Lumrah bila anak bergelar selebriti, pasti ahli keluarga termasuk ibu menerima tempias dunia glamor. Begitu juga bagi ibu penyayang yang juga ratu hati Mira Filzah, Faizatul Akmar Dato’ Hisan. Penampilan ibu selebriti ini mula menarik perhatian peminat sejak perkahwinan Mira Filzah dan Wan Emir Astar pada 2020.
Faizatul Akmar nyata bertuah kerana dikurniakan tiga orang anak perempuan yang cantik dan bijak. Meskipun ketiga-tiga cahaya mata sudah pun mendirikan rumah tangga namun keakraban ibu anak ini tetap utuh.
Ini terbukti apabila mereka saling bertemu di antara satu sama lain dan mengikuti percutian bersama-sama jika ada masa terluang. Pada Ogos lepas, keluarga bahagia ini berpeluang bercuti ke Kota Kinabalu, Sabah.
Lengkap mengenakan persalinan sedondon rona biru, terserlah wajah gembira seisi keluarga yang menaiki kapal pelayaran di sana.
“Family time. Alhamdulillah selepas beberapa kali tertangguh, dengan izin Allah dapat juga kami sekeluarga bercuti bersama-sama ke Kota Kinabalu. Walau sangat singkat yang penting quality time together.”
Ternyata Faizatul Akmar menjadi sumber inspirasi ketiga-tiga anak perempuan. Mana tidaknya, bukan sekadar memiliki pesona memikat, isteri Badioezaman Ab Khalik ini juga seorang wanita berpendidikan tinggi dan berpenampilan menarik.
Mengintai laman Instagramnya, terserlah sisi penyayang sebagai ibu dan isteri. Setiap perkongsiannya juga lebih banyak berkisar tentang aktiviti keluarga tersayang.
Genap berusia 56 tahun pada 6 Jun lalu, walau sudah meniti usia lebih separuh abad dan bergelar nenek namun kejelitaannya kekal memukau. Tidak hairanlah Mira Filzah mempunyai wajah lembut dan ayu. Mewarisi gen cantik ibunda tersayang rupanya!
Selain sibuk mengurus keluarga, figura ini juga seorang wanita bekerjaya dan menyandang jawatan sebagai Ketua Eksekutif di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM). Semestinya dia mempunyai kredibiliti kepimpinan yang tinggi sampai diberi kepercayaan mentadbir institusi pendidikan berkenaan. Kagum!
Moga segala kejayaan dan asuhan sempurna Faizatul Akmar dan suami turut menjadi inspirasi buat semua. Juga, rumah tangga ketiga-tiga anak mereka berkekalan hingga ke syurga.
This website uses cookies.