Tahun 90-an menyaksikan fenomena telenovela yang menjadi kegilaan suri-suri rumah, dan Rubi merupakan salah satu telenovela yang cukup popular suatu ketika dahulu. Rubi yang ditayangkan sekitar tahun 2005 di Malaysia dengan 115 episod itu dibintangi pelakon dan model ternama lagi jelita Barbara Mori mengisahkan tentang Rubi, seorang wanita miskin yang kejam dan jahat sehingga sanggup melakukan apa saja untuk mencapai impiannya.
Pelakon Mexico yang lahir di Uruguay ini mulai terkenal selepas membintangi telenovela hit tersebut dan kemudiannya beberapa siri telenovela dan filem-filem Hollywood seperti My Brother’s Wife, Violanchelo dan lain-lain, malah Barbara juga turut dinobatkan antara salah seorang pelakon Mexico paling jelita ketika itu.
Namun agak sudah lama kita tidak melihat kelibat dan mendengar khabar berita pelakon utama telenovela tersebut yang dikhabarkan makin menghilang dari radar populariti dan lensa media. Kali terakhir Barbara Mori dilihat dalam filem adalah menerusi filem Bollywood, Kites yang digandingkan bersama dengan pelakon Hritrik Roshan pada tahun 2010. Barbara juga baru-baru ini membintangi drama siri Las Azules di Apple TV namun impak lakonannya tidak sebesar impak telenovela Rubi. Malah Barbara dulu juga pernah digosipkan bercinta bersama Hritrik Roshan.
Depresi Dan Pejuang Kanser
Namun tahukah anda di atas kejayaan telenovela tersebut yang ternyata melonjakkan namanya, Barbara dikatakan berhadapan dengan tekanan perasaan dan emosi sehinggakan membuatkan dirinya depresi. Jelasnya dalam satu temubual, walaupun namanya semakin dikenali dengan bayaran yang lumayan, namun selepas setiap kali tamat pengambaran dia akan masuk ke dalam bilik persalinan, mengunci dirinya dan menangis sepuasnya kerana merasakan dirinya keseorangan dan sunyi. Malah Barbara juga disahkan menghidap barah pada peringkat awal dan kini dia sudah sihat sepenuhnya.
Selepas siri itu tamat dan kembali membintangi beberapa buah naskah gred B, Barbara dikatakan enggan lagi berlakon dalam telenovela dan hanya ingin memfokuskan kepada projek-projek tertentu serta kehidupan kehidupan peribadinya.
Kini Bergelar Nenek
Dan yang terbaru, Barbara dikhabarkan sudah menjadi seorang nenek apabila anak tunggalnya, Sergio telah bergelar bapa di usia 18 tahun. Sergio dan isterinya, Natalia Subtil melahirkan anak perempuan yang diberinama Mila sekaligus Barbara menjadi seorang nenek ‘georgeous’ pada usia 43 tahun.
Malah, kini Barbara selesa hidup solo selepas bercerai dengan pelakon Sergio Mayer. Pada tahun 2016 Barbara berkahwin pula dengan pemain besbol Kenneth Ray Sigman, abang kepada pelakon Stephanie Sigman, namun bercerai pada 2017.
Mengintai ke laman Instagram Barbara yang dilihat mempunyai pengikut sebanyak 2.5 juta itu, kini dia banyak menghabiskan masa bersama-sama keluarga, menjaga cucu serta rakan-rakan terdekat. Yang turut menarik perhatian adalah penampilan Barbara yang masih lagi anggun dan cantik seperti anak dara.
Walaupun di usia 44 tahun, Barbara juga dilihat kekal langsing dan menawan. Malah Barbara juga kini aktif melibatkan diri dengan projek-projek kecil di Mexico dan US. Semoga yang baik-baik saja buat pelakon berbakat besar ini.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Sumber: Tattlevines
This website uses cookies.