Kagum melihat kegigihan wanita ini mengemudikan kerjaya yang dipilihnya. Bukan sekadar bergelar doktor gigi, Dr Irma Shida Abu Samah juga mengusahakan syarikat yang berkaitan dengan kecantikan. Teruja mendengar wanita ini berkongsi cerita tentang cabaran yang ditempuhinya.
“Saya telah mengusahakan Klinik Pergigian Irma Ariandi selama 15 tahun dan saya juga mengusahakan sebuah syarikat, Irma Ariandi Global Sdn Bhd yang mengeluarkan produk penjagaan kulit, penjagaan diri di bawah label DR. IRMA yang kini berada di AEON Malaysia serta sedang giat menjengah pasaran luar negara dengan kerjasama Matrade, MARA dan PIJ Ventures.
Selain itu, syarikat ini juga merupakan pembekal bahan keperluan klinikal untuk hospital dan klinik. Irma Ariandi Global Sdn Bhd juga bekerjasama rapat dengan Angkasa sebagai pembekal untuk bersama-sama membangunkan kedai koperasi BA100 dan kami giat menjalankan program santai dengan kedai koperasi di Johor Bahru.
Selain produk, syarikat juga mempunyai cabang rawatan kecantikan wajah yang dijalankan oleh terapis kecantikan yang mempunyai diploma dalam bidang kosmetologi. Menawarkan rawatan kecantikan mampu milik kerana kepuasan dan pengalaman baik pelanggan dengan produk yang syarikat keluarkan adalah penting untuk mengekalkan kesetiaan klien,” tutur doktor gigi yang menjalankan rawatan estetik gigi ini membuka bicara.
Bercerita tentang cabaran yang ditempuhnya, “Pada saya, cabaran paling besar adalah untuk memberi maklumat dan ilmu yang tepat dan bermanfaat kepada pesakit dan pelanggan saya di dalam era di mana maklumat terlalu mudah dimiliki dan kadang-kadang pembaca tidak mudah membezakan mana fakta sebenar yang boleh dipercayai dan digunapakai dan mana yang bukan dari sumber yang boleh dipercayai,” kata Dr Irma.
Walaupun sibuk dengan perniagaan namun wanita ini tetap menjaga ‘perut’ suami dan anak-anaknya. “Sama seperti ibu-ibu bekerja yang lain, meletakkan anak-anak sebagai semangat untuk bertenaga menyelesaikan rutin dan kerja harian. Biasanya saya akan masak sarapan pagi dan makan tengah hari sebelum saya ke pejabat.
Di pejabat, jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang saya fokus kepada kedua syarikat saya, penyusunan kerja staf, planning and reporting. Saya tidak bawa pulang kerja ke rumah kerana selesai di pejabat. Jejak kaki di rumah, diri saya dan masa hanya untuk anak-anak dan suami.
Andai kata ada kerja yang perlu dilunaskan pada hari yang sama, saya akan pastikan anak-anak dah tidur, baru saya akan mulakan kerja saya. Saya rasa, itu adalah pengorbanan seorang usahawan yang ingin berjaya. Bila kita ‘sign deal‘ untuk jadi usahawan, tidur lewat adalah pakej yang datang sekali. Mujur saya pengeluar produk penjagaan kulit, alhamdulillah kulit masih terpelihara,” ucap Dr Irma dengan penuh keyakinan.
This website uses cookies.