Baru berusia 28 tahun tapi Dr Fasiha Latiff dah berjaya meraih pelbagai pencapaian dalam hidup. Dia bukan hanya dikurniakan rupa paras cantik dan bijak tapi sangat komited mengejar impian. Mana tidaknya, dalam kesibukan kerjaya sebagai doktor… Dr Fasiha tetap mempunyai masa untuk menceburi bidang perniagaan. Memang patut dijadikan inspirasi!
Ketika dihubungi Nona baru-baru ini, Fasiha atau nama penuhnya Nurfasiha Abdul Latiff terbuka berkongsi sisi hidup. Enggan dianggap riak dengan kejayaan yang diraih hari ini, anak kepada pasangan Abdul Latiff Tahir dan Badriyah Hassan berkenaan mengharapkan agar perkongsian ini menjadi pembakar semangat kepada kaum wanita lain untuk terus berjaya.
Memiliki kelulusan dalam bidang perubatan dari Trinity College Dublin, Dr Fasiha bersyukur impian untuk menjadi doktor akhirnya dimakbulkan. “Buat masa sekarang, saya berkhidmat sebagai doktor pelatih di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur dan bertugas dia bahagian Ortopedik (pembedahan tulang).”
Selain minatnya dalam bidang perubatan, Dr Fasiha turut optimis bergelar usahawan berjaya suatu hari nanti. Setakat ini, dia mengusahakan perniagaan tudung Mulan Scarf dan merupakan pemilik jenama pakaian perubatan ‘scrubs’ Three O.
Ujar adik kepada pelakon Fathia Latiff ini, “Saya sudah lama mengusahakan perniagaan Mulanscarf yang menjual tudung, iaitu sejak dari zaman student lagi. Masa tu saya buat untuk mengisi masa lapang dan lama-kelamaan minat untuk berniaga mula terdetik. Untuk medical scrubs pula, saya baru mulakan sejak September tahun lepas.
Idea ini datang bila saya nak belikan hadiah hari jadi untuk tunang tapi tak dapat nak cari baju yang sesuai untuk dia. Jadi, saya pun buat baju scrubs untuk dia. Tak sangka, lepas tu ramai pula orang yang tanya. Dari situ, saya dan tunang mulakan bisnes scrubs ini bersama-sama.”
Ditanya mengapa memilih nama Three O dan Mulan, Dr Fasiha nyata ada jawapan tersendiri. “Three O atau 3/0 ialah antara saiz benang yang selalu digunakan dalam dewan pembedahan sebab itu saya gunakan nama tersebut sebagai simbolik dengan dunia perubatan. Manakala nama Mulan pula diambil kerana ia adalah karakter Disney kegemaran saya.
Tahun ini merupakan tahun kelima saya berniaga Mulanscarf. Sepanjang lima tahun ini juga kami sudah mempunyai hampir 20 koleksi tudung. Untuk Three O pula, baru ada dua koleksi dan kami memang merancang nak tambah lagi pilihan koleksi bagi kedua-dua perniagaan ini.”
Selamat melangsungkan pertunangan dengan jejaka pilihan pada Januari lepas, wanita cantik ini memaklumkan setakat ini mereka belum ada tarikh tetap untuk mengadakan majlis perkahwinan memandangkan situasi semasa Covid-19. Namun anak bongsu daripada lima beradik ini tidak menolak kemungkinan akan mendirikan rumah tangga sebelum akhir tahun ini.
Diaju pertanyaan adakah dia mungkin akan mengikut jejak langkah kakaknya bergelar anak seni suatu hari nanti? Sambil tertawa Dr Fasiha berkata, “Buat masa ini saya tak pernah terima lagi sebarang tawaran berlakon dan sebagainya. Saya pun tak pandai berlakon. Minat saya lebih cenderung kepada bidang perubatan dan bisnes.”
Tidak dinafikan, Dr Fasiha memiliki kulit wajah yang bersih dan cantik. Kalau tengok rupa paras ibu Dr Fasiha pun, jelas dia mewarisi kecantikan milik ibunda tersayang. Mengulas amalan rutin kecantikan yang diamalkan, tanpa berselindung dia mengakui tidak mengamalkan petua khusus. Sebaliknya hanya melakukan rutin penjagaan wajah yang normal.
“Saya tak amalkan apa-apa yang luar biasa. Cuma ‘facial cleanser’, toner dan krim pelembap. Tak lupa juga sunblock.”
Harapan Nona semoga segala impian Dr Fasiha untuk berjaya dalam bidang perubatan dan perniagaan dipermudahkan. Seterusnya kejayaan yang diraih wanita muda ini dapat dijadikan pembakar semangat dan inspirasi.
Kredit foto: Instagram Dr Fasiha
This website uses cookies.