Bergelar Mualaf Usia 16 Tahun, Wanita Cantik Korea AYANA MOON Diminati Ramai & Kisah Hidup Jadi Inspirasi!

Orangnya bukan saja tinggi lampai tapi memiliki rupa paras cantik dan kulit putih kemerahan. MasyaAllah, cantiknya ciptaan Tuhan. Pertama kali bertemu Ayana Jihye Moon, memang terpegun dengan kecantikan personaliti kelahiran Korea Selatan ini.

Dilahirkan pada 28 Disember 1995, Ayana menarik perhatian masyarakat di Malaysia dan Indonesia ekoran perjalanan hidupnya sebagai mualaf. Dia dikhabarkan tertarik dengan Islam sejak berusia tujuh tahun dan kemudian memutuskan untuk memeluk Islam ketika berumur 16 tahun dan masih menetap di Korea Selatan bersama keluarga.

Bagaimana pun, penghijrahan Ayana mendapat tentangan hebat daripada kedua-dua ibu bapa. Apatah lagi, komuniti Islam yang kecil di Korea Selatan dan kekangan peluang pekerjaan apabila dia berhijab memberi cabaran besar kepada jelitawan berusia 26 tahun ini.

Dalam temu bual Nona bersama Ayana tidak lama dahulu, wanita cantik ini mendedahkan, “Nama seperti Aishah atau Khadijah sudah menjadi pilihan ramai dan Ayana ialah nama Islam yang dipilih sendiri oleh saya kerana tertarik dengan nama tersebut yang membawa maksud bertuah.

Pada mulanya saya tidak begitu serius untuk memeluk Islam kerana saya hanya mahu ada pengetahuan tentang Islam. Namun, apabila saya mula bertemu dengan rakan-rakan beragama Islam yang baik, saya tertarik dengan agama ini dan mahu merasai sendiri pengalaman bergelar seorang Muslim.

Pada awalnya ibu dan ayah tidak setuju dengan keputusan saya untuk peluk Islam. Keadaan ini adalah normal di sana kerana tidak semua rakyat Korea sukakan orang Islam termasuk ahli keluarga sendiri. Tapi sampai sekarang saya sentiasa menghubungi keluarga untuk bertanya khabar dan masih melawat mereka di Korea,” ujar Ayana yang merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik.

Di samping ibu tersayang

Sementara itu, memetik kenyataan Ayana kepada portal Popbela.com, “Sebelum pergi ke Malaysia, saya harus lakukan banyak pekerjaan sampingan di Korea Selatan seperti menjadi guru Matematik, menjual ikan kering di pasar dan bekerja sampingan di restoran kecil. Alhamdulillah saya dapat biasiswa penuh kerana saya adalah siswa teladan.”

Ayana memilih Malaysia pada tahun 2017 kerana mempunyai kenalan di sini. Pada tahun 2018, dia berhijrah pula ke Indonesia untuk bercuti dan seterusnya menjadi model.

Bersandarkan bakat dan rupa paras cantik yang dimiliki, Ayana turut bergelar personaliti YouTube dan menjadi duta bagi produk kecantikan di Indonesia. Dia juga menulis sebuah buku mengenai perjalanannya menuju Islam yang bertajuk Journey to Islam.

Tidak hairanlah Ayana menarik perhatian ramai masyarakat kerana personalitinya yang santai, mesra dan gemar tersenyum. Terpikat dengan kulit wajah mulus Ayana, ini amalan kecantikan yang dipraktikkan.

“Sebenarnya saya tidak ada rutin kecantikan khas untuk diamalkan Cuma saya akan bersihkan make up sebelum tidur dan pastikan muka saya bersih daripada sebarang kotoran. Selain itu, saya juga akan sapu krim pelindung matahari setiap hari sebelum keluar rumah kerana ia mampu melindungi kulit wajah.”

 

Kredit foto: Instagram Ayana Jihye Moon

Share
Published by
Suzi