Berjaya Dalam Kerjaya Belum Tentu Terlepas Dari Masalah Keganasan Rumah Tangga

Membina mahligai indah bersama lelaki yang dicintai dan melayari bahtera rumah tangga penuh penghormatan adalah idaman setiap wanita. Mengharapkan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari. Nor Fadilah Mohamed Nizar, 35 tahun, berkongsi pengalaman tentang keganasan domestik atau penderaan rumah tangga yang pernah ditempuhnya suatu ketika dahulu.

“Masalah mula bertandang apabila bekas suami berubah sekelip mata tanpa belas ihsan. Dia mula bertindak mendominasi perkahwinan angkara sikapnya yang terlalu materialistik. Sukar mengungkap dengan kata-kata merungkai emosi dan keadaan diri sepanjang melalui tempoh keganasan domestik. Rasa diri sudah tidak bernilai lagi, tertekan dan malu untuk bersosial dengan masyarakat lantaran tidak mempunyai sistem kewangan yang kukuh walaupun mempunyai pendapatan empat angka.

Saya melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan terpaksa meninggalkan bekas suami di Kuala Lumpur dan tinggal berasingan untuk suatu tempoh. Sepanjang tempoh tinggal berasingan bekas suami tidak pernah memberi nafkah namun tetap menerima keadaan tersebut dengan rela kerana berada dalam tempoh awal perkahwinan.

Konflik mula menerpa apabila saya ditawarkan berkhidmat sebagai pegawai kerajaan dan menetap di Putrajaya. Sebagai pegawai kerajaan saya mendapat kediaman kuaters untuk memudahkan proses ulang alik untuk ke tempat kerja. Seperti biasa kediaman tersebut kosong tanpa dipenuhi sebarang perabot. Dia menyuruh saya untuk memenuhi ruang kediaman dengan perabot.

Kini bahagia bersama keluarga baharu

Baru mendapat kerja sudah tentu saya tidak mempunyai simpanan dan tidak mampu untuk memenuhi keinginannya. Lantas dia menyarankan untuk meminta wang bapa saya sebanyak RM10,000. Saya menurut perintahnya tanpa memikirkan sesuatu yang pelik. Malu untuk meminta saya meminjam wang bapa untuk membeli perabot kediaman dan berjanji untuk membayar kembali secara ansuran.

Setelah mendapat wang, lagaknya ketika membeli perabot kalah seorang wanita. Memilih reka bentuk mewah dan mahal umpama seorang yang kaya-raya. Saranan saya untuk mengubah kehidupan dan menjalani hidup secara sederhana tidak diendahkan.

Banyak konflik-konflik kecil berlaku sehingga tiba hari istiadat konvokesyen saya di Singapura. Dia tidak dapat turut serta di majlis itu kerana disenarai hitam ke luar negara akibat hutang PTPTN. Dia meminta saya untuk membuat pinjaman peribadi untuk melunaskan segala hutang piutangnya. Menurutnya pegawai kerajaan seperti saya mudah untuk mendapat kelulusan pihak bank. Sebagai seorang isteri saya akur dan episod duka saya semakin parah selepas tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menyara kehidupan seharian akibat membayar hutang bank.

Sejak itu kehidupan kami sudah tidak mempunyai hubungan suami isteri yang normal. Kami tinggal serumah tetapi tiada komunikasi dan juga hubungan intim. Dia pernah mengutuk saya mempunyai hutang yang banyak di hadapan keluarganya.

Kini lebih selesa memperkasakan hak wanita melalui JEIWA

Penderaan emosi dan kewangan berlaku sepanjang tempoh tempoh perkahwinan. Krisis rumah tangga bermula atas faktor kewangan, perbezaan cara hidup dan pemikiran. Apabila datang peluang untuk mengikuti kursus tidak akan dipersiakan.

Semasa berada di China ketika itu saya benar-benar mempunyai masa untuk memikirkan diri sendiri. Melihat semula kepada potensi diri dan rasa amat bernilai serta mampu untuk membuat sesuatu yang hebat dan terbaik untuk diri sendiri, keluarga, majikan dan negara. Saya tekad untuk mencari jalan penyelesaian. Apabila pulang ke Malaysia, saya menyimpan niat untuk bercerai tetapi masih memberi peluang agar dia berubah.

Tidak lama kemudian, saya ditawarkan ke program khas pegawai kerajaan di mana saya ditawarkan gaji yang lebih tinggi. Saya teruja dan berpindah ke jabatan lain. Namun, bekas suami semakin menunjukkan sikap materialisiknya dengan mula mengawal kewangan saya seperti mencongak-congak gaji saya dan menyenaraikan barang-barang baru untuk dibeli menggunakan wang saya.

Kemuncak kemarahan berlaku apabila bapa saya bersetuju untuk membelikan sebuah rumah untuk saya. Namun suami berkeras sekiranya rumah tersebut dibeli, bapa saya tidak dibenarkan untuk tinggal bersama. Kesabaran saya memuncak dan saya tidak mahu terus memendam rasa, maka saya memfailkan penceraian di Mahkamah Syariah untuk tindakan selanjutnya.

Kami mula bergaduh dan saya mengambil keputusan untuk keluar dari rumah saya sendiri dan saya mula mencari perlindungan diri dengan menumpang di rumah kawan-kawan. Lebih parah lagi apabila dia mula memisahkan saya dengan anak kami,” ungkap ibu kepada dua orang anak ini.

Tidak mahu mengaku kalah dia turut menfailkan agar saya kembali taat, tidak mendapat hak penjagaan anak, tidak mendapat hak penjagaan anak sementara dan nusyuz. Bukan itu sahaja malah dia menuntut wang sebanyak RM350 ribu untuk tebus talak. Namun saya tidak mempunyai wang sebanyak itu dan akur dengan kehendaknya untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas anak perempuan saya yang berusia 4 tahun ketika itu.  Akhirnya selepas turun naik mahkamah syariah saya diceraikan dengan talak satu. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan ketika dia menjatuhkan talak. Gembira tidak terkata kerana saya sudah menemui kembali diri sendiri hilang beberapa tahun lalu akibat pergolakan rumah tangga.

Namun kegembiraan saya tidak kekal apabila dia mula mengawal hubungan saya dengan anak perempuan. Tindakan saya untuk berjumpa dengan anak mencipta keganasan berlaku sehari selepas bercerai dengannya yang membawa kepada penderaan fizikal. Saya cedera parah ditumbuk bertalu-talu pada muka dan ditendang. Saya mendapat rawatan doktor dan menerima lima jahitan pada hidung yang patah dan tulang septum terpaksa dialih keluar. Insiden ini menyebabkan saya mendapat kecederaan kekal. Saya mendapatkan keadilan di mahkamah dan akhirnya bekas suami dihukum penjara satu bulan, RM10,000 denda seksyen 325KK,” ungkap Fadilah telah bangkit dari mimpi ngeri yang menghantuinya dan bahagia dengan keluarga baharu sekarang.

 

 

Share
Published by
Hamizatul Maizan