Berita baik buat kita semua khususnya pemilik kenderaan persendirian. Berikutan isu pelekat cukai jalan yang mudah rosak dan susah untuk ditanggalkan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan kenderaan persendirian milik rakyat Malaysia tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan di cermin depan kenderaan bermotor mereka, berkuat kuasa hari ini.
Pada sidang media, Siew Fook berkata ini adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pengangkutan untuk mendigitalkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khususnya bagi lesen kenderaan bermotor dan lesen memandu.
Beliau berkata, Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan, yang menyatakan lesen kenderaan bermotor mesti disangkut dan dipamerkan pada kenderaan, tidak akan dikuatkuasakan lagi.
“Ini akan dilakukan secara berperingkat, dengan fasa pertama melibatkan kenderaan persendirian individu termasuk motosikal milik rakyat Malaysia,” katanya.
Serap Aura Tahun Baru Dengan Aplikasi Cat Terkini, Menjadikan Ruang Kediaman Lebih Kemas & Menyerlah!
Pemilihan warna pada ruang kediaman menjadi salah satu keutamaan kepada setiap pemilik kediaman. Silap dalam proses pemilihan warna bukan sahaja ‘mencacatkan’ pandangan tetapi juga akan menaikkan kos perbelanjaan.
Kehadiran terlalu banyak warna juga memberi kesukaran kepada sebahagian besar daripada kita untuk membuat pilihan. Justeru, mengambil kira masalah ini, Nippon Paint telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan aplikasi Nippon Paint Colour Creations dan My Paint Expert.
Aplikasi Nippon Paint Colour Creations membolehkan pengguna:
- Memadan warna secara langsung kepada sesuatu imej sekali gus memudahkan mereka mengecat secara virtual pada imej dinding yang ditujukan dengan hanya gesekan sebelah jari.
- Mengaplikasikan proses dengan tiga langkah mudah. Pertama, merakam ruang yang hendak dicat dengan kamera kemudian akses beribu-ribu. Warna yang ditawarkan di pustaka Nippon Paint untuk memilih warna idaman yang akan dipadankan terus pada imej.
- Adunan dan olah skema warna masing-masing.
- Mentafsirkan bagaimana pelbagai skema warna boleh dengan sekelip mata mengubah sesuatu ruang menjadi hasil seni tanpa menggunakan setitik cecair cat.
- Setelah berpuas hati dengan skema warna baharulah anda boleh membuat keputusan yang bijak bagi membuat tugasan mengecat sempurna.
Aplikasi ini juga mengambil kira nada berbayang yang wujud pada dinding untuk mengolah skema warna supaya lebih realistik. Dalam pada itu, teknik pemilihan warna cat untuk dalaman juga hendaklah jangan terlalu fokus pada cat dinding semata-mata. Untuk lebih optimal, perhatikan kombinasi warna tersebut dengan lantai atau siling. Kombinasi warna pada ketiga-tiga elemen ini tentunya akan mencipta efek tertentu pada ruang kediaman anda.
Anda juga boleh memberi unsur kejutan pada penampilan hasilan dalaman dengan menampilkan warna-warna kontras pada ruang berkaitan, misalnya pada perabot yang mengandungi warna kontras selain kekemasan dinding seperti lukisan yang memiliki warna kontras tidak melebihi dua warna.
Sementara itu, melalui aplikasi My Paint Expert pula membolehkan pengguna memilih produk cat bersesuaian dengan tugasan berpandukan panduan produk yang eksklusif.
Anda juga boleh membuat perancangan bajet dengan mengakses anggaran harga sesuatu produk. Aplikasi-aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma di App store dan Google Play Store. Nippon Paint juga secara berterusan mengemaskini aplikasi tersebut supaya pengguna diberi maklumat terkini tentang tawaran, produk terbaharu dan warna-warna sedia ada yang boleh diperoeleh untuk pilihan.
Cuba Ini:
Sebelum proses mengecat, pastikan permukaan yang hendak dicat bersih. Tampal lubang-lubang paku atau retakan dinding menggunakan simen atau plaster. Jika terdapat permukaan yang hendak dicat tidak rata, guna kertas pasir untuk meratakannya. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
CINTA Tak Cukup Sekadar Kata-Kata. Belajar 5 BAHASA CINTA Ini Agar Kasih Sayang Kekal Mewangi
Bahasa cinta adalah luahan kata-kata serta perbuatan yang nampak mudah namun cukup memberi makna. Yang susahnya ialah mencari bahasa cinta yang paling tepat buat pasangan.
Setiap orang memiliki bahasa cintanya yang tersendiri. Tetapi seiring dengan perubahan umur, bahasa cinta boleh berubah. Apabila pasangan saling jatuh cinta, kedua-duanya mula memahami dan mendalami bahasa cinta masing-masing.
Justeru, pilihlah bahasa cinta yang tepat untuk pasangan anda agar terciptanya bahagia. Dr Gary Chapman yang terkenal dengan rangkaian bukunya, 5 Love Languages menulis tentang 5 bahasa cinta yang paling asas iaitu:
UNGKAPAN CINTA
Sebelum tidur masing-masing melafazkan ucapan terima kasih atas kebaikan pasangan yang telah dilakukan pada hari itu. Ambil juga peluang untuk meminta maaf atas kekhilafan yang terjadi. Ungkapan cinta juga bermaksud memberi sokongan dan hormat kepada pasangan.
LAYANAN
Cinta tidak cukup dengan hanya luahan kata-kata. Sesetengah orang akan lebih merasai cinta apabila diberikan layanan terbaik oleh pasangan mahupun keluarga. Sudah tentu seseorang itu mengharapkan pasangannya memberi layanan paling istimewa buat dirinya.
PEMBERIAN HADIAH
Ada yang menjadikan amalan pemberian hadiah sebagai tradisi bagi melambangkan bahasa cinta. Maka ungkapan terima kasih, penghargaan, rasa hormat serta layanan istimewa akan lebih bermakna dengan pemberian hadiah. Tidak semestinya hadiah mahal, cukup sekadar pemberian kecil sebagai tanda cinta dan perhatian.
WAKTU BERKUALITI
Dua perkara penting yang menentukan arah perjalanan kita iaitu masa dan bagaimana kita memanfaatkannya. Tuntutan keperluan hidup seringkali mengganggu sebahagian besar waktu dan kita harus bijak mengambil peluang. Bagi pasangan, waktu berkualiti ialah saat berduaan tanpa gangguan.
SENTUHAN MESRA
Ada pasangan yang suka disentuh dan dibelai sebagai bukti cinta. Berikan saja, bukankah permintaan itu paling mudah lebih-lebih lagi ia tidak memerlukan tenaga dan kos?
Rayu Percepatkan Bantuan, Masih Ramai MANGSA BANJIR PULAU PINANG Terkandas Tanpa Keperluan Asas!
“Tolong! Kami terputus bekalan makanan, terputus elektrik, terputus hubungan jalan!” Itu rayuan seorang mangsa banjir di Desa Murni yang rumahnya sehingga kini masih ditenggelami air separas pinggang.
Meskipun pagi ini dilaporkan sebahagian kawasan banjir sudah surut, namun masih ada lagi sebahagian kawasan yang terjejas ditenggelami air. Lebih membimbangkan, terdapat beberapa kampung yang dikhabarkan belum menerima bantuan sewajarnya kerana terputus jalan.
Menurut laporan dari pusat penempatan banjir, keadaan di sana dikatakan amat menyedihkan kerana mangsa banjir hanya sempat menyelamatkan diri tanpa membawa sebarang keperluan asas.
Di antara bantuan yang amat diperlukan pada ketika ini adalah:
- Makanan dan minuman
- Ubat-ubatan
- Baju dalam
- Seluar dalam
- Pad (tuala wanita)
- Seluar dalam pakai buang
- Baju
- Seluar
- Barangan mandian seperti sabun mandi, shampoo, berus gigi, ubat gigi
- Tuala mandi
- Selimut
- Alas tempat tidur (Toto)
Dalam hebahan terbaru di Facebook Penang La Nii, pusat pemindahan amat memerlukan sumbangan orang ramai seperti air bersih, makanan, pakaian, barang-barang bayi, tilam dan bantal.
Salurkan sumbangan terus di pusat pemindahan banjir Dewan Orang Ramai Mengkuang Titi, Pusat Banjir Lubok Meriam, Sekolah Agama Masjid Mengkuang Semarak, Dewan Orang Ramai Kampung Kota, Dewan Pengkalan Tambang, Dewan Banjir Guar Perahu, Sekolah KAFA Kubang Semang, Sekolah Kebangsaan (SK) Penanti dan Surau Kampung Tok Subuh.
RM1 Juta Dari Selangor
Masih terkesan dengan musibah banjir yang melumpuhkan Pulau Pinang semalam, kehadiran Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang turun padang melihat sendiri keadaan getir di sana mencuri perhatian Nona.
Dalam waktu-waktu mencemaskan ini, keputusan beliau mengumumkan bantuan banjir sebanyak RM1 juta kepada Pulau Pinang serta menggerakkan pasukan sukarelawan bagi meringankan kerja-kerja pembersihan selepas banjir juga adalah cukup bijak.
Dalam lawatan ringkas itu, Mohamed Azmin yang ditemani Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut diberi taklimat mengenai perkembangan banjir di bilik kawalan Majlis Bandaraya Pulau Pinang.
Dalam pada itu, kelibat Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang iaitu Dato’ Maimunah Mohd Sharif yang berhempas-pulas bersama pegawai dan kakitangan MBPP tengah malam tadi membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir cukup mengharukan. Norzalina Mohd Alias