Wabak COVID-19 yang kini sudah mencecah 673 setakat 17 Mac 2020 cukup membimbangkan. Hari ini bermulalah hari pertama Perintah Kawalan Pergerakkan di Malaysia. Dalam kebimbangan ini, pengasas FashionValet Datin Vivy Yusof dan suami Dato’ Fadzarudin Anuar bersama pasukan FashionValet memulakan fundraising dipanggil FV Covid-19 Support Fund.
Dalam perkongsian di Instagramnya, Vivy dan suami mula menyerahkan penghawa dingin mudah alih bagi kemudahan petugas hospital selain daripada bekalan makanan dan komputer riba. Hasil perkongsian tersebut, ramai yang tampil untuk memohon pertolongan bagi hospital lain dan ramai juga yang ingin membantu meringankan beban.
“Semuanya bermula apabila saya dan suami mengambil keputusan untuk menderma beberapa penghawa dingin mudah alih kepada hospital dan semakin ramai orang yang ingin turut sama membantu menghubungi kami.
Peningkatan kes COVID-19 membuatkan banyak hospital tidak mampu menanganinya jadi kita perlu membantu memberikan keselesaan bukan sahaja kepada pesakit tetapi kepada kakitangan hospital dan sukarelawan yang bertugas. Mereka adalah petugas barisan hadapan yang sedang bertarung dengan COVID-19 untuk kita dan sekurang-kurangnya ini yang boleh kita sumbangkan kepada mereka dan negara,”katanya
Kata Vivy, tak mungkin dia mampu duduk diam di rumah selepas mendengar setiap kepayahan yang dilalui petugas perubatan yang terlibat menangani kes COVID-19. Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini juga berterima kasih kepada yang membantu kerana hanya dalam semalaman, lebih RM100,000 sudah berjaya dikumpulkan.
Fundraising yang dijalankan bersama Dr. Musa Nordin dan IMAM Response and Relief Team (Imaret_my) ini turut memberi kelonggaran untuk pelepasan cukai bagi sumbangan RM500 ke atas.
Kata Vivy, dia turut terharu dengan keikhlasan dan kesanggupan rakyat Malaysia yang ingin menderma. Menarik perhatian Vivy adalah penyata derma daripada seorang penderma yang menyumbangkan wang bagi pihak kedua ibu bapanya.
Semoga Vivy dan pasukannya Berjaya mencapai target sumbangan dan dapat membantu lebih ramai petugas perubatan dan hospital yang sedang giat menjalankan tugas mereka. Terima kasih Vivy dan rakyat Malaysia!
Krediti foto: Instagram Vivy Yusof
This website uses cookies.