Kunjungan krew majalah NONA ke negeri Cik Siti Wan Kembang membawa kami bertemu dengan pengusaha Karisma Cosmetic yang boleh dianggap salah satu jenama kosmetik yang semakin dikenali di seluruh jajahan Negeri Kelantan.
Dari jauh, Villa Karisma tersergam indah menyambut kedatangan kami untuk bertemu dengan empunya jenama Karisma Cosmetic ini. Malah, penulis dan krew teruja melihat gaya dekorasi yang ditampilkan di segenap ruang villa yang baharu sahaja diduduki sejak tiga bulan yang lalu.
Kedatangan kami disambut mesra oleh Hartini Sulaiman yang ketika itu sedang disolek oleh jurusolek Amy di bilik tidur utama villa berkenaan. Sambil salam perkenalan di sambut mesra oleh empunya diri, mata sempat menerawang ke segenap ruang di bilik tidur utama kediaman ini yang mendapat sentuhan dekorasi yang selesa.
Hartini yang lebih mesra disapa Kak Bie boleh dikatakan seorang usahawan wanita yang berjaya kerana dalam jangka masa empat tahun sejak penubuhan Karisma Cosmetic, jenama tersebut telah mendapat tempat di kalangan penggemar kosmetik terutamanya di bahagian Pantai Timur.
Namun begitu, kejayaan yang dikecapinya kini bukan datang dalam sekelip mata, malah segala usaha, keringat dan strategi telah diatur sebaik mungkin untuk mengukuhkan lagi jenama tersebut di mata para pelanggan.
“Saya tubuhkan Karisma Cosmetic sejak bulan Ogos 2015 lagi. Pada awalnya, ia hanyalah merupakan percubaan saya untuk memulakan produk jenama sendiri setelah saya berkecimpung dalam perniagaan dengan memasarkan produk-produk dari syarikat orang lain.
Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang ini semakin terbuka. Dalam tahun pertama penubuhan Karisma Cosmetic, saya mampu melahirkan lebih kurang 300 stokis di seluruh Malaysia,” ujar Hartini yang pernah menjaja pelbagai produk kecantikan di sekitar pasar malam di seluruh negeri Kelantan.
Benarlah kata pepatah, usaha itu tangga kejayaan. Berkat usaha tanpa mengenal penat lelah, Hartini kini boleh berbangga dengan pencapaian yang dicapai oleh Karisma Cosmetic dalam usaha menjadikan produk kecantikan keluarannya sebagai salah satu produk yang mendapat tempat di hati para pelanggan. Kini, Karisma Cosmetic mempunyai stokis di seluruh Malaysia dan sedang giat melakukan penyelidikan untuk menghasilkan lebih banyak produk untuk kegunaan para pelanggan.
Melihat gaya hidup Hartini sekeluarga, penulis dapat mengaggak kehidupannya dilimpahi dengan kemewahan namun sikap sederhana tetap terpancar dari sikap yang ditunjukkan oleh Hartini dan suami tersayang. Walaupun kehidupan mereka dilimpahi kemewahan berkat usaha pasangan suami isteri ini mengusahakan perniagaan, ini bukanlah tiket untuk mereka ‘memanjakan’ kedua orang cahayamata mereka dengan limpahan kemewahan. Malah dia sering mengingatkan anak
Bagi Hartini, dia dan suami pernah melalui kesempitan hidup dan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di pasar-pasar malam. Malah, dia memulakan perniagaan dari bawah dan mendaki dari satu tangga ke satu tangga sehingga nama Karisma Cosmetic dikenali di Malaysia.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan olehNYa dalam bidang perniagaan. Jujur saya katakana kejayaan hari ini banyak bergantung hasil usaha keras bukan hanya saya dan suami, malah kakitangan dan para stokis yang mempercayai produk kami di pasaran.
Saya sering mengingatkan diri saya untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang saya miliki serta berkongsi rezeki dengan pihak lain. Saya yakin usaha dan kejayaan hari ini banyak dipengaruhi oleh usaha dan doa dari pelbagai pihak,” ujar Hartini yang sentiasa merendah diri apabila penulis memuji kejayaan yang telah dikecapinya dalam tempoh yang singkat.
Menyentuh motto hidup yang menjadi pegangannya dalam menguruskan perniagaan, Hartini berkata tiada yang mustahil untuk mencapai kejayaan selagi tidak berputus asa untuk berusaha menjadi prinsip yang diamalkan sejak mula-mula melangkahkan kaki dalam dunia perniagaan.
“Saya yakin kejayaan hari ini tidak dating bergolek tanpa usaha yang berterusan. Di samping itu, jika kita berkehendakkan sesuatu, pasti ada perkara yang perlu dikorbankan. Dalam kehidupan saya untuk mengecapi kejayaan, banyak yang perlu saya korbankan seperti masa berkualiti bersama keluarga ketika hendak memulakan perniagaan.
Namun begitu, saya tidak pernah mengabaikan keluarga dan apabila perniagaan sudah semakin stabil, saya lebih gemar menghabiskan banyak masa bersama suami dan anak-anak. Hasilnya,Villa Karisma ini adalah syurga untuk kami sekeluarga. Saya jadikan kediaman ini bukan sahaja untuk tempat beristirehat, malah ia adalah lokasi ideal untuk kami sekeluarga meluangkan masa bersama,”ujar Hartini yang nyata amat menyayangi villa yang baharu tiga bulan didiaminya bersama keluarga tersayang.
Membawa penulis dan jurufoto meninjau keindahan villa yang didirikan di sebuah kawasan perkampungan di Gual Periuk berhampiran Rantau Panjang, Kelantan, penulis kagum dengan dekorasi villa yang berkonsepkan istana dengan ruang tamu berkonsepkan rona emas melatari di segenap ruang. Selain itu, ruang di tingkat atas villa diberi penekanan sebagai ruang santai keluarga dengan menempatkan sebuah meja snooker dan padang golf mini putting green serta ruang santai yang menjadi pilihan untuk berehat pada waktu malam.
“Ruang ini menjadi pilihan kami sekeluarga untuk bersantai terutamanya di waktu malam. Ruang atas kediaman ini mempunyai pengudaraan yang nyaman terutamanya di waktu malam. Sambil suami dan anak-anak bermain mini golf dan snooker, saya ambil kesempatan untuk berehat dan berkongsi cerita dengan anak-anak. Inilah terapi yang paling saya gemari untuk melepaskan lelah,”ujar Hartini yang banyak memberi dorongan dan inspirasi untuk wanita terutamanya suri rumah menjana pendapatan.
Selain ruang keluarga di tingkat atas, kediaman ini turut mempunyai sebuah kolam renang, sebuah gymnasium, ruang letak kereta yang luas untuk menempatkan beberapa koleksi kereta kesayangan Hartini dan suami termasuklah sebuah Nissan GTR, Ford Mustang dan beberapa lagi koleksi kenderaan milik pasangan suami isteri ini. Pendek kata, segalanya disediakan di dalam villa ini untuk keselesaan sekeluarga!
Selain anak-anak, Hartini turut memelihara dua ekor kucing yang diberi nama Alen dan Karissma yang menjadi kesayangan keluarganya. Malah, ketika kunjungan penulis ke kediamannya baru-baru ini, Hartini sedang menyiapkan sebuah ruang khas untuk kedua ekor kucing kesayangannya yang turut dilengkapi pendingin hawa untuk memberi keselesaan buat haiwan kesayangan keluarga itu.
Selain meluangkan masa di villa impiannya, Hartini dan keluarga gemar menghabiskan masa membeli belah Bersama-sama memandangkan kedua anaknya dapat menghabiskan masa berkualiti bersamanya. Memandangkan mereka sudah meningkat dewasa, jadi aktiviti makan bersama serta membeli-belah merupakan antara aktiviti pilihan untuk keluarga bahagia ini.
“Saya menjadikan aktivit beli-belah sebagai terapi diri. Menyentuh mengenai jenama kegemaran saya, sudah tentu Dior menjadi pilihan untuk jenama tas tangan. Namun begitu, saya mempunyai beberapa jenama lain antaranya termasuklah Versace, Louis Voutton dan Chanel. Setakat ini, saya mempunyai lebih 23 tas tangan dari pelbagai jenama antarabangsa dalam koleksi. Tas tangan dan kasut ini menjadi koleksi kesayangan saya. Selain menjadikan tas tangan, pakaian dan kasut sebagai koleksi, saya juga berminat menyimpan perhiasan berasaskan berlian dan mempunyai beberapa koleksi berlian di dalam simpanan. Emas dan wanita sememangnya tidak dapat dipisahkan. Selain menjadi perhiasan, ia juga merupakan satu bentuk pelaburan,” ujar Hartini seraya mengakhiri perbualan.
This website uses cookies.