Di sebalik kesulitan hidup dan kegagalan rumah tangga kira-kira sembilan tahun lalu, kini Allah SWT hadirkan ‘pelangi’ buat usahawan kosmetik berjaya, Norhaslinda Rosli. Enggan menoleh kembali kisah silam yang membelenggu diri, wanita cekal kelahiran Melaka ini bangkit dan menerajui legasi miliknya Addar Global Sdn Bhd.
Lebih bermakna, Norhaslinda atau mesra disapa Lin merupakan salah seorang usahawan Muslimah yang mendapat pengiktirafan di majlis Hijab Fashion Award baru-baru ini. Meskipun bergelar ibu tunggal namun Lin enggan menjadikan status tersebut sebagai halangan untuk melangkah jauh.
Ujarnya, beliau sebelum ini terlibat dalam industri perhotelan menceburi bidang perniagaan secara tidak sengaja selepas diuji dengan kemelut rumah tangga pada tahun 2015.
“Detik permulaan saya melakukan perniagaan ini kerana ketika itu saya mengalami kesulitan kehidupan ujian rumah tangga. Di situlah saya mula berfikir untuk menjana pendapatan melalui perniagaan pertama saya dalam bidang kecantikan kulit wajah iaitu jenama saya sendiri, Addar Beauty.
Saya adalah seorang ibu tunggal yang ditinggalkan suami tanpa ada apa-apa pun dan sayalah yang membesarkan anak saya dari lahir seorang diri dengan berbagai-bagai kesusahan yang saya alami.
Dari situlah pendorong utama untuk saya bangkit sebagai ibu tunggal yang ingin memastikan kehidupan saya dan anak saya tidak akan kesempitan serta kehidupan kami dalam keadaan yang selesa.”
Tambahnya lagi, beliau memilih bidang penjagaan kulit wajah kerana mahu membantu golongan wanita khususnya yang mengalami masalah kulit wajah. Lebih-lebih lagi mereka yang menjadi mangsa produk kecantikan berbahaya.
“Addar Beauty ditubuhkan pada 5 April 2015 kerana saya adalah salah seorang mangsa yang pernah terpakai produk yang mengandungi bahan terlarang yang membahayakan kulit wajah.
Saya nekad dan berniat untuk membantu ramai orang di luar sana memiliki kulit wajah yang sihat kembali dengan rawatan dan produk keluaran Addar Beauty.”
Percaturan Lin dalam dunia perniagaan nyata berbaloi kerana sepanjang mengemudi bisnes Addar Beauty, beliau mampu memperoleh jualan mencecah lapan angka!
“Dengan modal awal dan juga simpanan serta pinjaman dari bank ketika itu sebanyak RM 100,000 saya nekad untuk mengeluarkan produk pertama saya iaitu Sabun Mutiara dan Serum Royal Epigenetic pada tahun 2015.
Alhamdulillah selama sembilan tahun Addar di pasaran, nilai jualan yang terkumpul telah mencecah hampir RM 50 juta.
Keunikan Addar Beauty yang dah berjaya membantu ratusan ribu pelanggan yang majoritinya adalah mangsa yang pernah tersalah pakai produk iaitu timbang kilo.
Itulah sebenarnya misi kami untuk memberi sinar harapan kepada mangsa-mangsa yang terguna produk klinikal terlarang yang mengakibatkan punca masalah utama mereka mengalami masalah jeragat yang teruk, jerawat dan juga kulit kusam agar dapat kembali memiliki kulit yang cantik dan sihat dengan kos yang mampu di miliki.
Dan kerana itulah Addar dikenali sebagai satu jenama di pasaran iaitu sebagai pakar kulit rosak atau #solusikulitrosak.”
Penglibatan Lin dalam arena keusahawanan bukan sekadar menjana pendapatan demi menaik taraf kehidupan dirinya dan anak tunggal. Lebih utama, beliau ingin turut berbakti kepada masyarakat.
“Niat saya yang paling utama untuk menjadi seorang usahawan Muslimah adalah kerana saya ingin menjadi pembayar zakat yang tinggi dan ingin berkongsi rezeki yang Allah kurniakan dengan cara yang betul.
Matlamat saya dengan penjualan barangan keluaran Addar saya ingin melebarkan sayap bukan sahaja di Malaysia tapi sasaran kami untuk semua negara-negara ASEAN dan 56 negara islam OIC.
Saya juga amat terinspirasi dengan Allahyarhamah Datuk Maznah Hamid yang dikenali sebagai Iron Lady Malaysia. Beliau mengendalikan perniagaan iaitu Security Force yang telah dibina bertahun-tahun serta menjadi pelopor di Malaysia yang menjalankan perniagaan industri pengawal keselamatan.”
Sehingga kini, Addar Beauty mempunyai tujuh rangkaian produk kosmetik antaranya Sabun Mutiara, Serum Royal Epigenetic, Sabun Magnetic, Foundation Green Tea, Matte Lip dan Magnetic Laser Cream.
This website uses cookies.