Tidak dinafikan, wajah jelita Datin Emylia Rosnaida sewaktu membintangi filem Cinta Metropolitan pada tahun 1996 masih terkesan di hati penonton sehingga ke hari ini. Malah, lakonan mantap beliau di samping kumpulan KRU dan beberapa pelakon ternama lain seperti Vanidah Imran dalam filem berkenaan nyata mempunyai aura tersendiri.
Meskipun sudah lebih 20 tahun berlalu, namun pesona Datin Emylia masih terserlah. Kecantikan miliknya sentiasa meniti di bibir peminat. Apatah lagi beliau cukup setia dengan gaya potongan rambut ‘Bob’ dari zaman anak dara sehinggalah sekarang!
Selepas bergelar isteri kepada pengacara TV popular, Dato’ Mizal Zaini atau lebih dikenali dengan nama komersialnya Dato’ AC Mizal… Datin Emylia dilihat tidak lagi aktif dalam kerjaya lakonan. Sebaliknya beliau lebih selesa berada di belakang tabir dan menyokong kerjaya suami tercinta, selain menguruskan keluarga dan anak-anak.
Begitu pun, Datin Emylia aktif mengemaskini dan berkongsi rutin bersama peminat setianya di media sosial. Mengimbas kembali perjalanan cinta beliau dan Dato’ AC, pasangan sama cantik sama padan ini mendirikan rumah tangga pada tanggal 10 Oktober 2002. Hasil perkongsian hidup bersama, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Reeve Damien dan Fea Eryssa.
Difahamkan Reeve Damien kini berusia 17 tahun sementara Fea pula genap mencecah usia 12 tahun pada 5 Februari lalu. Sepanjang hampir 18 tahun berkahwin, pasangan romantis ini tidak terlepas mendapat perhatian khalayak kerana disifatkan pasangan selebriti yang cukup ideal dan saling memahami di antara satu sama lain.
Walau rezeki Datin Emylia dan Dato’ AC semakin melimpah ruah namun kakak kepada Emylia Rosmila ini tanpa berselindung pernah mengakui berdepan detik sukar ketika baru melayari alam perkahwinan. Malah, beliau juga telah berkali-kali menyaksikan ‘jatuh bangun’ suami sepanjang membina kerjaya seni dan legasi perniagaan.
Namun berkat kerja keras dan sokongan yang tidak putus-putus, pasangan ini akhirnya berjaya melebarkan empayar niaga dan bergelar usahawan produk kosmetik K1SS Lip Matte dan Idealyst Biocare Products. Bahkan Dato’ AC juga menerima banyak tawaran mengacara selepas meraih pelbagai anugerah dalam bidang pengacaraan antaranya ketika menjadi hos program Maharaja Lawak Mega (MLM) selama lapan tahun.
Sebelum ini, Dato’ AC pernah berkahwin dengan Shafnie Zainuddin pada tahun 1995 namun berpisah pada 17 Oktober 2001. Hasil perkahwinan pertama, beliau dikurniakan dua anak lelaki iaitu Muhammad Shafiq Iman dan Muhammad Shabil Iman.
Pada penghujung tahun 2009, bekas kumpulan 4U2C ini juga telah dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang yang sekaligus membawa gelaran Dato’. Semoga kejayaan yang diraih pasangan selebriti ini terus menjadi pencetus semangat dan inspirasi kepada masyarakat untuk berjaya.
Menarik 8.8.2020 di sini.
This website uses cookies.