Berhenti Kerja Sebagai Jurutera, Pasangan Suami Isteri Ceburi Dunia Fesyen. Turut Diundang Ke London Modest Runway!

Siapa sangka, keputusan pasangan suami isteri ini untuk melepaskan jawatan sebagai Jurutera dan menceburkan diri dalam dunia perniagaan secara sepenuh masa menjadi asbab kejayaan jenama fesyen yang diusahakan sejak 10 tahun yang lalu.

 

Tahun ini, Muhammad Nizar Jamaludin dan Nur Hafizah Shaarani mengeluarkan lebih 100,000 unit koleksi baju raya RAVE Raya 2023 selain kerjasama sulung dengan jenama Hombre.

Menyingkap bagaimana jenama fesyen dikenali sebagai MCC Lifestyle mula bertapak, menurut Nur Hafizah ia merupakan keputusan terbaik yang diambil untuk mereka mencuba sesuatu yang baharu.

“Kami berdua belajar dan merupakan lulusan bidang kejuruteraan. Saya merupakan graduan Universiti of Southamptom United Kingdom dan bekerja sebagai jurutera di Tenaga Nasional Berhad sebelum ini.

“Manakala suami pula graduan Universiti Teknologi Petronas. Dia juga pernah bertugas sebagai Jurutera di syarikat minyak popular. Selepas tamat tempoh perkhidmatan wajib bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, kami memilih untuk berhenti kerja,” ujar Nur Hafizah.

“Dipendekkan cerita, tumpuan kami kepada dunia perniagaan termasuklah mengukuhkan lagi jenama. Dahulu, jenama ini hanya dikenali sebagai MCC, tapi kami melakukan penjenamaan semula terhadap nama dan logo,” kata Nur Hafizah.

Genap tahun ke-10 dalam dunia perniagaan berasaskan fesyen, ia terus mencipta ‘milestone’ membanggakan termasuk jualan koleksi baju rayanya. Serentak dengan itu juga, jenama berkenaan lebih bersifat interaktif dan inovatif menawarkan MCC Lifestyle Interactive Rave Raya 2023 Lookbook untuk memudahkan pembeli membuat keputusan pembelian dengan lebih sistematik.

Lookbook atau koleksi foto pakaian dijual ini lebih memudahkan pembeli membeli dalam talian. Ia disifat sebagai strategi promosi untuk menarik pelanggan dan membantu mereka menentukan pilihan yang lebih baik. Ia lebih ‘feel’.

Terdapat lebih 300 pilihan koleksi ditawarkan di mana ia turut menawarkan polisi 90 hari jaminan pulangan wang jika pelanggan tidak berpuas hati dengan pembelian. Malah khidmat penasihat fesyen juga turut diberikan jika ada pelanggan mahukan bantuan atau nasihat.

Ketika ditanya mengenai simbolik Rave sebagai nama koleksi raya tahun ini, Nizar berkata ia mempunyai maksud yang tersendiri.

“R itu merujuk kepada romantik dengan menampilkan koleksi Abaya, gaun labuh dan jubah. Ada lebih 50 look yang sesuai untuk majlis berbuka puasa atau persalinan menunaikan umrah mahupun haji.

“A pula bermaksud anggun menampilkan kurung pelbagai potongan, fabrik dan kemasan. Ada koleksi songket, kurung lace, pleated, lasercut dan sulam. V pula versatil terdiri daripada koleksi harian seperti blaus, gaun yang sesuai untuk digayakan harian atau majlis rumah terbuka.

“Manakala E pula diambil untuk abjad terakhir ejaan Hombre menerusi 20 warna koleksi baju Melayu Tailored Fit,” kata Muhammad Nizarl lagi.

Tidak hanya mencipta nama di dalam negara, jenama ini turut menyertai London Modest Runway di Excel London yang dianjurkan pada 25 dan 26 Februari lalu.

Antara rekaan khas dari partner artist studio di Paris yang direka khas oleh MCC Lifestyle semasa London Modest Runaway di London baru-baru ini.

“Untuk pertunjukan fesyen di London kami ketengahkan 16 rekaan bertemakan Summer Raya dan Regal Ramadan. Kami turut berpeluang membuka tiga booth di acara itu dan mendapat sambutan menggalakkan dari golongan muslim di sana.

“Malah 8 rekaan diperagakan juga direka khas oleh rakan kerjasama dari Paris. Kami juga berpeluang melebarkan rangkaian di sana sekali gus dalam perancangan meneroka perniagaan pakaian di Timur Tengah iaitu Jordan.

“Insya-Allah, kami dijemput ke sana untuk lawatan lapangan. Malah kos penerbangan dan pengangkutan turut ditanggung pembeli berpotensi,” kata Nur Hafizah.

Jenama yang ditubuhkan pada tahun 2013 ini juga turut menaja baju raya untuk 200 orang wanita asnaf dan kanak-kanak. Majlis penyerahannya akan dibuat 10 terakhir Ramadan ini. Tidak ketinggalan, ia melancarkan Blessed Beyond Belief Programme

bagi menaja bantuan kewangan bagi pelajar kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.

Selain itu, siri 30 Hari Tadabbur Ramadan bersama Pengasas Tadabbur Centre Sdn Bhd, Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman turut diterbitkan bagi siaran Instagram.

 

Ditanya pula mengenai aktiviti sepanjang Ramadan dan Aidilfitri, Muhammad Nizar berkata ia telah menjalinkan kerjasama dengan Hombre menampilkan 30 penyanyi rock, otai dan semasa negara untuk rakaman takbir raya  bersama platform perkhidmatan strim filem Melayu, Siar  baru-baru ini.

“ Antara artis yang turut terlibat termasuklah  Zamani Slam, Akhil Hayy, Rahmad Mega, Ameng Spring, Zarul Husin, Datuk Nash, Lan Solo dan ramai lagi.

“Tanda pagar Raya Macam Rockstar, Raya Macam Legend turut dicipta sebagai sokongan kerjasama ini,” kata Muhammad Nizar.

Majalah Nona pun ada di Telegram tau.

Dah follow Telegram Majalah Nona?

Follow kami sekarang di link berikut: https://t.me/majalahnona

 

 

 

 

Share
Published by
Rosmah Idayu