Kalau terpacul sahaja nama Kylie Jenner pasti sudah terbayang seorang gadis dengan sosok tubuh seksi yang gemar menggayakan fesyen terkini pereka jenama mewah. Wajah yang jelita dan sering tampil cantik dengan solekan sempurna ini sebenarnya begitu gigih dalam perniagaan kosmetik yang diasaskannya.
Wanita yang lahir daripada program realiti TV ini benar-benar bertuah kerana namanya telah melonjak naik lantaran program realiti TV yang dilakonkan bersama-sama kakak satu ibunya, Kim Kardashian. Biasan daripada program realiti TV tersebut namanya turut gah di platform laman media sosial yang telah mencurahkan rezeki melimpah-ruah.
Kylie bukan seorang anak hartawan tetapi atas hasil usaha titik peluhnya dan populariti yang diraih melalui laman media sosial, wanita yang bakal menginjak usia 23 tahun pada Ogos ini telah melayakkan dirinya bergelar JUTAWAN.
Bergelar jutawan dalam usia yang terlalu muda merupakan satu kebanggaan buat dirinya dan telah menyuntik inspirasi buat wanita lain seusianya mahupun yang sudah berusia. Mesti terasa puas hati segala usaha yang dilakukan nyata berbaloi.
Majalah Forbes pernah menyenaraikan Kylie Jenner sebagai salah seorang wanita muda yang berjaya dalam perniagaan kosmetik sehingga bergelar Instagram-Savvy Makeup Moguls. Dengan memiliki 191 juta pengikut di laman Instagram dan digelar sebagai Seventh Most Followed User mungkin Kylie Jenner tidak perlu bersusah payah untuk mempromosikan barangan solekannya.
Bisnes kosmetik yang diberi nama sempena namanya, Kylie Jenner telah mentransformasikan dirinya daripada seorang gadis biasa kepada seorang Jutawan dengan jumlah harta kekayaan USD900 juta dalam masa tiga tahun memulakan perniagaan.
Walaupun banyak kritikan yang diterima Kylie dalam menentukan gaya hidupnya tetapi dalam masa yang sama telah mencipta kejayaan peribadi yang pasti dicemburui oleh setiap wanita. Tahniah Kylie! anda mesti bangga memiliki harta kekayaan yang tercipta daripada usaha sendiri.
This website uses cookies.