Gelaran supermodel sama sekali tidak menghalang aksi lincah atlet China, Eileen Feng Gu daripada merebut pingat emas pertamanya di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.
Eileen mempamerkan aksi cemerlang dalam acara freestyle skiing, sekaligus mengangkat nama supermodel remaja berusia 18 tahun ini sebagai juara beberapa hari lalu.
Tuah berwajah cantik dan kini pemenang pingat emas Olimpik termuda, populariti Eileen kian melonjak tinggi. Tidak terhenti di situ, beliau juga memperoleh banyak tajaan dengan ganjaran yang lumayan.
GADIS LUAR BIASA
Berdarah kacukan Cina-Amerika, nama Eileen Gu sebelum ini pernah meniti bibir dengan pelbagai pencapaian hebat yang lain.
Dilahirkan pada 3 September 2003 di San Francisco, California, bakat Eileen mula digilap seawal usia lapan tahun oleh ibunya, Gu Yan. Beliau dihantar ke kelas ski di Lake Tahoe, seterusnya berjaya mengasah kemahiran yang tinggi sebagai atlet ski profesional.
Bakatnya bukan saja bersinar di arena sukan ski, malah beliau juga pernah menghiasi kulit depan majalah Elle dan Vogue.
Di bawah naungan agensi modelling IMG Models, Eileen telah membintangi beberapa kempen fesyen dunia.
Antaranya untuk Louis Vuitton, Fendi, Gucci dan Chanel. Terbaru, Eileen dilantik sebagai duta untuk jenama Tiffany & Co dan jam tangan IWC Schaffhausen.
Meskipun berasal dari Amerika Syarikat, gadis yang suka bermain piano itu memilih untuk mewakili negara kelahiran ibunya iaitu China di Sukan Olimpik.
Gadis cantik ini berniat mahu memberi inspirasi kepada lebih ramai orang di China tentang sukan ski dan terlibat secara profesional dalam sukan tersebut, khasnya kanak-kanak.
Tidak cukup dengan itu, Eileen juga menunjukkan prestasi terbaik dalam pelajaran.
Memetik laporan The Washington Post, beliau bakal mengikuti jejak langkah ibunya sebagai pelajar di Universiti Stanford dan bakal meneruskan pengajian selepas tamatnya Sukan Olimpik Beijing 2022. Syabas!
4 Cancer Survivors Ini Dedah Pengalaman Perit Hidap BARAH PAYUDARA. Tapi Tengok Perubahan Mereka Sekarang!
Setiap individu mempunyai kisah tersendiri bagaimana mereka mula mengesan kehadiran barah dalam tubuh mereka. Apatah lagi barah payudara merupakan penyakit yang amat digeruni oleh kaum wanita.
Wanita yang disahkan menghidap barah payudara seharusnya bangun menjadi wanita yang cekal dalam usaha melawan penyakit yang menjadi mimpi buruk mereka.
Empat wanita muda yang berdepan penyakit barah payudara ini mempunyai kisah yang boleh dijadikan panduan kita agar bersedia dari segi mental sekiranya diuji dengan situasi yang sama.
Chung Yih Pei, Faraedayu Zulkifley, Hibatullah Abdul Rahman dan Dachaini Karuppiah merupakan cancer survivor yang wajar dijadikan contoh untuk wanita lain.
BUANG SIKAP MURUNG
Chung Yih Pei, 37, Guru Sekolah Menengah
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Perkara pertama yang membuatkan saya mengesyaki sesuatu apabila tersentuh payudara kanan terdapat ketulan. Saya berkongsi cerita dengan ibu dan beliau menasihati saya menjalani pemeriksaan di hospital.
Hasil pemeriksaan, doktor mendapati payudara kanan saya sudah penuh dengan ketulan. Pada masa yang sama, saya membuat semakan mammogram, ultrasound dan biopsy.
Selepas tiga hari, doktor mengesahkan saya menghidap barah payudara. Saya terus mencari doktor pakar untuk membuat semakan yang kedua dan didapati memang sah wujudnya barah dalam payudara kanan saya.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Sebaik disahkan menghidap barah, saya menjadi sangat sedih dan murung. Saya bersyukur kerana mempunyai kawan baik yang sedia mendengar luahan rasa saya.
Kaum keluarga saya juga menemani saya pada ketika itu. Saya merujuk kes kepada pakar bedah payudara di UMMC dan membuat temujanji untuk pembedahan. Pada ketika itu, UMMC mempunyai kumpulan kaunseling daripada jururawat dan doktor.
Mereka menasihati saya bahawa barah saya masih di tahap awal dan peratusan untuk sembuh adalah sangat tinggi. Pada ketika itu, saya pulihkan keyakinan saya dan berfikiran positif. Saya juga bekerjasama dengan doktor sepanjang rawatan saya.
Rawatan yang dilakukan?
Kemoterapi sebanyak enam kali, radioterapi sebanyak 21 kali dan sekarang saya menjalani rawatan terapi hormon melalui pengambilan ubat tamoxifen sepanjang 10 tahun.
Selain itu, setiap tiga bulan saya akan bertemu dengan pakar bedah dan pakar onkologi untuk pemeriksaan berkala. Setiap tahun, saya perlu membuat sekali ujian ultrasound dan MRI pada payudara saya.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Nasihat saya kepada semua wanita, mereka perlu membuat pemeriksaan payudara kendiri semasa mandi. Kalau didapati terdapat ketulan atau apa-apa yang tidak kena pada payudara, rujuklah kepada mana-mana doktor di klinik yang berdekatan.
Kalau didapati ada yang bermasalah, mereka perlu menjalani pemeriksaan melalui mammogram atau ultrasound atas rujukan doktor pakar. Barah payudara banyak menimpa pada golongan wanita muda kini. Jadi semua wanita perlu sentiasa berwaspada akan perubahan payudara sendiri.
Wanita yang berumur lebih daripada 40 tahun, segeralah buat mammogram. Pengesanan awal lebih baik sebelum ia merebak dan membahayakan kesihatan.
AKTIF DAN BERSEMANGAT
Faraedayu Zulfikley, 34, Setiausaha
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Saya merupakan seorang wanita yang amat mementingkan penampilan diri. Setiap kali selepas mandi, saya akan mengambil masa untuk melihat sebarang perubahan dari segi penampilan.
Tapi suatu hari, saya dapati terdapat bengkak atau benjolan di payudara kiri. Pada mulanya saya ingat ia kesan dari muscle pain akibat senaman tetapi selepas seminggu ia menjadi ketulan keras.
Saya segera mendapatkan nasihat daripada Dr. Harjit Kaur, doktor pakar payudara. Pada mulanya doktor mendapati ia mungkin kesan biasa selepas habis datang bulan. Tetapi hasil pemeriksaan biopsy mendapati saya menghidap barah payudara tahap kedua.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Apabila Dr. Harjit menggunakan terma perubatan Carcinoma (nama saintifik barah) dan menerangkan apa yang perlu dilakukan, saya masih agar kabur dan tidak dapat menerima hakikat.
Hampir setengah jam saya menangis dan nasib baik ketika itu saya ditemani oleh rakan baik. Selepas keluar dari hospital, saya cuba menenangkan perasaan dengan membeli-belah. Tetapi bila sampai sahaja di rumah, saya mula mencari maklumat mengenai barah ini di Internet.
Rawatan yang dilakukan?
Saya menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi seperti disarankan oleh doktor. Saya menjalani kemoterapi sebanyak enam pusingan. Antara kesan sampingan termasuklah letih, lesu, muntah-muntah dan keguguran rambut.
Saya pernah merasa bagaimana menjadi botak! Kini, saya meneruskan rawatan dengan pengambilan pil sebiji setiap hari. Saya menjalani radioterapi untuk 30 kali di mana saya perlu diradiasi setiap hari untuk mematikan sel-sel barah yang masih aktif.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Saya berharap wanita lebih peka terhadap perubahan pada badan dan menjaga pemakanan dan amalkan gaya hidup yang sihat. Sentiasa lakukan pemeriksaan payu dara sendiri dan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
KELUARGA BERI DORONGAN
Hibatullah Abdul Rahman, 27, Pelajar
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Saya mengesan benjolan di payudara sejak 2011. Setiap kali menjalani pemeriksaan kesihatan, pakar radiologi hanya mengatakan ia cuma cyst.
Pada Februari 2015, saya mengalami masalah darah keluar dari puting payudara. Sekali lagi saya rujuk kes ke radiologi dan ia dikatakan normal untuk wanita yang menyusukan anak, sedangkan saya ketika itu belum berumah tangga.
Kemudian kes saya dirujuk kepada pakar bedah payudara dan ujian ultrabunyi mendapati saya menghidap barah payudara tahap dua.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Pada hari saya mendapat keputusan ujian, saya ditemani oleh ibu dan kakak. Apabila Dr. Harjit menerangkan tentang proses rawatan, saya mahu kekal positif dan meneruskan langkah seterusnya menjalani rawatan yang disyorkan.
Saya juga mahu cekal untuk ibu saya kerana ketika itu ayah baru sahaja meninggal dunia kira-kira sebulan.
Rawatan yang dilakukan?
Saya melalui enam proses kemoterapi, mastectomy, 15 kali radioterapi dan 17 kali herceptin. Pada pertengahan rawatan herceptin, keputusan saya berubah menjadi ER+, PR- and HeR2+. Pesakit dengan HeR2+ perlu melalui proses herceptin.
Buat masa ini, saya masih mengambil ubat-ubatan dikenali sebagai Tamoxifen sehari sekali bagi mencegah sel barah. Ia merupakan sejenis dadah hormon estrogen yang disarankan untuk pesakit estrogen positif.
Tidak dinafikan sepanjang proses kemoterapi, saya melalui pelbagai perubahan antaranya termasuklah kehilangan rambut, hilang selera makan, rasa loya, penambahan berat badan dan sering sakit kepala.
Antara perkara paling memberi kesan pada saya ialah bila saya berhadapan dengan situasi chemo brain dimana saya menghadapi masalah untuk fokus dan menjadi pelupa.
Dalam keadaan begini, support system begitu memainkan peranan. Pembedahan, terapi radiasi dan herceptin antara rawatan yang telah dilalui. Malah, saya ambil keputusan membuang payudara kiri tetapi ia tidak membuatkan saya rasa kekurangan. Saya jadi lebih positif dan anggap ia sebahagian dari aturan perjalanan hidup.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Sebaiknya, lakukan pemeriksaan sendiri payudara sekali sebulan. Saya rasa masa terbaik untuk melakukan pemeriksaan sendiri payudara ketika mandi.
Selain itu, lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk mengesan sebarang simptom. Jika merasa sebarang perubahan terhadap payudara, dapatkan pandangan pakar.
PENJAGAAN EMOSI PENTING
Dachaini Karuppiah, 32, Pelatih Program Soft Skills
Ceritakan bagaimana anda disahkan menghidap barah payudara?
Saya mula mengesan ‘kelainan’ pada payudara saya kira-kira 10 tahun yang lalu. Ketika itu, saya melakukan pemeriksaan sendiri payudara dan mendapati terdapat benjolan di bahagian bawah ketiak.
Saya mendapatkan pandangan daripada doktor di klinik dan selepas beberapa siri ujian dijalankan, keputusannya menunjukkan negatif terhadap kehadiran sel barah. Malah, ia disahkan sebagai fibroid biasa sahaja.
Tetapi saya ambil keputusan untuk membuangnya kerana rasa kurang selesa. Semasa pembedahan, doktor mengesan sesuatu dan merujuk ke patologi. Dua minggu kemudian, saya diarahkan ke hospital setelah ujian mendapati ia merupakan sel barah.
Ia merupakan barah tahap satu tetapi ia merebak dengan cepat sehingga ke tahap ketiga. Saya dicadangkan menjalani pembedahan mastectomy dan rawatan kemoterapi sebanyak 8 pusingan. Ia perlu dilakukan supaya sel tidak merebak ke bahagian payudara yang lain pula.
Apakah perkara pertama yang anda lakukan sebaik sahaja disahkan menghidap barah tersebut?
Tidak dinafikan ketika pertama kali berdepan dengan keadaan itu, ia merupakan saat paling getir dalam hidup saya. Ketika berada di bilik doktor, saya ditemani oleh ibu bapa.
Bayangkan bagaimana perasaan saya ketika doktor mengungkapkan perkataan ‘Maaf, anda menghidap barah. Baca buku ini untuk anda memahami mengenai penyakit ini.’
Ketika itu, keadaan penuh emosi, marah, kecewa, sakit dan segala perkara negatif muncul dalam kotak fikiran. Malah saya bertindak keterlaluan terhadap keluarga dan rakan-rakan. Apa yang saya impikan dalam hidup bagaikan hancur dalam sekelip mata.
Terdetik juga rasa tidak percaya dan mengapa saya perlu berhadapan dengan situasi tersebut sedangkan saya dan keluarga amat mementingkan gaya hidup yang sihat. Malah saya juga tidak merokok dan minum minuman keras.
Pernah satu ketika saya menjauhkan diri dari semua orang dan mudah berasa kecil hati dengan individu di sekeliling. Kadangkala saya hanya berharap ia hanyalah mimpi buruk yang bakal berlalu apabila terjaga keesokan harinya.
Tapi Melihat kesan parut, jarum dan segala yang berkaitan dengan perubatan membuatkan saya trauma dan mudah merasa murung ketika itu.
Rawatan yang dilakukan?
Saya terpaksa melalui dua surgeri, mastectomy dan 8 pusingan kemoterapi agresif. Setiap rawatan pasti mempunyai kesan sampingan dan ia sememangnya amat menguji kekuatan fizikal dan mental.
Mana tidaknya, saya terpaksa berada di hospital setiap dua minggu untuk menjalani ujian darah, kemoterapi dan pelbagai ubat-ubatan yang perlu dimakan. Sudah pastinya selepas setiap kali rawatan, tubuh akan menjadi lemah dan sistem imunisasi badan menjadi lemah.
Ada ketikanya saya berhadapan dengan masalah tidak lalu makan, rasa mual, muntah, sakit anggota badan dan sakit kepala yang teruk. Masalah keguguran rambut juga secara tidak langsung berlaku dan saya pernah sampai ke tahap kepala botak, tiada bulu mata dan bulu kening!
Keadaan ini berubah setelah sistem imunisasi badan bertambah baik dan ia mengambil masa untuk melalui proses tersebut. Kini, saya sudah bebas dari pengambilan sebarang ubat-ubatan dan pelan rawatan. Namun begitu, saya masih meneruskan rawatan berupa beberapa siri ujian dan rawatan susulan seperti disarankan oleh pakar.
Apakah nasihat anda untuk semua wanita supaya pencegahan awal dapat dilakukan?
Sejak dahulu lagi, kesedaran awal mengenai barah payudara belum begitu dipraktikkan di kalangan wanita terutamanya wanita muda masa kini.
Saya percaya, penting untuk wanita tidak mengira umur untuk memahami konsep ujian mammogram, ultrabunyi dan sebagainya supaya pengesanan awal tanda-tanda kanser dapat dilakukan.
Selain itu, penting untuk setiap wanita membuat pemeriksaan sendiri payudara kerana ia adalah langkah awal untuk mengesan tanda-tanda awal yang berlaku terhadap payudara.
Walaupun Kementerian Kesihatan telah banyak menguar-uarkan kempen ini, namun kesedaran wanita terhadap kepentingannya masih belum dicapai secara meluas. Rosmah Idayu Abu Samah
Meski Diri Pendosa, Wanita Jangan ‘Culas’ Kembali Pada Allah – Lisa Surihani
Tanggal 26 Jun yang lalu merupakan tarikh istimewa buat pelakon Lisa Surihani apabila kini sudah genap lima tahun istiqamah dengan imej berhijab dan menutup aurat lebih sempurna.
Mengenang kembali detik penghijrahan pada tahun 2019 itu, heroin filem Istanbul Aku Datang ini mengakui persoalan tentang hijab sering mengetuk pintu hati hingga menjadi tanda tanya baginya, hingga akhirnya menerima hidayah untuk berhijab sepenuhnya.
Kongsi Detik Hati ‘Dijentik’ Menutup Aurat
Malah, pelakon itu juga mendedahkan kisah disebalik peristiwa sebelum hatinya terdetik untuk berhijab.
“Ada beberapa peristiwa atau kejadian yang berlaku yang membuatkan saya rasa hati seolah-olah dijentik.
“Pada ketika itu di bulan Ramadan, kebiasannya, apabila saya buka Al-Quran, surah An-Nur dalam satu ayat tersebut menyatakan iaitu seorang lelaki perlu merendahkan pandangan mereka terhadap wanita.
“Disitu, saya nampak ada satu kebijaksanaan disebalik ayat tersebut membuatkan saya terfikir sebenarnya wanita ini, tidak kisah sebenarnya dia berpakaian macam mana pun.
“Sebenarnya yang kena jujur ialah lelaki untuk merendahkan pandangan mereka terhadap wanita, bukan untuk memberikan alasan kepada mereka untuk menghentam, kecam, menghakimi atau pun tidak berpakaian mengikut hukum syarak.
“Dari situ, ia membuatkan saya terfikir lebih mendalam, kemudian saya masih tertanya-tanya, patutkah aku pakai (tudung)?
“Ada satu masa, saya buka lagi satu surah itu mengenai cara pemakaian wanita Muslimah yang sepatutnya dan ada juga kebijkasaan disebalik ayat itu. Ketika itu, saya rasa hati saya macam terjentik lagi sekali,” kongsinya sebak.
“Saya Ingin Mencari Kemaafan Dari Dia,” – Lisa Surihani
Meski sudah lima tahun memulakan perjalan sebagai seorang wanita Muslimah yang tampil dengan imej bertudung, Lisa akui bahawa dia juga mempunyai kisah lampau.
“Apabila saya ditegur oleh masyarakat, orang ramai yang dekat dengan saya, saya juga baca Al-Quran, tonton video, membuatkan saya nampak keindahan Allah dan betapa sayangnya Allah kepada kita.
“Memandangkan saya rasa banyak dosa dalam hidup saya, carilah Allah walau macam mana cara sekalipun. Itu yang saya lakukan. Saya ingin mencari kemaafan dari Dia,” jelasnya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Video / Foto : Youtube Zayan My / Instagram Lisa Surihani
Doa Ibu Iringi Kemenangan Morocco Ke Piala Dunia 2022, Aksi Boufal & Hakimi Kucup Ibu Buat Ramai Tersentuh
Seorang anak yang merayakan kemenangan dan momen bahagianya dengan sang ibu, begitu pantas menyorot perhatian peminat Piala Dunia Qatar 2022. Antara yang membuat masyarakat terharu adalah ketika dua pemain bola sepak Morocco, Sofiane Boufal dan Achraf Hakimi yang berlari untuk mengucup ibu masing-masing selepas memenangi perlawanan.
Mintalah doa ibu. Doa ibu itu mampu menembus bumi dan langit. Barangkali inilah rahsia kemenangan pasukan Morocco atau Maghribi mencipta sejarah sebagai negara Afrika pertama berjaya melayakkan diri ke peringkat semi final Piala Dunia Qatar 2022 sekaligus menundukkan gergasi bola sepak Portugal yang turut dibarisi pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo.
Turut dikenali sebagai The Atlas Lion, pasukan bola sepak Morocco pastinya akan dikenang lebih dari sekadar prestasi cemerlang, malah cerita selepas kemenangan yang mereka sajikan.
RAHSIA KEMENANGAN
Dalam setiap kemenangan yang dicatat, Morocco menyajikan cerita yang indah. Antara yang diperkatakan adalah ketika para pemain melakukan sujud syukur selepas perlawanan berakhir dengan kejayaan.
Malah sebagai cara menaikkan semangat pemain, Morocco turut mengundang ahli keluarga untuk bersama memberi sokongan kepada mereka. Ada yang membawa ibu bapa, isteri dan anak-anak untuk tinggal di hotel yang sama serta hadir ke setiap perlawanan di stadium.
Paling sukar dilupakan, aksi pemain Sofiane Boufal, 29 tahun, yang merayakan kemenangan mereka ke atas Portugal dan mara ke peringkat semi final dengan menari bersama ibu tersayang. Aksi itu dirakamkan di tepi padang apabila ahli keluarga dibenarkan turun berjumpa pemain selepas perlawanan.
“Emosi kami sebagai pemain sentiasa turun naik. Tapi sokongan keluarga yang menguatkan semangat kami untuk memberikan yang terbaik.” Boufal
Begitu juga aksi pemain Achraf Hakimi, 24 tahun, yang berlari ke tempat duduk penonton yang menempatkan ibunya. Tanpa mempedulikan sesiapa pun, tubuh ibu didakap dan wajah wanita kesayangan itu dikucup berkali-kali sebagai tanda sayang.
Ibu Achraf Hakimi pernah bekerja sebagai pembantu rumah dan bapanya seorang penjual jalanan berusaha keras bagi memastikan anak-anak mereka mampu memiliki kehidupan senang.
“Hari ini saya berjuang setiap hari untuk mereka. Mereka telah banyak berkorban untuk melihat saya berjaya.” Achraf Hakimi
Momen indah ini sempat dirakam media sebagai tatapan dunia. Sesungguhnya dalam sukan bola sepak, sokongan serta pengorbanan ibu bapa sejak mereka kecil hingga bergelar pemain profesional adalah rahsia melahirkan atlet hebat dan mengharumkan nama negara.
Syabas Morocco kerana melahirkan ramai pemain bola sepak muda bertaraf dunia dan menjadi kebanggaan negara!