Apabila adanya pertengkaran, pastinya ia melibatkan emosi anda dan pasangan. Namun, sekiranya anda dan pasangan boleh mengelola perasaan dengan baik, dengan selalu melihat masalah dari pelbagai sudut, tentu anda berdua boleh menurunkan rasa ego untuk kebaikan bersama.

Pertengkaran boleh menegangkan keadaan dan menjarakkan hubungan anda. Harus berhati-hati apabila melalui proses pertengkaran:

Ads

Cari penyelesaian

Marah adalah reaksi normal seorang insan terhadap sesuatu yang dia enggan kompromi. Maka, pentingnya anda untuk peka dengan keadaan pasangan yang sedang dilanda kegelisahan hati. Berikan ruang untuk dia bermain dan meredakan perasaannya. Jika perlu, letakkan diri sebagai teman untuknya meluahkan segalanya. Berikan idea untuk mencari penyelesaian yang tepat untuk permasalahannya.

Namun, jangan jadi hakim yang memberikan hukuman atau keputusan dan tindakannya. Itu hanya akan mengeruhkan suasana dan permasalahan lain pula akan timbul maka keadaan akan lebih rumit. Hasilnya, hubungan anda berdua pula menjadi korban.

Komunikasi

Komunikasi memang selalu dikatakan sebagai cara paling tepat untuk menghindari konflik yang bukan-bukan. Apabila ia berlaku di dalam sebuah rumah tangga, maka komunikasi dua hala amat penting bagi menjalin perhubungan yang lebih baik dan matang. Komunikasi yang harmoni perlu ada antara anda dan pasangan serta anggota keluarga lainnya, supaya hubungan lebih mesra dan baik.

Sekiranya anda kurang gemar dengan cara dan perkataan yang digunakan oleh pasangan, usahakan untuk menegurnya dengan bicara yang lembut. Jangan gunakan perkataan kasar untuk menyerangnya kerana ia akan menjadikan keadaan lebih teruk.

Bahasa yang lembut dan cara menegur yang baik pastinya akan membuat pasangan lebih sejuk hatinya. Dan mungkin dia akan memohon maaf kerana kekasarannya terhadap anda. Jadi, pasti masalah antara anda berdua selesai dengan baik. Jangan tambah panas dengan memasukkan sesuatu yang boleh menyemarakkan kemarahan. Cuba tahan emosi dan ego supaya tidak merosakkan hubungan kalian.

Tolak ansur

Ads

Setiap masalah mempunyai jalan penyelesaian tersendiri, jadi mengapa harus memperpanjangkannya sehingga keadaan menjadi lebih rumit. Segera selesaikan dan baiki hubungan anda berdua menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Sekiranya salah satu masalah adalah anda terlalu penat menguruskan anak-anak sendirian, mintalah pasangan untuk membantu dan begitu juga sebaliknya.

Yang penting, mesti ada rasa faham-memahami dan bersedia menerima segala pendapat dengan matang, itu sudah cukup untuk membentengi keluarga anda dari salah faham. Ia juga akan menambah rasa percaya dan saling menyayangi untuk melengkapi keharmonian rumah tangga anda berdua.

Terima perbezaan

Apabila anda mengambil keputusan untuk berkahwin, pasti ada sesuatu pada pasangan yang melengkapi diri dan hidup. Ada sesuatu yang tiada pada anda, dipunyai oleh pasangan. Semua itu adalah alasan jitu mengapa anda dan pasangan dipertemukan, lalu hidup bersama sebagai suami isteri. Pastinya, antara anda berdua mempunyai perbezaan namun jangan jadikan itu sebagai satu bebanan atau alasan untuk bertengkar.

Ads

Menyatukan perbezaan yang anda antara suami isteri memang tidak semudah umpama membalikkan tapak tangan. Namun, sekira keduanya dapat menghargai perbezaan yang wujud antara anda berdua, pasti perselisihan faham dapat diminimumkan.

Daripada perbezaan itu, kita boleh belajar apa yang suka dan tidak disukai oleh pasangan. Begitu juga sebaliknya. Kita akan menjadi lebih bijak di dalam menghadapi perbezaan itu dan seterusnya akan lebih menghargai antara satu sama lain.

Jangan libat orang lain

Sekiranya pertengkaran itu tidak terbendung lagi, jangan hamburkan kemarahan anda pada orang lain seperti orang tua anda atau anak-anak, kerana sekiranya anak-anak menjadi saksi pertengkaran orang tuanya, ia akan mempengaruhi perkembangan psikologinya.

Tambahan, sekiranya masalah rumah tangga anda melibatkan orang tua anda, pasti keadaan akan menjadi lebih rumit dan runcing. Seharusnya, masalah rumah tangga anda, selesaikan antara pasangan sahaja. Jangan babitkan orang tua anda.

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI