Beri Masa Yang Cukup pada Jurusolek, Barulah Wajah Di Majlis Bahagia Tampil Berseri!

Perkara utama yang paling menjadi keutamaan bakal ratu sehari ialah busana dan solekan yang akan dikenakan di hari bahagia. Ini merupakan dua aspek penting bagi bakal pengantin. Solekan yang keterlaluan dan tidak sesuai dengan majlis membuatkan raja sehari kurang yakin di atas pelamin sekaligus mengurangkan seri mereka di hari bahagia.

Solekan pengantin pada masa kini lebih kepada gaya solekan yang nampak natural. Warna-warna pastel dan bronze sangat diminati dan mendapat permintaan tinggi pada masa kini. Mainan warna-warna lembut mampu menaikkan aura seri pengantin. Akan tetapi mekap pengantin tidak terhad kepada warna-warna lembut sahaja. Jom kita lihat 5 tip mudah ini agar anda mendapat solekan yang cantik dan berseri!

1. RUANG YANG SELESA

Sediakan ruang yang selesa dari segi pengudaraan dan pencahayaan ketika proses solekan dilakukan. Pencahayaan amat penting untuk memastikan struktur wajah dan warna kulit dapat dilihat dengan jelas bagi menentukan bentuk kening, shading, warna foundation, eyeshadow, lipstik serta keseluruhan mekap bertepatan dengan kesesuaian wajah dan kulit masing-masing. Manakala proses solekan pengantin kadangkala memakan masa sejam setengah sehingga dua jam menuntut ruang yang selesa dari segi pengudaraan bilik. Sekurang-kurangnya sediakan kipas angin ketika proses solekan dijalankan. Itu pun sudah memadai bagi keselesaan pengantin dan jurusolek

2. BERBINCANG DENGAN JURUSOLEK

Tidak menjadi kesalahan sekiranya pengantin berbincang atau nyatakan kehendak solekan yang disukai. Namun, anda juga harus tahu bahawa tidak semestinya setiap kehendak pengantin itu dapat diterima oleh jurusolek kerana jurusolek mungkin mempunyai pandangan yang lebih arif dalam menentukan solekan yang lebih sesuai dengan struktur wajah, warna kulit, warna persalinan serta tema majlis yang diadakan. Jadi, seeloknya cubalah berbincang untuk mendapatkan hasil yang disenangi oleh kedua-dua pihak. Sekiranya anda yang telah memilih jurusolek tersebut, maka apa kata anda serahkan kepercayaan jurusolek yang dipilih untuk lakukan yang terbaik.

3. BERPENDIRIAN

Isu ini mungkin agak sensitif bagi sesetengah orang. Ada di antara pengantin tidak mahu keningnya di usik langsung atas sebab-sebab tertentu. Sebagai jurusolek profesional, biasanya sudah tentu mereka sentiasa menghormati dan menuruti kehendak anda dan tidak akan sesekali memaksa pelanggan.Sebaik-baiknya minta pendapat daripada jurusolek anda tentang perkara ini kerana ada juga di antara anda yang telah memiliki kening yang cantik atau mudah dibentuk tanpa dicukur atau dibersihkan.

4. BERI MASA YANG CUKUP

Bagi masa yang secukupnya untuk jurusolek anda menyiapkan solekan anda sehingga ke sentuhan terakhir. Kadangkala ada di antara tetamu yang suka menakut-nakutkan pengantin dengan menggambarkan solekan yang dilakukan hodoh dan sebagainya, sedangkan proses solekan belum pun selesai sepenuhnya. Perkara ini bukan sahaja akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan jurusolek malah boleh mengganggu emosi pengantin yang risau akan hasil solekannya nanti. Jadi, seeloknya sila pastikan hanya tetamu tertentu sahaja yang dibenarkan berada bersama pengantin ketika proses solekan di lakukan.

5. BERSEDIA

Pastikan juga anda telah bersedia untuk disolekkan mengikut masa yang telah ditetapkan. Mandi, cuci muka, makan dan selesaikan perkara yang perlu sebelum mak andam atau jurusolek tiba kerana kebanyakannya lebih suka memulakan kerja mereka sebaik sahaja sampai atas sebab-sebab tuntutan kerja, komitmen atau urusan lain.

Share
Published by
Fadhli Ismail