Berjauhan Keluarga, Suhaida Jamaludin Kongsi Cabaran Jurutera Di Pelantar Minyak

Memilih kerjaya dalam sektor minyak dan gas sememangnya menjanjikan pendapatan yang lumayan. Walau bagaimanapun, pendedahan Suhaida Jamaludin tentang realiti sebenar pekerjaannya membuatkan ramai yang berminat, berfikir berkali-kali.

Berusia 29 tahun, wanita Muslimah kelahiran Jengka, Pahang ini mesra disapa dengan panggilan Sue. Orangnya lembut dan menyenangkan, tak sangka pula kerjaya hariannya sangat lasak serta menuntut tenaga yang banyak.

Mengenali Sue, banyak pengalaman hebat dikongsikan tentang kehidupannya di pelantar minyak. Sebagai seorang Field Engineer,

Sue yang kini bertugas di perairan Kelantan dan Terengganu perlu akur terhadap tuntutan tugas berjauhan dengan keluarga.

Sejak enam tahun lepas, Sue yang berkelulusan Degree of Mechanical Engineering dan Master of Science Engineering Education itu juga telah berkhidmat dengan beberapa syarikat petroleum terkemuka di dunia.

 

 

 

KERJAYA & KELUARGA

Beliau juga pernah bertugas di perairan North Sea, Norway selama tiga tahun sebelum kembali ke Malaysia, berumah tangga dan kini mempunyai seorang cahaya mata.

“Alhamdulillah, suami saya Mohd Syahril Azmi memahami kerjaya saya sejak dulu lagi. Cuma selepas kelahiran anak kami, perasaan rindu pada si kecil bertambah-tambah terutamanya apabila terpaksa meninggalkan bayi saya untuk bertugas di laut.” Sue

Baru berusia lima bulan, Ayden Syauqi sememangnya sangat memerlukan perhatian dan belaian seorang ibu. Namun apalah daya, hanya dapat berhubung melalui panggilan video saja dengan ibu tercinta.

 

 

 

 

“Talian Internet kurang stabil di laut. Tapi saya tetap berusaha menghubungi keluarga tersayang, bercakap dan menatap wajah mereka sekurangnya 5 minit setiap hari.

Faktor pandemik menyukarkan lagi hubungan kami. Kami terpaksa bekerja melebihi jadual kerana situasi di platform pelantar minyak yang berdepan kesukaran untuk ‘crew change’ atau pertukaran krew serta SOP yang lebih ketat.

Itu belum lagi jika pulang ke darat, masing-masing mesti dikuarantin bagi mengekang penularan wabak.

Jadi jika selalunya kami bekerja 4 minggu, tapi disebabkan pandemik ini terpaksa berlarutan sampai 8 minggu atau lebih di laut.” Sue

 

Tonton lebih banyak pengalaman dan cabaran dilalui Sue seperti diceritakan semula dalam temu bual Lensa Nona ini…

 

Share
Published by
Norzalina