Sekiranya anda peminat tegar filem-filem Bollywood, sudah pasti anda mengenali siapa Alka Yagnik. Seorang vokalis dan penyanyi latar filem Bollywood yang berpengalaman, Alka adalah ratu melodi zaman 90-an dan dan sehinga kini masih digelar seorang penghibur legenda yang kekal ikonik.
Dengan alunan suaranya yang mempersonakan Alka Yagnik telah merakam lebih daripada 2,000 lagu dalam lebih daripada 16 bahasa. Majoriti lagu yang didendangkannya pasti menjadi hits seperti filem-filem pecah panggung Kuch-Kuch Hota Hai, Kabhi Kushi Kabhie Gham, Ek Rishtaa, Mann, Arzoo, Raaz dan banyak lagi.
View this post on Instagram
Seiring dengan bakat suara emasnya, Alka Yagnik juga kini sibuk memenuhi undangan sebagai juri dalam pelbagai siri pertandingan nyanyian India, termasuk Sa Re Ga Ma Pa L’il Champs, Indian Idol, dan Superstar Singer dan banyak lagi.
Alka Yagnik, kini boleh dianggap vokalis wanita terbaik India pernah ada kerana Alka sudah mula menyanyi seawal usianya 14 tahun sekaligus menjadikan nyanyian sebagai kerjaya utamanya.
Anugerah demi anugerah diraih Alka sepanjang hampir 2 dekad beliau dalam industri nyanyian lagu latar Bollywood termasuk pemenang rekod tujuh kali dari rekod 36 pencalonan Anugerah Filmfare untuk Penyanyi Latar Wanita Terbaik, penerima dua kali Anugerah Filem Kebangsaan serta beberapa anugerah dan penghargaan muzik lain. Beliau ialah salah seorang penyanyi latar yang produktif yang telah menyanyikan sejumlah lagu solo wanita dalam kerjaya Bollywoodnya.
Dan di usianya 57 tahun, walaupun sudah kurang aktif menyanyi dan banyak terlibat dengan kerja-kerja belakang tabir serta menjadi juri pertandingan nyanyian, apa yang menariknya di usianya kini, Alka Yagnik tetap kelihatan anggun dan jelita.
Ini dapat dilihat menerusi hantaran gambar-gambar di laman Instagramnya di mana ibu kepada seorang cahaya mata dan isteri kepada Neeraj Kapoor ini kekal tampak awet muda malah cukup aktif di media sosial.
KERJAYA ALKA DI PUNCAK
Namun di sebalik kejayaannya tahukah anda, disebabkan kariernya yang sukses dari usia muda, Alka Yagnik terpaksa berhadapan dugaan hidup berjauhan dan tinggal berasingan dari suami selama lebih dari 25 tahun.
Walaupun jarak memisahkan antara diri dengan suaminya, kasih sayang antara mereka tidak pernah pudar dan pada waktu itu cinta mereka tetap utuh walaupun tinggal berasingan.
Pertama kali bertemu dengan suaminya pada tahun 1986 ketika tiba di New Delhi, dari situ Alka dan Neeraj menjalinkan hubungan cinta dan berkahwin pada tahun 1989 selepas dua tahun berkenalan. Pada tahun 1988, kerjaya Alka berada di puncak menyebabkan dia dan suami seringkali berjauhan.
Namun begitu, mereka kekal menyayangi antara satu sama lain. Alka dahulunya tinggal di Bombay manakala Neeraj tinggal di Shillong. Anak perempuan mereka Sayesha tinggal bersama Alka, dilahirkan pada tahun yang sama.
Dan kini, Alka dan Neeraj masih bersama dan perkahwinan mereka dilihat masih kekal bahagia walaupun berhadapan pelbagai rintangan di awalnya. Semoga kisah kejayaan Alka serta kisah perkahwinan dia dan suami boleh dijadikan inspirasi buat kita semua.
Sumber: (1)
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***