Berhijab & Pakaian Labuh, Penampilan First Lady Turki Berjiwa Penyayang Ini Disenangi Ramai!

Apabila tengok kelibat dan penampilan Wanita Pertama Turki, Emine Erdogan ini terus terbayangkan pesona Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Mana tidaknya, kedua-dua wanita hebat ini berkongsi penampilan yang hampir sama dan disenangi ramai. Apatah lagi Tunku Azizah dan Emine Erdogan dipertemukan baru-baru ini selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan tiba di Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 pada 18 Disember lepas.

Lahir pada 16 Februari 1955 di Istanbul, isteri Recep Tayyip Erdogan bukan hanya dikagumi rakyatnya kerana sifat ramah dan penyayang bahkan Emine juga aktif menceburi bidang sosial, kebajikan dan politik. Penglibatan wanita berusia 64 tahun ini dalam dunia kebajikan sudah mula berputik sebelum beliau menyandang jawatan Wanita Pertama Turki lagi. Namun, kegiatan Emine dalam bidang berkenaan semakin rancak selepas berkahwin dengan Presiden Turki berkenaan pada 4 Julai 1978.

Hasil perkahwinan selama 41 tahun tersebut, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu dua perempuan dan dua lelaki. Anak sulung mereka Ahmet Burak Erdogan berusia 40 tahun, diikuti Necmettin Bilal Erdogan, 38 tahun, Esra Erdogan, 36 tahun dan anak bongsu perempuan yang pernah berkhidmat sebagai ketua penasihat presiden yang juga bapanya pada tahun 2013 iaitu Sumeyye Erdogan berumur 34 tahun.

Meskipun kerap bertemu pemimpin-pemimpin dunia dan menjalani kehidupan mewah namun Emine tetap mempamerkan sisi seorang muslimah yang hebat. Memiliki darah keturunan Arab, Emine Erdogan sentiasa membuka mata masyarakat khususnya dalam kalangan isteri pemimpin dunia dengan penampilannya yang sopan dan menutup aurat. Malah, beliau dilihat gemar mengenakan persalinan labuh, longgar serta bertudung litup. Aura Emine mampu membuatkan kaum wanita menoleh ke arahnya beberapa kali.

Terbaru, ketika kunjungan Emine dan suaminya ke Malaysia… beliau kelihatan selesa dan ramah bertemu Raja Permaisuri Agong, isteri Perdana Menteri, dan Timbalan Perdana Menteri. Pakaian yang digayakan juga sederhana dalam segala segi. Antara isteri pemimpin dunia yang pernah menerima kunjungan Emine ialah bekas isteri Barrack Obama iaitu Michelle Obama, isteri Donald Trump; Melania Trump, Ratu Jordan iaitu Ratu Rania dan isteri Perdana Menteri Jepun, Akie Abe.

Selain memperjuangkan nasib golongan kanak-kanak dan wanita di negaranya, Emine juga lantang menyuarakan pandangan beliau terhadap isu penindasan umat Islam di seluruh dunia. Salah satu daripada ribuan kempen kanak-kanak dan wanita yang diadakan Emine ialah ‘Mothers and Daughters at School’ yang membuka peluang kepada golongan ini mendalami bidang akademik dan menguasai kebolehan membaca serta menulis.

Enggan berpuas hati dengan kejayaan itu, beliau seterusnya menyertai persidangan antarabangsa ‘Women in Business Life’ sebagai tanda sokongan kepada penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan politik.

Paling menyentuh perasaan adalah ketegasan beliau membela nasib dan mengekang penindasan terhadap umat Islam seperti yang berlaku di Gaza, Myanmar dan Pakistan. Terpanggil untuk membantu saudara sesama Islam, Emine dan Recep Tayyip Erdogan telah pergi ke Myanmar pada tahun 2012 semata-mata untuk memberi bantuan kemanusiaan
kepada etnik minoriti Islam Rohingya biarpun berdepan ancaman keselamatan di sana. Semoga Emine dan Presiden Turki ini terus menjadi suara pembela umat Islam di seluruh dunia dan diharapkan agar usaha serta kebaikan yang ditonjolkan menjadi suntikan inspirasi kepada semua.

 

Share
Published by
Zehan Suziana Abu Daud