebihan, demam, sakit tekak, anak mata menjadi besar, ruam dan gatal.

(c) Diethylpropione

Diethylpropione juga merupakan sejenis bahan yang terkandung dalam pil pelangsing yang digunakan untuk menahan nafsu makan dan selera makan. Sebagaimana bahan-bahan yang telah dinyatakan di atas, diethylpropione juga memberi kesan yang negatif kepada tubuh badan sekiranya tidak diambil dengan betul.

Di antara kesan yang paling negatif disebabkan pengambilan bahan ini adalah menyebabkan tekanan jantung meningkat dan degupan nadi menjadi semakin laju. Ada beberapa kes melibatkan kematian akibat pengambilan diethylpropione

tanpa pengawasan professional.

(d) Orlistat

Orlistat merupakan ubat yang tergolong dalam kumpulan perencat enzim lipase. Ia berfungsi mengurangkan penyerapan lemak ke dalam badan. Orlistat tersedia dalam dua kekuatan iaitu, 120mg dan 60mg. Buat masa ini, terdapat enam produk mengandungi Orlistat yang berdaftar di Malaysia dan ia hanya boleh diperoleh melalui preskripsi doktor.

Orlistat adalah untuk rawatan obesiti dan ia merupakan rawatan jangka masa panjang (maksima 2 tahun). Orlistat diberikan apabila pesakit obes gagal menurunkan berat badan selepas enam bulan mengamalkan diet sihat dan melakukan senaman.

Di antara kesan sampingan pengambilan Orlistat adalah seperti najis berminyak, tidak mampu menahan untuk membuang air besar, cirit-birit, kembung dan sakit perut, pening, penat dan resah. Hamizatul Maizan Mohamed

Share
Published by
Norzalina