Lama tak dengar khabar Sasha Saidin. Sejak berkahwin dengan jejaka kelahiran Pulau Pinang pada Januari 2020, penyanyi cantik ini tidak lagi aktif dalam dunia seni dan memberi lebih tumpuan kepada keluarga tersayang. Apatah lagi, Sasha kini menetap di luar negara.
Aktif berkongsi aktiviti harian dan perkembangan keluarga di media sosial, Sasha atau nama sebenarnya Sasha Mohd Saidin kian bahagia di samping anak dan suami tercinta.
Sebaik kembali bergelar isteri selepas lapan tahun menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal, Sasha yang sah bergelar suri hati Sirhan Wahab memutuskan untuk berhijrah ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengikuti suaminya bertugas dalam sektor kewangan di sana.
Berdasarkan posting di Instagram, kakak Zain Saidin ini berkongsi suasana Ramadan di Dubai dan kelihatan anggun berseri-seri tatkala mengenakan hijab.
Bukan hanya penampilan Sasha menjadi perhatian peminat bahkan anak lelakinya iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono atau mesra disapa Arya juga menarik tumpuan ramai kerana makin kacak dan tinggi lampai.
Ibu berusia 46 tahun ini turut berkesempatan berkongsi momen menunaikan solat tarawih bersama anak tersayang pada 1 Ramadan lalu. Walau bakal menghampiri usia 50 tahun namun pesona dan wajah cantik Sasha dikagumi peminat.
Malah ada yang berpandangan penampilan Sasha tidak ubah seperti zaman anak dara dan kekal awet muda!
Jelitawan ini pernah berkahwin dengan Johan Abdullah Skinner pada tahun 2003 namun berpisah selepas empat tahun mendirikan rumah tangga. Sasha kemudian bernikah dengan jejaka Indonesia iaitu Salyo Priyanto pada tahun 2007.
Bagaimana pun rumah tangga yang dibina tidak bertahan lama dan bercerai pada tahun 2012.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki diberi nama Adam Aryasenna Notosoemarsono yang berusia 14 tahun.