Melihat lakonan terbaharunya melalui sebuah drama dan membawakan watak seorang gadis biasa, pasti tidak menyangka pemilik nama Che Puan Syamim Farid ini sebenarnya merupakan isteri kepada YM Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Dato’ Ardi Esfandiari Al-Haj yang merupakan kerabat diraja Selangor. Selain dianugerahkan dengan badan yang tinggi lampai dengan bakat semula jadi, pastinya kecantikannya menarik pehatian setiap mata yang memandang.
Baca: Che Puan Syamim Belajar Protokol Istana Selepas Kahwin
“Buat masa sekarang, saya masih sibuk untuk menghabiskan penggambaran drama 100 episod yang kini sedang ditayangkan di saluran Astro Prima dan MAYA HD berjudul Cinta Tiada Ganti. Saya memegang watak bernama Shane seseorang ceria, kawan yang baik dan sangat over protective terhadap orang yang dia sayang”, jelasnya berkongsi perkembangan terbaharu.
Ada banyak cara yang dilakukan oleh kebanyakan wanita untuk mendapatkan tubuh badan yang bukan saja sihat, tapi bentuk badan yang ideal. Bagi Che Puan Syamim pula, beliau mempunyai cara yang tersendiri untuk mengekalkan tahap kesihatan dan sentiasa tampil cantik.
“Untuk sentiasa tampil sihat, saya amat menitik beratkan soal permakanan. Bahkan, saya tidak makan nasi dan kini mengamalkan Pescatarian Diet. Selain itu, saya juga akan bersenam untuk mengekalkan tahap kesihatan yang maksimum”, balas Che Puan Syamim yang merupakan anak ketiga daripada empat adik-beradik.
Sesuai untuk wanita yang sering risau akan perut buncit, kini anda mungkin mampu tersenyum lebar dengan mencuba tip diamalkan oleh Che Puan Syamin yang dikongsikan bersama NONA.
“Seterusnya, antara tip yang diamalkan untuk mengelakkan perut buncit ialah semasa atau selepas makan saya tidak akan terus minum. Selepas 1-2 jam, baru saya akan minum. Kemudian, Selepas makan saya akan duduk, jalan atau berdiri selama 2 jam sebelum baring atau tidur untuk membantu proses penghadaman makanan”, jelasnya yang lahir pada 29 Januari.
Rupa-rupanya ini yang diamalkan oleh Che Puan Syamim untuk kekal ramping dan sentiasa tampil on point! Kalau sebelum ini anda dah cuba pelbagai cara untuk kekal sihat terutamanya ingin menghilangkan perut buncit tapi tidak membuahkan hasil, apa salahnya cuba pula cara yang dikongsi oleh Che Puan Syamim ini. Selamat mencuba!