Datin Lelawati Raffik atau lebih mesra digelar sebagai Datin Leyla ini ternyata bertuah kerana kecantikan aslinya sebagai anak kacukan Melayu-India masih terserlah walaupun kini mencecah usia 40an.
Bukan saja anggun malah Datin Leyla juga berjaya mengekalkan bentuk tubuh yang ramping biarpun bergelar ibu kepada tiga anak remaja iaitu Aretha Ann Philis (16), Alysha Ann Philis (12) dan Emir Adam Shah (11).
KERJA DARI RUMAH
“I’m quite a tradisional mom. Selalunya kalau hari persekolahan, rutin saya akan bermula pada pukul 5.30 pagi. Setelah anak-anak ke sekolah sekitar pukul 6.50 pagi saya akan sediakan pula secawan kopi bersama suplemen untuk suami.
Selalunya kami akan duduk di patio pada pukul 7 pagi sambil menikmati kopi bersama. Ketika inilah kami akan berbincang mengenai kerja serta perancangan untuk perniagaan. Saya juga akan berkongsi tentang perkembangan anak-anak sebelum suami ke tempat kerja.
Sebelum ini hampir 14 tahun saya dan suami berada dalam industri oil and gas. Kini saya serahkan semuanya kepada suami yang bertindak sebagai ketua atau mastermind untuk syarikat kami. Saya hanya bekerja dari rumah.
Selain menguruskan bahagian jualan dan pemasaran, saya juga bertanggungjawab terhadap hal-hal berkaitan kakitangan dan mesyuarat. Bekerja dengan suami ada kelebihan dan cabarannya. Tapi apa yang penting saling profesional, komited dan banyak bersabar.
Setakat ini, sepanjang bekerja bersama kami tiada masalah. Sejujurnya memang seronok menguruskan perniagaan bersama suami kerana masing-masing mengambil semangat serta saling memberi sokongan. Susah senang pun bersama-sama.
Kesimpulannya, saya suka bekerja dengan suami. Kami bebas berbincang apa jua perkara tanpa berselindung. Masing-masing jujur dan ikhlas dalam memberi teguran serta nasihat. Apa yang penting ialah saling menghormati kedudukan masing-masing, barulah segala urusan menjadi mudah.
RAHSIA CANTIK
Untuk kesihatan dan kecantikan saya seimbangkan kedua-duanya. Setiap pagi saya amalkan meminum satu liter air kosong di samping mengambil suplemen secukupnya. Saya juga menggunakan produk yang bebas bahan berbahaya serta ada bukti penyelidikan. Walaupun kesannya lambat yang penting ia selamat.
MENJADI IBU YANG TERBAIK
Saya mengharapkan agar sentiasa dapat meluangkan masa bersama keluarga biarpun kadangkala sibuk dengan urusan kerja. Saya bersyukur kerana keluarga sentiasa menjadi tulang belakang untuk saya menjadi isteri dan ibu yang terbaik.
Zaman sekarang nak mendidik anak-anak sangat mencabar. Sebagai ibu juga saya sentiasa mendoakan kebahagiaan anak-anak. Saya sering meletakkan diri ini sebagai sahabat kepada anak-anak di samping menasihati, menegur dan berkongsi pendapat bersama mereka.”
Kredit Foto: Instagram Leyla Raffik
This website uses cookies.